PEMBERONTAKAN KAUM CINA HAKKA 1857
PEMBERONTAKAN KAUM CINA HAKKA 1857
Sebenarnya kedatangan masyarakat Cina di Sarawak telah berlaku lebih awal lagi iaitu semenjak pembukaan lombong-lombong antimoni dan emas di kala pemerintahan Pengiran Mahkota lagi. Dan ianya di dalam skala besar apabila Rajah Brooke memerintah kerana dasar Brooke yang mahukan mereka membina ekonomi bagi Sarawak Kingdom pada masa itu.
Pada tahun 1857, muncul pula gerakan penentangan oleh kaum Cina yang menjadi pelombong di Bau. Mereka adalah daripada kaum Cina Hakka yang berasal dari Sambas dan mereka sudahpun berada di Sarawak sekitar tahun 1820an lagi. Golongan ini membuat kongsinya sendiri yang dinamakan San-Tiau Kou dan Ta-King. Kedua-dua pertubuhan kongsi ini bersatu padu dengan mengusahakan lombong-lombong di Bau, Bidi, Paku dan Tandong.
Apabila Brooke memerintah banyak urusan lombong-lombong antimoni dan emas diberikan kepada Borneo Limited iaitu sebuah syarikat yang menjadi hak milik Kerajaan Sarawak Kingdom. Dasar ini tidak disenangi oleh kumpulan kongsi ini dan bermulalah penentangan daripada mereka.
Sebenarnya Rajah Brooke tidak menggemari kesatuan kongsi-kongsi ini kerana dikatakan mereka seperti telah menubuhkan “negeri di dalam negeri” ketika itu. Kesatuan kongsi-kongsi ini dikatakan mempunyai sistem kehakiman tersendiri, membuat senjata, menggunakan matawang sendiri malah mengibarkan bendera mereka sendiri tidak bendera Sarawak Kingdom. Keadaan ini harus dihentikan maka muncullah sebuah syarikat perlombongan Sarawak Kingdom sendiri di dalam memastikan pengaruh ini tidak terus menular.
Selain daripada itu pada tahun 1852, Rajah Brooke telah Daerah Bau telah dibentuk di dalam peta Sarawak Kingdom pada waktu itu. Kaum Cina dibenarkan melantik kapitan daripada kaumnya sendiri dan pada masa yang sama seorang Kapitan Inggeris juga akan berada di Bau di dalam usaha mengawal pengaruh mereka di Bau. Pada ketika inilah Brooke telah menggunakan kuasanya dengan tidak membenarkan ahli kongsi membuat keputusan-keputusan penting seperti mengendalikan kes jenayah dan juga dengan sesuka hati mengambil tanah milik masyarakat tempatan di Bau malah membina parit pun tidak dibenarkan.
Jika dahulunya candu merupakan makanan bagi kaum Cina tetapi ketika di era pemerintahan Brooke, undang-undang Candu menjadi peraturan yang menjadi duri dalam daging bagi mereka. Kaum Cina Hakka juga tidak menyetujui untuk sumber ekonomi mereka sama-sama dikongsi dengan kaum Cina Hokkien dan Teochew di Kuching kerana ini adalah permusuhan lama antara mereka sejak dahulu lagi
.
Akhirnya kerana ketidakpuasan ini maka pada 18hb Februari 1857, telah berlaku penentangan yang dilakukan oleh masyarakat Cina Hakka iaitu mereka daripada pelombong emas di Bau yang dipimpin oleh Liu Shan Bang. Liu Shan Bang berdiri di hadapan sekumpulan 600 pelombong Cina di hadapan kuil lama “Tian Sze Lung Kiung” di Mau San. Mereka mendengar kata-kata semangat daripada ketua mereka Liu Shan Bang dan semangat mereka berkobar-kobar untuk berperang dengan rajah Brooke.
Pada hari ini iaitu 18 Februari 1857 telah tercatit satu sejarah di Sarawak Kingdom bahawa ada sekumpulan pelombong Cina yang akan melakukan satu tindakan besar bagi membela kaum mereka daripada terus ditindas dan dianayai. Di dalam ucapan kata-kata semangat daripada Liu Shan Bang menyatakan bahawa mereka harus bangun memberontak kerana selama ini mereka masih bersabar apabila cukai kepala dikenakan terhadap mereka walaupun pada hakikatnya pelombong-pelombong Cina terlebih dahulu mendiami dan melombong di kawasan itu sebelum James Brooke tiba di Sarawak pada 1841 lagi.
Mereka juga masih lagi berdiam diri apabila James Brooke mengusir keluar anggota masyarakat pelombong yang enggan membayar cukai. Akan tetapi mereka tidak boleh berdiam diri lagi apabila warisan cara hidup dan hak mereka mula dipijak-pijak sudah tentu mereka tidak boleh membiarkan sahaja. Larangan mengimport candu, arak selain mengeksport emas ke luar negera seperti apa yang mereka lakukan turun-temurun dahulu adalah melampau sama sekali. Selesai dengan kata-kata semangat itu, kesemua pengikut Liu Shan Bang sudah bersiap sedia untuk memulakan peperangan di Kuching.
Arahan dikeluarkan oleh Liu Shan Bang, ketua Kongsi 12 dan beraraklah ratusan angkatan pelombong bersenjata ke Pangkalan Bau yang terletak kira-kira 1 km dari Kuil Tian Sze Lung Kiung. Di pangkalan itu sudah tersedia 30 perahu besar atau jong dan mulalah angkatan pelombong menyusuri sungai menuju ke Tonjong kira-kira 2 jam perjalanan dari Bau. Terik sinaran mentari semakin malap berganti petang tetapi angkatan pelombong Cina terus bergerak dengan penuh waspada. Menjelang tengah malam tibalah angkatan pelombong Cina ini di Kuching.
Di satu kawasan rahsia, Liu Shan Bang pun mula menyusun strategi peperangan. Sebahagian daripada 600 pelombong akan bergerak di bawah pimpinannya menuju ke kediaman James Brooke manakala sebahagian lagi akan bergerak memasuki Kuching untuk menyerang dan seterusnya menawan Bandar Kuching, pusat pemerintahan Sarawak pada masa itu.
Sedang semua rakyat Kuching dibuai mimpi indah tiba-tiba terdengarlah jeritan dan pekikan membelah langit malam. Pegawai dan tentera Rajah Brooke panik kerana tidak menyedari serangan dan amukan pelombong Cina. Bangunan kerajaan musnah dibakar manakala lima pegawai Inggeris Rajah Brooke dibunuh termasuk Harry Nicholetts yang disangkakan sebagai Rajah James Brooke. Ramai warga Inggeris yang lari lintang pukang bersama-sama dengan keluarga mereka memohon perlindungan di sebuah Gereja di Kuching.
Liu Shan Bang menghala ke kediaman Rajah James Brooke dan terus melakukan amukan di kediaman tersebut, James Brooke berjaya meloloskan diri daripada kepungan dengan terjun ke Sungai Sarawak dan berenang di celah-celah jong Cina yang terdapat di sungai berkenaan. Bila fajar menyinsing pada tanggal 19 Februari 1857, Kuching telah ditawan dengan jayanya oleh Pelombong Cina dari Bau.
Pada tarikh itu juga Liu Shan Bang telah mula mengatur pentadbiran baru iaitu dengan mengarahkan Pengurus dan pedagang Syarikat Borneo, Ludvig Helms dan Rupell yang merupakan sekutu mereka di dalam perlombongan emas untuk menjaga kepentingan penduduk Inggeris yang terselamat di Kuching. Manakala Datu Patinggi Ali telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan kaum Melayu dan kaum pribumi yang lain di Kuching dan kaum Cina Kuching diuruskan oleh Kongsi Hakka.
Setelah 3 hari berkuasa di Kuching, Liu Shan Bang berpendapat bahawa Kuching lebih elok ditadbir oleh mereka yang lebih pintar mentadbir jadi pada 21 Februari 1857, Liu Shan Bang dengan kesemua angkatan pelombong telah berundur kembali ke Bau. Tetapi dalam perjalanan pulang itu, angkatan pelombong telah diserang oleh James Brooke yang disangkakan mati itu dengan bantuan daripada anak saudaranya Charles Brooke serta pasukan kaum iban Skrang yang setia kepada pemerintahan James Brooke.
Angkatan pelombong Liu Shan Bang berpatah balik menuju ke Kuching dan di Kuchinglah pertempuran maha hebat berlaku dengan pasukan James Brooke membedil Bandar Kuching bertubi-tubi. Serangan itu telah berjaya menenggelamkan beberapa jong pelombong Cina dan ramai antara pelombong Cina ini berundur ke Bau.
Dendam kesumat Rajah James Brooke tidak terhenti di situ sahaja walaupun kemenangan telah berpihak kepadanya. Angkatan perang James Brooke telah mengejar angkatan pelombong Cina sehingga ke Bau. Setiap saki baki pelombong Cina tidak kira wanita atau kanak-kanak kecil yang tidak sempat melarikan diri ke Sambas dibunuh.
Bagi yang sempat bersembunyi di gua-gua hantu di sekitar Bau jika diketahui lokasinya juga akan dibunuh oleh angkatan James Brooke. Hampir 2,000 orang pelombong Cina Kongsi 12 dan kaum keluarga mereka dibunuh bagi memastikan tiada lagi pemberontakan yang akan dilakukan oleh mereka. Dan tanggal 21 Februari 1857, sekali lagi Kuching dibawah pentadbiran Rajah James Brooke.
#KamekSayangSarawakBah!