TAJAU
TAJAU
- Barangan Warisan Etnik Iban Sarawak
Tajau, itulah dialek di dalam masyarakat Iban bagi memperkatakan sejenis tempayan yang agak sinonim dengan etnik pribumi di Sarawak. Tajau di kalangan masyarakat Iban adalah satu barangan warisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Inilah satu barangan warisan yang suatu waktu dahulu adalah satu barangan yang HARUS ADA di dalam rumah masyarakat etnik Iban., Sarawak.
Pada suatu waktu dahulu, Tajau memainkan peranan yang besar di dalam keluarga masyarakat Iban kerana tajau inilah bekas yang digunakan untuk menyimpan beras bagi kegunaan harian. Tajau sebenarnya sejak dahulu kala lagi mempunyai kedudukan yang ekslusif di dalam masyarakat Iban kerana memiliki tajau juga menentukan kekayaan sesebuah keluarga itu.
Dahulu harga sebuah tajau yang mempunyai ciri-ciri istimewa begitu berharga sehingga harganya lebih tinggi daripada emas dan beberapa kelengkapan lain seperti tabak, chapak, pinggan-mangkuk lama, bedil, bebendai mahupun gong. Terdapat 7 jenis tajau yang paling tinggi nilainya di dalam masyarakat Iban iaitu guchi, sergiu, ningka, petanda menaga, rusa, salang-salang dan alas. Setiap ciri-ciri tajau yang disebutkan ini melambangkan kedudukan sebenar pemiliknya suatu waktu dahulu.
Ironinya, pembuatan tajau bukan dilakukan sendiri oleh masyarakat Iban tetapi ianya ditempah ataupun dibeli daripada penjual tajau daripada saudagar tembok besar China yang datang berdagang ke kepulauan Borneo suatu waktu dahulu. Dengan simbol-simbol tertentu dan lagi berusia tajau itu lagi mahal harganya di pasaran. Ada juga yang mengatakan bahawa tajau yang banyak terdapat di dalam keluarga Iban sekarang kebanyakannya diperolehi daripada suku dayak Kalimantan Barat, Indonesia yang banyak membuat tajau untuk tujuan keagamaan suatu waktu dahulu.
Bagi masyarakat Iban, tajau sebenarnya adalah satu kelengkapan semasa hidup dan mati. Semasa hidup ianya digunakan oleh tuannya untuk mengisi beras dan semasa matinya pula tajau digunakan sebagai barangan yang dibawa bersama-sama oleh si mati yang dikenali sebagai “baiya” dan ianya akan dikuburkan bersama-sama dengan si mati. Semua ini adalah mengikut kepercayaan masyarakat Iban yang mengamalkan agama pagan, tajau ini akan membawa kesenangan kepada roh si mati di alam lain kelak.
Selain itu ada juga sesetengah masyarakat Iban dahulu kala yang menjadikan tajau untuk menjadi keranda kepada si mati contohnya jika si mati itu adalah kanak-kanak kecil kerana tajau yang sederhana boleh memuatkan mayat si mati namun begitu ianya tidak juga terbatas kepada kanak-kanak kecil yang mati kerana telah terbukti melalui penemuan tajau-tajau lama ada juga sesetengah tajau yang besar-besar yang dijumpai memuatkan mayat orang dewasa yang berkemungkinan besar mempunyai hirarki tertinggi di dalam masyarakat Iban suatu waktu dahulu.
Tajau adalah sejenis barangan yang menjadi warisan turun menurun di dalam generasi masyarakat Iban yang ternyata ianya mempunyai keunikan sejarahnya sendiri bagi setiap keluarga yang memilikinya. Walaupun sekarang, tajau hanya dijadikan sebagai barangan hiasan di dalam keluarga masyarakat Iban namun begitu ianya juga merupakan satu barangan yang mempunyai “sentimental value” yang tersendiri yang hanya diketahui oleh keluarga masyarakat Iban yang memilikinya.