FORT MARGHERITA
FORT MARGHERITA
Sesiapa yang pernah menjejakkan kaki ke Tebingan Kuching sudah tentu akan terpandang sebuah bangunan putih berbentuk empat segi di seberang Sungai Sarawak yang tampak cantik dan indah jauh dari hiruk pikuk kota. Bangunan tersebut adalah Kubu Margherita, antara kubu yang menjadi pertahanan tentera zaman berzaman.
Kubu Margherita (Fort Margherita) mula dibina pada tahun 1878 dan siap sepenuhnya pada tahun 1879 dengan kos keseluruhan 8,100 Dolar Spanish. Kubu ini dinamakan ‘Fort Margherita’ bersempena dengan nama isteri Rajah Charle Brooke, Rajah Sarawak yang ke-2 iaitu Ranee Margaret. Dengan kedudukan yang strategik di atas bukit mengadap lencongan Sungai Sarawak, kubu ini berperanan sebagai tempat pertahanan utama Rajah Brooke yang menghadapi tentangan berterusan dari penduduk pribumi suatu ketika dahulu.
Pada tahun 1932, kubu ini pernah dijadikan sebagai pusat ibu pejabat Pasukan Renjer Sarawak. Pada asalnya iaitu sebelum tahun 1934 hanya terdapat bilik tahanan tetapi telah ditambah menjadi kubu. Pada tahun 1941, semasa pendudukan Jepun di Sarawak, kubu ini juga dijadikan sebagai pengkalan Kampetai bagi tentera Jepun. Melihat kepada nilai sejarah kepada kubu ini dengan sejarah Sarawak maka, pada tahun 1971 kubu ini telah disenaraikan sebagai Bangunan Bersejarah Sarawak di bawah Antiquities Ordinance (Ordinan Warisan Bandaraya Sarawak, 1993).
Kubu ini berbentuk bangunan segi empat dibina dari batu-bata berplaster. Ia mempunyai 3 tingkat iaitu tingkat bawah berlantai tanah untuk kawalan dan bilik tahanan. Tingkat 1 dan 2 berlantai kayu belian untuk ruang kediaman tentera. Manakala bahagian bumbung merupakan tempat kawalan. Tangga putar (spiral staircase) daripada kayu belian dan bertiang besi terletak disatu penjuru menghubungkan setiap aras sehingga ke bumbung. Menara tangga ini lebih tinggi dari bumbung untuk pengawal meninjau jarak yang lebih jauh.
Sesuatu yang agak unik pada peranan polis sentri di Kubu Margherita ini adalah setiap sentri yang bertugas akan turun dan naik kepada setiap post sentri pada setiap jam dan akan melaungkan “ALL’S WELL” atau “semuanya baik” sehingga pukul 8.00 pagi. Jeritan ini boleh didengar sehingga ke perkampungan melayu yang berhampiran dan astana negeri. Walaupun selepas Rajah Brooke tidak memerintah amalan sentri ini tetap diteruskan walaupun semasa pendudukan Jepun pada Perang Dunia Ke-2.
Akibat serangan yang lebih hebat dari penduduk pribumi, kubu ini telah diperbesar pada tahun 1934 dengan membina tembok tinggi yang bersambung dengan bangunan asal. Bangunan ini mempunyai halaman salam yang luas untuk perbarisan tentera. Ia dilengkapi dengan dua menara tinjau dan laluan untuk tentera berkawal pada sepanjang tembok. Lubang-lubang meriam dibina pada tembok menghala Sungai Sarawak dan perkampungan Melayu di bawah bukit.
Kubu ini dijadikan pengkalan Renjer Sarawak ada tahun 1932, Pejabat Kampetai Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2 dan terakhir sebagai Muzium Polis. Jabatan Warisan Negara telah membuat kerja pembaikan pada tahun 2006. Walau bagaimanapun, ia mengalami kerosakan setelah dikosongkan oleh Polis sewaktu projek pembinaan bangunan baru Dewan Undangan Negeri Sarawak bersebelahan kubu ini. Konservasi kubu ini merupakan salah satu projek utama Jabatan Warisan Negara pada tahun 2011-2012 di bawah Program Rancangan Malaysia ke-10.
Semoga Kubu ini akan terus terpelihara sebagai salah sebuah kubu bersejarah yang menjadi saksi kepada sejarah Sarawak dibawah pemerintahan Brooke, pendudukan Jepun dan koloni British. Kubu ini lambang kepada kubu pertahanan zaman berzaman.