top of page

FROM SIBUTI WITH LOVE


FROM SIBUTI WITH LOVE


Sibuti merupakan salah satu daerah kecil di Bekenu, Miri, Sarawak yang terletak di utara Sarawak Bumi Kenyalang. Sibuti sekarang adalah dibawah pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Sibuti yang dibawah naungan pentadbiran Bahagian Miri, Sarawak. Majoriti penduduk Sibuti adalah terdiri daripada masyarakat Kedayan, Melanau, Kayan dan banyak lagi etnik-etnik kecil di Sarawak.


Menurut cerita orang-orang tua di Sibuti, nama Sibuti menurut sejarahnya adalah berasal daripada perkataan masyarakat Kedayan yang ramai mendiami Sibuti sejak dahulu lagi. Ianya sebenarnya bermula daripada cerita beberapa orang nelayan berbangsa Melanau Mukah yang datang ke daerah Sibuti untuk mencari ikan memandangkan ketika itu daerah Sibuti sememangnya kaya dengan hasil laut.


Berlaku satu peristiwa yang menjengkelkan kepada nelayan Melanau tersebut kerana hasil tangkapan laut mereka amat sedikit jika berbanding dengan nelayan-nelayan daripada masyarakat Kedayan yang sudah pasti anak tempatan Sibuti. Sebagai anak tempatan Sibuti sudah tentu mereka mengetahui di manakah lubuk-lubuk ikan berbanding dengan nelayan Melanau itu. Oleh kerana tidak berpuashati akhirnya nelayan Melanau telah menghampiri perahu nelayan Kedayan dan bertanya apakah ilmu yang mereka gunakan.


Dengan nada merendah diri nelayan Kedayan telah menjawab di dalam bahasa kedayan iaitu “sa buting” yang bermaksud kawasan sungai yang satu atau sa butir. Jadi nelayan Melanau Mukah ini pun turut mahu ke “Sa buting” malah mereka juga telah berpakat untuk berpindah beramai-ramai ke Sibuti dan akhirnya lama-kelamaan mereka menyebutnya dengan pelat tempatan yang akhirnya timbullah perkataan Sibuti yang merujuk kepada kawasan Sibuti sekarang. Ini hanyalah salah satu daripada variasi cerita bagaimana Sibuti mendapat nama.


Sejarah Sibuti sebenarnya telah bermula semenjak di zaman pemerintahan Kesultanan Brunei Darussalam di Sarawak lagi. Ketika itu Sibuti merupakan tanah kuripan kepada pembesar-pembesar dari Negara Brunei Darussalam. Untuk itu Sibuti pada masa itu mempunyai sistem pemerintahannya sendiri dengan setiap hasil daripada tanah Sibuti akan diusahakan oleh pembesar-pembesar yang sebenarnya di kalangan keluarga diraja Kesultanan Brunei Darussalam yang kemudiannya menghantar ufti kepada Sultan Brunei setiap tahun.


Sibuti merupakan tanah kuripan yang dikhaskan untuk Pangeran Sulaiman Damit. Sekitar tahun 1876, Sibuti mengikut sejarahnya telah berada di dalam kancah peperangan apabila pada tahun itu, Sibuti telah diserang oleh Raja Aban Jau iaitu salah seorang pemimpin daripada masyarakat Sebop dari Sungai Tinjar, Baram. Perang ini berlaku kerana dikatakan bahawa Raja Aban Jau berang dengan seorang ketua masyarakat Sibuti yang bernama Orang Kaya Ladong dan Lebaai yang memberi perlindungan kepada beberapa orang hamba abdi yang lepas lari daripada masyarakat Sebob dari Sungai Tinjar, Baram.


Raja Aban Jau telah mengutuskan utusan kepada mereka untuk menyerahkan hamba-hamba abdi tersebut sebaliknya Orang Kaya Ladong telah merujuk hal tersebut kepada Pangeran Sulaiman Damit. Dan sebagai pembesar yang berkuasa kepada Sibuti pada masa itu, Pengeran Sulaiman Damit juga menyokong tindakan Orang Kaya Ladong maka berlakulah peperangan diantara Sibuti dan Raja Aban Jau. Peperangan ini tidaklah berlangsung lama kerana pada ketika itu Rajah Brooke telah menghantar utusan kepada kedua-dua pihak untuk berdamai dan kedua-duanya akur bagi mengelakkan Sibuti dan Tinjar diserang pula oleh tentera Rajah Brooke ketika itu.


Sekitar tahun 1881, Sibuti turut mendapat tempias di dalam perluasan jajahan takluk Sarawak Kingdom oleh Rajah Brooke pada masa itu. Sibuti telah diberikan kepada Rajah Brooke melalui Pangeran Pemancha Muhammad Salleh. Berlaku pertikaian di dalam hal ini yang mana pada tahun 1913, keturunan Pangeran Sulaiman iaitu Pangeran Kola, Pangeran Daud serta Pangeran Reshad telah turut menuntut hak bayaran yang sama seperti apa yang dibayar oleh Kerajaan Brooke kepada keturunan Pangeran Pemancha Muhammad Salleh iaitu Pangeran Haji Muhammad.


Kes tuntutan ini dibawa sehingga ke mahkamah dengan diadili oleh Ketua Hakim Sarawak Kingdom ketika iaitu Sir W.H Hynman Jones. Di dalam perbicaraan itu barulah diketahui bahawa sekitar tahun 1876 iaitu selepas tamatnya perang dengan Raja Aban Jau, Pangeran Sulaiman telah menggadaikan Sibuti kepada Pangeran Bahar yang kemudiannya telah memberikan kuasa kepada keluarga Pangeran Pemancha Muhammad Salleh untuk berkuasa di Sibuti.

Masyarakat Kedayan merupakan salah satu masyarakat yang paling ramai mendiami daerah Sibuti. Penghijraham masyarakat ini ke Sibuti juga mempunyai sejarah yang unik sekali. Menurut catatan sejarah dari Benedict Sandin ada menyatakan bahawa suatu masa dahulu Sibuti pada asalnya sebelum kedatangan masyarakat Kedayan telah didiami dahulu oleh etnik Dalek, Miriek dan Bakong. Pada ketika itu dikatakan bahawa etnik-etnik ini mengamalkan agama animisme dan hanya selepas kedatangan masyarakat Kedayan ke Sibuti barulah mereka memeluk Islam.


Penghijrahan masyarakat Kedayan ke Sibuti berlaku sejak Sibuti masih lagi menjadi tanah kuripan pembesar Negara Brunei Darussalam. Di katakan bahawa penghijrahan masyarakat Kedayan yang mendiami Sibuti sekarang adalah masyarakat Kedayan yang berasal dari daerah Gadong dan Tutong, Brunei Darussalam. Dan penghijrahan masyarakat kedayan dari tempat asal mereka ini ke daerah Sibuti bukannya melalui jalan laut tetapi dengan hanya berjalan kaki melalui persisiran pantai Sibuti.


Apabila Sibuti diserahkan di bawah kekuasaan Kerajaan Sarawak Kingdom, Penghulu Haji Abdul Gapor telah diangkat sebagai ketua masyarakat Kedayan di Sibuti manakala Ketua Masyarakat Sibuti pula adalah Orang Kaya Damong yang merupakan salah seorang yang dikenali sebagai Kaum Badami (Bakong/Dalek/Miriek). Inilah antara keunikan daerah kecil Sibuti yang mana sehingga ke hari dikatakan hampir setiap kampungnya mempunyai satu persefahaman di dalam memilih ketua mereka iaitu secara bergilir-gilir diantara masyarakat Kedayan dan kaum Badami.


Sibuti bukan sahaja kaya dengan sejarah lampaunya yang bermula daripada sebagai tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam sehingga menjadi salah satu empayar jajahan Negara Sarawak dan juga kaya dengan sejarah adat istiadat masyarakat Kedayan dan Badami tetapi juga sebenarnya Sibuti mempunyai beberapa tempat dan acara yang boleh menjadi penjana kepada industri pelancongan di Sarawak.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di Sibuti terdapat satu kawasan tarikan penyelam dasar laut yang dikenali sebagai Sibuti National Reef yang dikatakan antara kawasan menyelam yang tercantik dan mempunyai keindahan dasar laut yang sekelas dengan kawasan menyelam yang lain di dunia.


Selain itu Sibuti juga mempunyai acara tahunan Regatta Sibuti yang saban tahun menjadi tarikan pelancong luar dan tempatan untuk menyaksikan sukan regatta seperti pertandingan perahu dan banyak lagi acara yang penyertaannya bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan Sibuti malah juga rakyat Negara Brunei Darussalam juga turut serta bagi memeriahkan suasana. Hubungan masyarakat Sibuti dan Negara Brunei Darussalam sememangnya amat rapat sekali memandangkan ramai antara mereka masih lagi mempunyai hubungan kekeluargaan dengan masyarakat Brunei Darussalam sehingga ke hari ini.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.


bottom of page