top of page

MISTERI SANG BUAYA DI DALAM MASYARAKAT SARAWAK


MISTERI SANG BUAYA DI DALAM MASYARAKAT SARAWAK


Jika disebut Buaya Bujang Senang sudah semestinya seseorang itu akan menggambarkan seekor buaya yang bersaiz besar dan juga terkenal dengan serangannya ke atas manusia lebih-lebih lagi di sungai-sungai di Sarawak Bumi Kenyalang. Namun begitu berapa ramaikah yang mengetahui bahawa sebenarnya cerita legenda si bujang senang ini sebenarnya banyak versi mengikut cerita lisan daripada masyarakat yang mendiami sesetengah tempat yang populasi buayanya paling banyak di sungai-sungai yang berdekatan dengan mereka.


Pada tahun 1992 dikatakan bahawa si buaya bujang senang sudahpun dibunuh mengikut apa yang diwar-warkan di dalam suratkhabar serta tulang kepalanya yang masih tersimpan di Muzium Sarawak sekarang namun majoriti daripada rakyat di Sarawak Bumi Kenyalang tetap menyatakan bahawa “bujang senang” itu masih lagi hidup kerana dia didakwa keramat dan tidak semudah itu untuk membunuhnya.



Legenda Sang Buaya Di Dalam Etnik Iban


Di riwayatkan melalui cerita lisan orang tua-tua dari etnik Iban yang mendiami kawasan sekitar Sungai Skrang Sarawak, beratus-ratus tahun dahulu ketika adat ngayau atau adat memburu kepala masih lagi diamalkan di dalam masyarakat pribumi telah gah seorang pahlawan Iban yang bernama Lungu. Pahlawan Lungu ini diceritakan sebagai seorang pahlawan yang hebat terutama sekali sewaktu beliau menyertai ekspedisi mengayau kerana menyebut namanya sahaja musuh sudah gerun.


Dikatakan bahawa Lungu telah banyak membunuh dan juga memotong kepala musuhnya dan kehebatannya bukan sahaja di kawasan sekitar Sungai Skrang namun sehingga ke Batang Lupar. Diceritakan juga bahawa Lungu ini kebal iaitu tidak lut senjata dan kerana itulah beliau di dalam setiap peperangan dengan mudah membunuh musuhnya dan tiada tercalitpun kesan kecederaan pada dirinya. Perkara akan hal kebalnya pahlawan Lungu ini telah menyebabkan musuh-musuhnya bertekad untuk mencari kelemahannya agar mudah mereka membunuh pahlawan Lungu ini kelak.


Pada satu ketika, maka bertekadlah musuh-musuh Lungu untuk menculik isteri kesayangan Lungu dan diharap dengan menculik isterinya maka dapatlah mereka mengetahui kelemahan pahlawan Lungu. Isteri kesayangan Lungu telah diculik dan disembunyikan di suatu kawasan tidak jauh daripada Sungai Batang Lupar. Apabila mengetahui bahawa isterinya telah diculik maka marahlah Lungu dan beliau dengan seorang diri telah mengejar penculik-penculik isterinya sehingga ke Sungai Batang Lupar.


Seketika di dalam penculikan itu, isteri Lungu telah diseksa oleh musuh-musuh Lungu demi mendapatkan rahsia kekebalan Lungu. Dek kerana tidak tertahan kepada keseksaan tersebut, isteri Lungu telah secara tidak sengaja membuka rahsia bagaimana untuk menewaskan Lungu. Setelah mengetahui rahsia kelemahan Lungu, musuh-musuh Lungu dikatakan telah melepaskan isteri Lungu namun apabila isteri Lungu terlerai dari ikatan tali pada tangannya, dimasa beliau berlari maka pihak musuh Lungu telah membaling tombak ke arah badan isteri Lungu maka matilah isterinya yang tidak berdosa itu.


Lungu yang melihat pembunuhan isterinya itu telah naik radang lalu bertarung dengan musuh-musuhnya. Namun sayangnya tanpa Lungu sedari bahawa rahsia kekebalannya telah bocor di tangan musuh-musuhnya. Musuh-musuh Lungu dengan sengaja mengajak Lungu untuk bertarung dekat dengan air sungai kerana dikatakan kekebalan Lungu tidak menjadi sekiranya dia memijak air sungai ataupun bertarung di dalam sungai.


Lungu yang sudah marah dan hanya ingin menuntut bela atas kematian isterinya yang dicintai sudah tidak mengindahkan pantangnya lagi dan terus bertarung. Akhirnya musuh-musuh Lungu berjaya membaling tombak dan kemudiannya Lungu tewas, Tidak cukup dengan kematian Lungu yang luka parah akibat ditombak, jasad Lungu juga disula terbalik dan mayat Lungu dan isterinya dibiarkan di tepi Sungai Batang Lupar agar ianya tenggelam dan dibawa oleh arus sungai yang deras apabila air pasang kelak.


Dikatakan bahawa mayat kedua-dua pasangan suami isteri iaitu Lungu dan isterinya setelah air pasang telah bertukar menjadi 2 ekor buaya besar. Salah seekor buaya besar ini mempunyai tanda belang putih dibelakangnya dan inilah yang dikenali sebagai Bujang Senang. Mengikut cerita orangtua juga, buaya Bujang Senang ini telah bersumpah akan menuntut bela atas kematian mereka dan bersumpah akan menjadikan setiap generasi yang mempunyai pertalian saudara musuk yang telah membunuh mereka sebagai korban.



Legenda Sang Buaya Di Dalam Etnik Melayu Sarawak


Bermukun dan bergendang merupakan salah satu adat warisan yang masih lagi dikekalkan bagi komuniti Melayu dan Melanau di Sarawak sejak dari dulu sehinggalah sekarang. Jika dahulu apabila ada pesta Bermukun dan bergendang sudah tentu ramai pemuda-pemuda dari kampung-kampung akan bertandang ke kampung yang lain bagi memeriahkan suasana. Dikatakan bahawa pesta bermukun dan bergendang telah diadakan di sebuah kampong yang berdekatan dengan Sungai Samarahan selama 5 malam berturut-turut.


Kemeriahannya ini telah menarik minat 7 pemuda bersaudara yang sememangnya bukan penduduk dari kampung tersebut. Ketampanan dan bijaknya 7 pemuda ini bermukun serta bertandak mengikut alunan tempo gendang telah menarik minat ramai wanita yang bersembunyi di sebalik tabir atau langsir dibelakang seh gendang dan pemain biola dan ini menimbulkan rasa kurang senang pemuda-pemuda di kampung tersebut.


Masuk malam ketiga segerombolan pemuda kampung telah mula hilang sabar dan telah mula menunjukkan rasa kurang senangnya dengan ketujuh-tujuh pemuda ini. Tetapi 7 pemuda ini tidak pernah melayan apa jua provokasi yang diutarakan kerana mereka sedar mereka orang datang. Segerombolan pemuda ini terus mengikut 7 pemuda ini sehinggalah ke tebing Sungai Samarahan dan mereka agak terkedu kerana apabila sampai sahaja ke gigi air, sudah tentu tiada lagi kelibat ketujuh-tujuh pemuda ini tkelihatan malah terus ghaib di kepekatan malam.


Pada keesokan harinya, pemuda-pemuda kampung ini masih tidak berpuashati kerana mereka tidak dapat “mengajar” 7 pemuda ini dan mulalah mereka membuat satu percaturan bagi memintas gerak-geri 7 pemuda ini. Setelah segalanya diatur maka pada malam itu mereka telah menunggu di tebing Sungai Samarahan dengan bersembunyi di sebalik pohon-pohon yang merimbun di tebing Sungai Samarahan. Tiba masa yang dinantikan alangkah terkejutnya mereka kerana bukan 7 pemuda yang timbul di gigi air Sungai Samarahan sebaliknya 7 ekor buaya yang besar-besar.


Apa yang membuatkan mereka lebih hairan apabila didapati adalah apabila ketujuh-tujuh ekor buaya ini akan bertukar menjadi manusia apabila menghampiri gigi air. Setiap seorang daripada mereka pula mempunyai rantai di leher yang mana loketnya adalah gigi buaya itu sendiri. Mungkin kerana tidak mahu dipandang pelik oleh masyarakat setempat maka 7 pemuda ini meletakkan rantai-rantai gigi buaya mereka di 7 batang pohon yang berlainan.


Tanpa 7 pemuda ini sedari segala tingkah laku mereka diperhatikan oleh pemuda-pemuda kampung tersebut. Seterusnya 7 pemuda ini terus ke lokasi tempat bermukun dan bergendang dan pemuda-pemuda kampung terus mengekori dan memerhatikan mereka dari jauh tanpa mahu membuat apa-apa tindakan lagi.


Setelah tamat pesta bermukun dan bergendang sekali lagi 7 pemuda ini terus pulang dan meneruskan perjalanan mereka ke tebing Sungai Samarahan. Di kala inilah pemuda-pemuda kampung telah menghalang perjalanan mereka. 6 pemuda berjaya meloloskan diri dan berjaya mengambil kalung gigi buaya mereka manakala yang paling bongsu telah berjaya ditangkap oleh pemuda-pemuda kampung malah kalung gigi buaya nya juga telah diambil oleh mereka dan dimusnahkan.


6 pemuda telah berjaya menukarkan diri mereka menjadi buaya semula dan kerana dendam kesumat pemuda-pemuda kampung telah memukul dan membelasah adik mereka yang bongsu sehingga mati walaupun dia telah merayu minta dikasihani. Buaya yang 6 itu telah menyaksikan dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana saudara bongsu mereka menemui ajal di gigi air yang sememangnya disengajakan oleh pemuda-pemuda kampung tersebut. Enam bersaudara ini telah bersumpah akan membalas dendam ke atas kematian adik bongsu mereka.


Bermula daripada malam itulah dikatakan bahawa buaya-buaya di Sungai Samarahan telah memburu dan menjadikan manusia sebagai mangsa mereka walaupun suatu waktu dahulu biar banyak buaya di sungai namun tidak pernah menjadikan manusia sebagai mangsanya.



Inilah 2 cerita legenda tentang sang buaya di dalam masyarakat Sarawak Bumi Kenyalang iaitu satu dari etnik Iban dan juga etnik Melayu Sarawak yang sudah tentu mempunyai versi-versi yang tersendiri di dalam memperkatakan satu spesis haiwan purba ini. Legenda sang buaya adalah antara legenda tersohor di Sarawak Bumi Kenyalang dan ianya sudah mewarnai cerita legenda yang diwarisi dari satu generasi ke generasi berkurun lamanya.


Adakah benar buaya Bujang Senang itu masih hidup?


Hanya Tuhan yang maha Esa yang mengetahui segalanya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


 

© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page