MUZIUM SARAWAK
MUZIUM SARAWAK
Di ketika pemerintahan Rajah ke-2 Sarawak Kingdom iaitu Rajah Charles Brooke yang memerintah Sarawak Kingdom dari tahun 1868 sehingga 1917, banyak bangunan ala-ala Eropah berdiri megah di Sarawak Kingdom. Sehingga ke hari ini, bangunan-bangunan tersebut masih lagi utuh di Sarawak Bumi Kenyalang khususnya di ibu negerinya iaitu Bandaraya Kuching. Salah satu daripada bangunan ala Eropah yang didirikan ini adalah bangunan Muzium Sarawak yang lokasinya Jalan Tun Abang Haji Openg, Kuching, Sarawak.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa suatu ketika dahulu iaitu sekitar tahun 1880an, muzium Sarawak yang sementara telah didirikan di Jalan Gambier kerana pada masa itu Rajah Charles Brooke beranggapan bahawa Sarawak Kingdom harus ada satu bangunan yang menyimpan segalanya tentang Sarawak dan juga sejarah rakyatnya buat tontonan generasi pada masa hadapan. Namun apabila beliau dipengaruhi oleh individu bernama Alfred Russel Wallace iaitu seorang yang gah namanya di alam antropologi di United Kingdom, akhirnya Rajah Charles Brooke berkenan untuk menyediakan satu peruntukan di dalam budget Sarawak Kingdom pada waktu itu bagi membina satu bangunan tetap yang bergelar Muzium Sarawak.
Bangunan Muzium Sarawak didirikan pada tahun 1888 dan merupakan muzium yang tertua pernah didirikan di Borneo. Arkitekturnya adalah berasaskan senibina bangunan ala “Queen Anne” ketika era Victorian dengan menjadikan asas senibina majlis perbandaran di Normandy, Perancis. Inilah keunikan bangunan bersejarah ini yang sudah tentu akan mengamit sesiapa sahaja yang memandangnya di bumi Sarawak kerana sejak dari dahulu Sarawak digembar-gemburkan oleh mereka yang dangkal sejarah sebagai sebuah tempat di dalam hutan belantara sedangkan hakikatnya mempunyai banyak bangunan yang menunjukkan peradaban Sarawak lebih daripada itu sejak dahulu lagi.
Setelah siap dibina akhirnya pada 4hb Ogos 1891, Muzium Sarawak ini telah dibuka dengan rasminya kepada umum. Sebagai sebuah bangunan yang bergelar muzium sudah tentu apa yang ada di dalamnya juga amat berharga kepada ketamadunan dan sejarah rakyat Sarawak sejak dari dahulu lagi. Disinilah dihimpunkan semua artifak sejarah dari ketika zaman kuno Sarawak sehinggalah sekarang. Dan sememangnya adalah tidak mustahil apabila Muzium Sarawak dikategorikan sebagai antara muzium yang mempunyai koleksi artifak yang terbaik di dunia pada zaman moden ini.
Muzium Sarawak adalah antara bangunan bersejarah di Sarawak yang tidak menjadi mangsa kepada kemusnahan ketika Perang Dunia Kedua suatu waktu dahulu. Ketika di zaman pendudukan Jepun, Muzium Sarawak tetap utuh malah pentadbiran muzium ini juga diketuai oleh seorang pentadbir tentera Jepun di Sarawak. Oleh kerana itulah, segala artifak dan koleksi sejarah di dalam Muzium Sarawak itu tetap asli dan tidak dijarah walaupun ketika dijajah oleh orang asing.
Selain gah sebagai muzium yang mempunyai koleksi artifak yang terbaik di dunia, Muzium Sarawak juga sejak dari dahulu lagi juga gah dengan jurnal-jurnal sejarah yang menjadikan ianya sebagai salah satu rujukan buat penyelidik antropologi dan pakar sejarah di dunia dari dahulu sehingga sekarang. “The Sarawak Museum Journal” yang diterbitkan oleh John Moulton, seorang kakitangan Sarawak Museum pada tahun 1910an merupakan jurnal yang tertua pernah diterbitkan bagi rujukan tentang sejarah Asia Tenggara. Dan sehingga sekarang, jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh Muzium Sarawak sentiasa ditunggu-tunggu oleh penyelidik-penyelidik di seluruh dunia.
Dan kewujudan Muzium Sarawak ini sesungguhnya adalah antara yang tidak ternilai di dalam memperkatakan sejarah dan artifak yang dimiliki oleh bangsa Sarawak sejak dari dahulu lagi. Keasliannya sentiasa dijaga dari dulu, kini dan selamanya di dalam calendar sejarah Sarawak Bumi Kenyalang.
Lan Berambeh Ke Sarawak!