top of page

KERAJAAN NAN SARUNAI, KALIMANTAN SELATAN, BORNEO


KERAJAAN NAN SARUNAI, KALIMANTAN SELATAN, BORNEO

- Pendirinya Suku Dayak Maanyan


Kerajaan Nan Sarunai itulah nama satu lagi kerajaan kuno yang pernah wujud di Borneo dan lokasinya dipercayai berada di antara Kabupaten Hulu Sungau Utara dan Kabupaten Tabalung, Provinsi Kalimantan Selatan, Republik Indonesia suatu waktu dahulu. Banyak nama-nama lain bagi kerajaan kuno ini seperti Kerajaan Kuripan, Kerajaan Tanjung Puri dan Kerajaan Tabalong namun walau apa jua nama yang dinyatakan Kerajaan Nan Sarunai ini secara sejarahnya pendirinya adalah daripada masyarakat pribumi Borneo yang dikenali dengan nama suku Dayak Maanyan.


Jika memperkatakan Kerajaan Nan Sarunai maka ianya tidak boleh lari daripada satu lagi kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Borneo iaitu Kerajaan Kesultanan Banjarmasin. Ini kerana daripada Kerajaan Nan Sarunai inilah suatu waktu dahulu Kerajaan Kesultanan Banjarmasin itu bermula yang merupakan satu kerajaan Islam yang telah menyatukan banyak kerajaan Islam di bumi Borneo seperti Kerajaan Landak, Kerajaan Paser, Kerajaan Qwotaringin dan banyak lagi menjadi empayar besarnya di Kalimantan, Borneo.



Kewujudan Kerajaan Nan Sarunai


Amat sukar untuk mencari kajian ilmiah mengenai keberadaan Kerajaan Nan Sarunai kerana ianya tidak begitu diperjelaskan namun begitu mengikut kajian yang dijalankan oleh beberapa orang pengkaji sejarah di bumi Indonesia contohnya Babe Kuden dan Noorselly Ngabut menyatakan bahawa Kerajaan Nan Sarunai diasaskan oleh dua orang bersaudara yang merupakan pemimpin kepada suku Dayak Maanyan. Kedua-dua adik beradik ini bernama Datu Sialing dan Datu Gamiluk Langit.


Pada mulanya kedua-dua pemimpin adik beradik ini membawa sekelompok orang Dayak Maanyan berpindah untuk mencari tanah-pamah yang subur untuk diusahakan dan seterusnya menjadi penempatan kekal untuk penghidupan mereka. Berdirinya Kerajaan Nan Sarunai lokasinya diceritakan di satu tempat yang bernama Lili Kumeah. Dan tempat bernama Lili Kumeah itu sekarang adalah berada di provinsi Tabalung, Kalimantan Selatan.


Lain pula kenyataan yang diutarakan oleh seorang pengkaji sejarah bernama Sutopo Ukip di dalam artikelnya yang berjudul “Balai Adat Jadi Lambang Persaudaraan Orang Maanyan, Banjar dan Madagaskar”. Di dalam artikelnya ini dinyatakan bahawa pada sekitar tahun 1309 Masihi, Kerajaan Nan Sarunai dipimpin oleh Raden Japutra Lavar (1309-1329). Raden Japutra Lavar walaupun seorang Dayak Maanyan tetapi menggunakan gelaran “Raden” kerana pengaruhnya yang kuat di dalam keluarga bangsawan Majapahit. Ini kerana beliau merupakan seorang pedagang yang tersohor yang sering berurusan dengan Kerajaan Majapahit pada ketika itu.


Menurut Sotopo Ukip, pentadbiran Kerajaan Nan Sarunai yang berdasarkan kepada pola, sistem dan struktur pentadbiran Kerajaan Nan Sarunai yang menyerupai pola pentadbiran Kerajaan Majapahit yang jauh lebih ke hadapan berdasarkan kepada kewujudan garismasa yang dikatakan wujud antara kurun ke-3 Masihi. Selepas mangkatnya Raden Japutra Lavar, diangkat pula puteranya iaitu Raden Neno (1329-1349) dan kemudian Raden Anyan (1349 – 1355) yang bergelar Datu Tatuyan merupakan pemerintah Kerajaan Nan Sarunai terakhir setelah kalah di dalam Perang Usak Jawa pada tahun 1355.


Menurut tradisi lisan yang ditulis di dalam sebuah manuskrip purba yang berjudul Hikayat Banjar yang mula ditulis pada tahun 1663 Masihi pula menyatakannya di dalam bentuk lagu rakyat di dalam bait-baitnya memperjelaskan Kerajaan Nan Sarunai ini. Nyanyian atau lagu rakyat suku Dayak Maanyan di dalam Hikayat Banjar ini memperkisahkan tentang kejatuhan Kerajaan Nan Sarunai akibat serangan daripada Kerajaan Majapahit pada abad 13 Masihi Peristiwa ini di dalam dialek suku Dayak Maanyan dikenali dengan nama Usak Jawa.


Yang menjadi “turning point” di dalam memperjelaskan keberadaan Kerajaan Nan Sarunai ini adalah apabila penemuan arkeologi yang berbentuk sebuah candi yang dijumpai di Sungai Malang, Kecamatan Amuntai Tengah, Kabupaten Hulu Sungai Utara, Kalimantan Selatan. Kajian hidro karbon yang dilakukan kepada sampel arang candi oleh sekumpulan professional pada tahun 1996 pula menemui sesuatu yang menarik apabila keputusannya menunjukkan bahawa ianya berusia pada tahun 242 Masihi hingga 226 Masihi.


Berdasarkan kepada garis waktu itu dan sekiranya benar ianya menunjukkan bahawa Kerajaan Nan Sarunai itu jauh lebih tua dibandingkan dengan Kerajaan Kutai Martadipura di Kalimantan Timur. Dan jika ianya dikaitkan dengan sejarah susur galor suku Dayak Maanyan jika dikaji dari sudut penghijrahan sememangnya tidak dinafikan bahawa suku Dayak Maanyan adalah suku dayak tertua yang berada di bumi Kalimantan suatu waktu dahulu.



Keruntuhan Kerajaan Nan Sarunai


Di bawah pemerintahan suku Dayak Maanyan dikatakan bahawa Kerajaan Nan Sarunai telahpun gah namanya sekitar tahun ke-11 Masihi sehingga ianya mampu berinteraksi dan berniaga dengan ramai bangsa-bangsa seantero Nusantara pada waktu itu. Dengan suku Dayak Maanyan yang terkenal sebagai seorang pelayar dan banyak melakukan pelayaran sehingga ke Madagaskar maka ianya tidak mustahil mereka mampu menjadikan Kerajaan Nan Sarunai mempunyai hubungan perniagaan dengan Indragiri, Majapahit, Gowa dan banyak lagi.


Walaupun mempunyai hubungan yang rapat dengan Kerajaan Majapahit namun begitu keberadaan Kerajaan Nan Sarunai sebagai sebuah kerajaan di Borneo tidak begitu disenangi oleh Hayam Wuruk, iaitu raja Majapahit pada waktu itu. Sekitar tahun 1355, titah untuk menyerang Kerajaan Nan Sarunai telah dikeluarkan kepada Empu Jatmika iaitu salah seorang panglima perang Kerajaan Majapahit maka bermulalah penaklukan Kerajaan Nan Sarunai sehingga ianya dikenali sebagai Usak Jawa di dalam lagu rakyat suku Dayak Maanyan.

Setelah runtuhnya Kerajaan Nan Sarunai, Empu Jatmika panglima perang Kerajaan Majapahit telah mendirikan satu kerajaan diatas lokasi yang sama keberadaan Kerajaan Nan Sarunai iaitu di Amuntai. Kerajaan yang berdiri setelah runtuhnya Kerajaan Nan Sarunai dikenali dengan Kerajaan Negara Dipa yang pemerintahannya juga mempunyai pengaruh hindu.


Walaupun suku Dayak Maanyan tidak lagi memimpin sebuah kerajaan sendiri namun begitu susur galur keturunan suku Dayak Maanyan ini tertera pada Puteri Junjung Buih atau Poetrie Djoendjoeng Boeih atau Poetri Djoendjoeng Boewih yang merupakan salah seorang puteri hasil perkahwinan pemimpin suku Dayak Maanyan. Perkahwinan Puteri Junjung Buih dengan Pangeran Suryanata yang menjadi penguasa Kerajaan Negara Dipa adalah pautan Kerajaan Nan Sarunai dengan Kerajaan Negara Dipa suatu waktu dahulu.


‪#‎KamekSayangBorneoBah!


bottom of page