top of page

ETNIK BAKONG, SARAWAK, BORNEO

ETNIK BAKONG, SARAWAK, BORNEO


Bakong atau Bakung atau Bahung atau Kenyah Bakong atau Bakung Kenya, itulah nama-nama lain bagi memperkatakan satu lagi etnik yang dikategorikan di dalam sub-etnik Kenyah. Dan seperti juga etnik Kenyah, etnik Bakong juga dikategorikan dibawah satu masyarakat di Sarawak yang dikenali dengan nama Kaum Orang Ulu Sarawak. Populasi etnik Bakong ini ramai tertumpu mendiami di daerah Baram, Miri, Sarawak.


Menurut sejarahnya suatu waktu dahulu, etnik Bakong ini sebenarnya merupakan etnik Kenyah itu sendiri namun begitu akibat ada satu peristiwa yang terjadi di ketika etnik Kenyah melakukan penghijrahan semula daripada Dataran Usun Apau ke seluruh kawasan Borneo suatu waktu dahulu, dikatakan ada segelintir masyarakat etnik Kenyah itu sendiri tidak melakukan penghijrahan beramai-ramai itu.


Dan mereka yang “tertinggal” di Dataran Usun Apau itu lebih gemar mengenal diri mereka sebagai “Orang Bakong”. Dan apabila mereka juga akhirnya turut serta berhijrah ke seluruh pelusok Borneo selepas yang etnik Kenyah yang lain, mereka tetap menggelar diri mereka sebagai “Orang Bakung” sampai bila- bila lalu terbentuk satu etnik yang dinamakan Etnik Bakong yang mempunyai adat resam yang sama seperti etnik Kenyah.


Jika dilihat dari bahasa pula, Etnik Bakong mempunyai bahasanya yang tersendiri yang dikenali dengan Oga Bakung. Rumpun bahasa bagi Oga Bakung ini adalah diklasifikasikan dibawah rumpun bahasa Austronesian: Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Kayan-Kenyah, Kenyah. Dan dikatakan bahawa bahasa etnik Bakong ini sedang diancam kepupusan sekarang kerana kurangnya bahasa ini dipraktikkan di dalam etnik Bakong terutama sekali daripada generasi mudanya.


Seperti etnik Kaum Orang Ulu yang lain, etnik Bakong juga mempunyai stratifikasi sosial di dalam penghidupan mereka yang diwarisi sejak zaman berzaman lagi. Walaupun pada masa sekarang ianya tidak dipraktikkan lagi namun ianya tetap menjadi warisan kebanggaan bagi setiap Kaum Orang Ulu kerana ada beberapa criteria seperti di dalam adat perkahwinan, pertunangan dan kematian masih lagi digunapakai. Secara umumnya stratifikasi sosial bagi etnik Bakong dikenali dengan “Ape Tali” dan “Kelunan Panyen” yang merujuk kepada kelas bawahan. “Kelunan Paren” dan “Panyen Aung” pula merujuk kepada kelas atasan ataupun bangsawan.


Jika etnik Penan kaya dengan kepakaran hasil seni mereka di dalam kerja-kerja logam apa kurangnya dengan etnik Bakong apabila mereka juga dikatakan amat terkenal dengan kepakaran mereka di dalam seni pahat atau seni mengukir kayu. Mungkin ramai kita tidak mengetahui bahawa ramai hasil kerja tangan mengukir kayu yang kita lihat sekarang seperti ukiran-ukiran pada tiang-tiang keranda kaum orang ulu dikatakan banyak diukir oleh etnik Bakong suatu waktu dahulu.


Suatu waktu dahulu etnik Bakong merupakan antara etnik pribumi yang begitu kuat dengan agama pagannya yang dikenali dengan nama Bungan namun setelah adanya kemasukan agama oleh mubaligh-mubaligh kristianiti di bumi Sarawak sekitar awal tahun ke 19 Masihi, ramai antara mereka telah memeluk agama Kristian sebagai panduan penghidupan mereka. Walaupun begitu bagi menjunjung adat, ada sesetengah ritual masih lagi digunapakai dan ritual-ritual ini tidaklah bercanggah dengan agama yang mereka anuti sekarang.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page