PESTA BABULANG
PESTA BABULANG
Sarawak Bumi Kenyalang yang kaya dengan adat budaya dan warisan dari pelbagai etnik sememangnya sesuatu yang menjadi kebanggaan bagi setiap rakyat Sarawak. Jika masyarakat Melanau Sarawak berbangga dengan Pesta Kaul yang diadakan pada setiap bulan April dan masyarakat Iban dan Bidayuh berbangga dengan Pesta Gawai iaitu menandakan musim tamatnya penuaian padi maka ini tidak terkecuali dengan masyarakat Bisaya di Sarawak.
Pesta Babulang adalah salah satu pesta yang masih dirayakan sehingga ke hari ini. Pesta ini diadakan pada setiap bulan Jun saban tahun dan ianya sentiasa mendapat tempat di hati kesemua masyarakat Bisaya yang berada di seluruh Sarawak malah dari Sabah dan juga dari negara jiran iaitu Negara Brunei Darussalam.
Walaupun masyarakat Bisaya merupakan etnik minoriti di Sarawak tetapi ini tidak bermakna adat budaya mereka boleh dibiarkan begitu sahaja kerana setiap tahun ada saja yang membantu untuk menjayakan pesta ini menjadi lebih baik dan terbaik daripada tahun yang lepas. Inilah sesuatu yang harus difahami tentang masyarakat berbilang kaum di Sarawak yang tidak diketahui oleh masyarakat di luar Sarawak Bumi Kenyalang.
Sebenarnya Pesta Babulang ini telah diadakan berzaman lamanya dan mengikut sejarahnya Pesta Babulang ini sebenarnya ada kaitan dengan majlis yang diadakan oleh orang-orang berada daripada masyarakat Bisaya dahulukala. Tujuan ianya diadakan adalah untuk menandakan bahawa setiap kekayaan yang diperolehi oleh mereka yang kaya-raya juga dirasai oleh mereka yang lain dan kerana itulah pesta diadakan agar segalanya sama-sama dinikmati.
Pada zaman dahulu setiap masyarakat Bisaya yang kaya raya akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah Pesta Babulang dan sudah tentu orang kaya ini akan cuba membuat yang lebih baik daripada orang kaya sebelumnya. Dan kerana itulah saban tahun Pesta Babulang ini akan sentiasa meriah dan akan menjadi penanda aras untuk orang kaya yang lain bagi tahun hadapan.
Pesta Babulang akan dimulai dengan paluan gong yang juga merupakan alat muzik tradisional masyarakat Bisaya. Dan sudah menjadi kebiasaannya paluan gong pertama ini akan dibuat oleh mereka yang amat dihormati di dalam masyarakat Bisaya itu sendiri. Kemudian bermulalah acara di dalam pesta ini seperti Pertandingan Lumba Kerbau sesuatu yang amat unik di dalam mana-mana pesta masyarakat di Sarawak.
Sebenarnya hanya yang berani dan pakar di dalam menunggang lumba kerbau sahaja dibenarkan lebih-lebih lagi kerbau yang ditunggang bukannya mempunyai pelana jadi kemungkinan untuk jatuh dan dipijak oleh kerbau-kerbau yang besar itu sentiasa ada. Dan sudah tentu seperti kebanyakan pesta masyarakat di Sarawak ianya tidak akan lengkap jika tiada pertandingan ratu cantik.
Jika masyarakat Iban dengan Kumang dan Keling Gawak apa kurangnya dengan masyarakat Bisaya yang sudah terbukti wanita-wanitanya amat cantik sekali sesuai dengan keaslian kecantikan mereka. Tidak perlu bersolek setebal 5 inci cukuplah dengan solekan yang ringan-ringan sahaja sudah menyerlah kecantikan mereka. Pertandingan Ratu Kebaya Bedoro iaitu pertandingan memperagakan baju tradisional masyarakat Bisaya akan menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh setiap penonton.
Lan Berambeh Ke Sarawak!