FORT BROOKE, NANGA MELUAN, JULAU
FORT BROOKE, NANGA MELUAN, JULAU
Fort Brooke, satu bangunan sejarah yang tidak asing di Bandar Julau. Terletak kira-kira 24 kilometer daripada Bandar Julau. Fort Brooke merupakan antara kubu-kubu tinggalan sejarah di era pemerintahan Rajah Brooke yang pernah suatu waktu dahulu menjadi rajah putih yang pertama yang memerintah Sarawak Kingdom. Seperti kubu-kubu lain yang berada di seluruh Sarawak sekarang, Fort Brooke juga dibina bagi menyekat pemberontakan tempatan atau serangan daripada lanun.
Pada tahun 1930, Penghulu Asun anak Paing, seorang penghulu berhati waja dari etnik Iban telah bangun memberontak ke atas pemerintahan Brooke iaitu semasa pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke. Punca pemberontakan oleh Penghulu Asun anak Paing adalah kerana ketidakpuasan hati beliau atas cukai kepala yang dikenakan ke atas pengikut-pengikutnya sehingga ianya amat membebankan pengikut-pengikutnya.
Maka bangunlah Penghulu Asun dan pengikut-pengikutnya memberontak kerajaan Rajah Charles Vyner Brooke. Mereka bertempur dengan angkatan tentera kerajaan Brooke di Kanowit dan menemui kekalahan. Gerakan memburu Penghulu Asun anak Paing dan pengikutnya telah dijalankan secara besar-besaran sehinggalah ke Julau sendiri. Akhirnya pada tahun 1932, Penghulu Asun anak Paing telah menyerah diri kepada kerajaan Rajah Charles Vyner Brooke dan beliau dihukum buang negeri ke Lundu.
Pada tahun 1935, Fort Brooke dibina bagi memastikan bahawa wilayah Julau dan sekitarnya adalah aman dan agar pentadbiran Brooke di kawasan itu dapat dipusatkan di Fort Brooke sendiri. Pada asalnya Fort Brooke hanya diperbuat daripada buluh dan kayu biasa sahaja tetapi selang 5 tahun kemudian setelah keamanan dicapai dan keadaan stabil di wilayah Julau, kerajaan Brooke melalui arahan daripada Rajah Charles Vyner Brooke sendiri, Fort Brooke dinaiktaraf daripada kubu diperbuat daripada buluh kepada kubu yang kuat iaitu diperbuat daripada kayu belian.
Melalui pegawai Inggeris Brooke di kawasan Julau, telah diarahkan bahawa setiap rumah panjang di kawasan Julau untuk mengadakan bekalan kayu belian iaitu satu tiang kayu belian dan 3 keping dinding kayu belian. Ianya adalah satu perintah taat setia kepada Kerajaan Brooke pada waktu itu. Maka bermulalah episod para penduduk rumah panjang bergotong royong masuk ke hutan belantara untuk menyediakan bekalan kayu belian yang diminta.
Akhirnya setelah memberikan kudrat dan dalam pencarian mendapatkan kayu belian seperti yang diperintahkan akhirnya pada tahun 1938, siaplah Fort Brooke yang baru dengan kubu yang lebih kukuh dan kuat dan amat sukar untuk ditembusi dan tinggalan sejarahnya masih kekal dan utuh sehingga ke hari ini.
Inilah sejarah Fort Brooke, di Ng Meluan, Julau yang bangunannya pernah menjadi pejabat daerah Julau dan pejabat kementerian pendidikan sewaktu dahulu. Sejarah pembinaannya mempunyai kaitan secara langsung tentang sejarah perjuangan di era Brooke.