top of page

IKAN TERUBUK SARAWAK


IKAN TERUBUK SARAWAK


Ikan Terubuk Sarawak! Sudah tentu ramai yang tahu betapa jenis ikan ini amat popular bagi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama kerana kelazatannya tidak boleh dinafikan. Inilah jenis ikan yang sudah tentu menjadi ikon pelancongan bagi Sarawak Bumi Kenyalang sehingga ia menjadi ole-ole wajib beli bila bertandang ke Sarawak.


Terubuk atau nama panggilannya yang lain iaitu Toli Shad adalah sejenis ikan yang terdapat di perairan seluruh dunia. Jika di Sarawak dan Pulau Bengkalis ianya dipanggil dengan nama terubuk tetapi di negara lain seperti Bangladesh dikenali dengan nama Ilisha Chandana, di Myanmar dipanggil Daungdana dan di Vietnam dikenali dengan nama Trey Palung. Ikan jenis ini juga terdapat di Gujerat, India dengan lebih popular dipanggil Bhing serta di Sri Lanka dipanggil Seriya. Walaupun terdapat di negara-negara lain, Ikan terubuk Sarawak tetap menjadi pilihan orang ramai kerana dikatakan keenakannya tidak seperti di tempat lain.


Di Sarawak terdapat 2 jenis ikan terubuk yang menghuni kawasan perairan Sarawak iaitu dari jenis Tenualose Macrura dan Tenualosa Toli. Kedua-dua ini sebenarnya mempunyai cirri-ciri yang berbeza dan habitatnya juga berbeza. Jenis ikan terubuk Tenualosa Macrura mempunyai cirri-ciri bermulut kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil dan bahagian badannya tampak lebih gemuk. Jenis ini sebenarnya adalah ikan terubuk laut dan banyak terdapat di persisiran pantai dari Tanjung Datu hingga ke Tanjung Sirik.

Jenis Tenualosa Toli pula adalah jenis ikan terubuk sungai dan habitatnya banyak terdapat di perairan muara sungai seperti di Batang Lupar di Sri Aman, Batang Lassa di Mukah, Batang Sadong di Samarahan dan Batang Saribas di Betong. Dan ramai yang mengatakan bahawa jenis ikan terubuk Tenualosa Toli inilah yang menjadi kegilaan ramai kerana rasanya lebih enak berbanding dengan jenis ikan terubuk Tenualosa Maccura.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa suatu waktu dahulu di Selat Melaka juga pernah menjadi habitat ikan terubuk jenis Tenualose Macrura namun ianya sudah pupus kerana pada suatu waktu dahulu himpunan kelodak berpasir di Selat Melaka telah mengakibatkan habitatnya musnah. Kerana kegilaan ikan terubuk ini maka ramai peniaga-peniaga di Semenanjung Malaysia telah cuba mengimport ikan terubuk dari negara-negara jiran seperti dari Vietnam dan Bangladesh namun keenakannya tidak dapat mengatasi keenakan jika memakan ikan terubuk dari Sarawak.


Jadi jangan tertipu sebenarnya jika ada yang mengatakan bahawa itu adalah ikan terubuk Sarawak kerana ikan terubuk import sebenarnya boleh dibezakan dengan ikan terubuk Sarawak. Ikan terubuk Sarawak rasanya lebih berlemak manakala saiz telurnya lebih besar daripada ikan terubuk import. Selain daripada itu ianya juga dapat dibezakan dari segi kesegaran kerana ikan terubuk Sarawak lebih segar berbanding dengan ikan terubuk import yang terpaksa menjalani proses sejuk beku yang panjang. Di samping itu ianya juga boleh dibezakan daripada keadaan sisik ikan terubuk itu sendiri. Dikatakan sisik ikan terubuk Sarawak lebih mudah tanggal daripada sisik ikan terubuk import.


Walau sesedap mana dan selaris mana ikan terubuk Sarawak ini namun harus ada undang-undang yang digubal bagi memastikan ikan terubuk ini tidak diancam kepupusan. Ini kerana telah ada kebimbangan daripada masyarakat Sarawak ini tentang kebolehupayaan hidup bagi ikan terubuk Sarawak jika melihat kepada betapa larisnya di pasaran. Janganlah nanti akibat rakusnya sifat manusia terhadap spesis ikan ini akhirnya kita sebagai rakyat Sarawak hanya mampu melihat kewujudan ikan terubuk Sarawak di dalam gambar-gambar.


Inilah Ikan Terubuk Sarawak yang merupakan salah satu ikon pelancongan bagi Sarawak Bumi Kenyalang. Ikan terubuk Sarawak bukan sahaja didambakan untuk isinya malah juga telurnya yang sudah tentu tanda harganya agak mahal berbanding dengan spesis-spesis ikan terubuk yang lain.


bottom of page