top of page

RENTAP LIBAU ANAK NINGKAN


RENTAP LIBAU ANAK NINGKAN

- Pahlawan Bangsa Sarawak Yang Unggul


Libau Anak Ningkan.. mungkin nama itu tidak cukup untuk menggugat hati nurani kita kerana tiada siapa mengenali individu ini dengan nama tersebut. Namun jika dikatakan RENTAP sudah tentu umum mengetahui kepahlawan anak Iban ini yang berjuang berhabis-habisan menentang pemerintahan Brooke di Sarawak Kingdom suatu waktu itu.


Untuk mengetahui siapakah Rentap ini maka adalah molek untuk kita cuba mengenal salsilah keluarga bagi pahlawan unggul anak Iban ini memandangkan terlalu sedikit mengenai beliau yang kita ketahui.



Salsilah Keluarga Libau Anak Ningkan


Perlulah diketahui bahawa amat sukar untuk mencari salsilah sebenar Libau anak Ningkan kerana ianya tidak dapat dikesan melalui Tusut iaitu ilmu salsilah Iban yang boleh merujuk sehingga 25 keturunan generasi lampau. Kerana itu ramai pengkaji membuat andaian bahawa keturunan Libau anak Ningkan berasal dari Ulu Kapuas iaitu satu kawasan yang sememangnya permulaan mana-mana keturunan etnik Iban di Sarawak berasal.


Kerana kecelaruan ini, ramai yang mengatakan Libau dikatakan lahir sekitar tahun 1800an dan apabila dilahirkan dibawa keluarganya untuk berhijrah dari Ulu Kapuas menuju ke Ulu Skrang mencari tanah pamah yang subur. Dan ada juga yang mengatakan bahawa Libau itu sendiri sebenarnya dilahir dan dibesarkan di Skrang.


Berdasarkan kepada geneologi yang ditulis di dalam sebuah buku karangan Chang Pat Foh melalui bukunya yang berjudul “Legends and The History Of Sarawak” yang diterbitkan pada tahun 1999 menceritakan bahawa salsilah keturunan Libau anak Ningkan ini bukanlah dari calang-calang orangnya. Malah keturunan juga sebenarnya telah mencatit nama-nama besar di dalam rentetan kalendar sejarah Sarawak sejak dari dahulu lagi.


Dikatakan ayah kepada Libau ini bernama Ningkan yang beristerikan seorang induk dara Iban bernama Imbong. Hasil perkahwinan mereka ini telah dikurniakan dengan 5 orang cahayamata yang bernama Libau anak Ningkan, Jarop anak Ningkan, Ringgit anak Ningkan, Lepo Anak Ningkan dan Serini anak Ningkan. Libau, Jarop dan juga Ringgit menetap di Skrang manakala Lepo pula telah berhijrah mendiami kawasan sekitar Sungai Ngemah iaitu salah satu cawangan sungai Batang Rajang. Adik perempuan Libau yang bernama Serini pula telah berhijrah untuk mendiami kawasan Sungai Muput, salah satu cabang Sungai Anap, Tatau, Bintulu.


Seperti pemuda Iban yang lain apabila dewasa, Libau juga mempunyai keinginan untuk berumahtangga dan beliau melangsungkan perkahwinannya dengan memilih seorang gadis bernama Sawai. Hasil perkahwinan Libau dan Sawai ini dikurniakan dengan seorang anak perempuan yang dinamakan Tambong. Kemudian kerana ingin mempunyai keluarga yang besar, akhirnya Libau dan Sawai telah mengambil anak saudara mereka iaitu Ensimai sebagai anak angkat mereka. Ensimai merupakan anak kepada adik Libau iaitu Ringgit. Dan Ringgit seperti juga Libau bukanlah calang-calang anak Iban kerana dia juga seorang “Bujang Berani” yang telah banyak memenggal kepala musuh sewaktu perang kayau.


Anak Libau yang bernama Tambong telah dijodohkan dengan seorang pemuda bernama Layang namun hasil perkahwinan mereka tidak dikurniakan dengan cahayamata. Demi untuk memeriahkan keluarga akhirnya kedua-duanya bersetuju untuk mengambil seorang anak angkat perempuan bernama Subang. Daripada Subang inilah adanya kaitan antara darah pahlawan apabila beliau berkahwin dengan Penghulu Dalam Munan anak Penghulu Minggat dari Awik, Sungai Krian.


Dan jika kita menyelusuri rentetan sejarah Sarawak kita akan pernah mendengar bagaimana seorang pegawai Kerajaan Sarawak Kingdom telah terbunuh dan kepalanya dipenggal iaitu Tuan Alan Lee ketika pertempuran di Lintang Batang berdekatan dengan Nanga Sekarang. Kepala Tuan Alan Lee berpisah dari badannya oleh menantu Libau itu sendiri iaitu suami kepada Tambong iaitu Layang.


Cucu menantu kepada Libau iaitu suami kepada Subang yang bernama Penghulu Dalam Munan juga bukan orang yang sembarangan kerana beliau juga seorang pahlawan yang terkenal. Cuma bezanya beliau adalah antara antara orang kepercayaan Rajah Charles Brooke yang menjadi peneraju utama di dalam perang Brooke terhadap orang Kayan-Kenyah di Ulu Belaga. Penghulu Dalam Munan juga antara orang yang memimpin bala tentera pro-Brooke di dalam menumpaskan penentangan yang dilakukan oleh Ngumbang dan Bantin, pemimipan Iban Ulu Ai.


Besan kepada Layang pula iaitu ayah kepada Penghulu Dalam Munan bernama Penghulu Minggat juga seorang yang berpengaruh di dalam komuniti Iban. Penghulu Minggat bersama-sama dengan Chulo Tarang adalah mereka yang memainkan peranan yang besar di dalam membantu Rajah Charles Brooke menghapuskan penentangan yang dimulakan oleh etnik Kayan-Kenyah dan Kejaman di Ulu Belaga. Pemberontakan Ngumbang dari Ulu Ai, Mujah Buah Raya di Ulu Julau dan juga Balang dan adiknya iaitu Enjop di Ulu Katibas.


Jika dilihat kepada nama-nama yang disebutkan ini sudah cukup membuktikan bahawa pahlawan unggul anak Iban pejuang Bangsa Sarawak ini bukanlah sembarangan orangnya sehingga memungkinkan setiap satu generasinya juga mencatitkan nama-nama besar di dalam kalendar sejarah Sarawak sejak dari dahulu lagi.



Libau anak Ningkan Digelar Dengan Nama “Rentap”


Suatu waktu dahulu ketika tradisi perang perluasan wilayah masih lagi dipraktikkan, sudah menjadi kebiasaan kepada mana-mana pahlawan Iban yang berjaya memenggal kepala musuh akan diberikan nama jolokan dan dari situlah nanti mereka akan digelar “Bujang Berani”. Untuk Libau anak Ningkan semuanya bermula apabila beliau mengetuai Iban Skrang dibawah pimpinan Orang Kaya Pemancha Dana Bayang menyerang satu perkampungan Melayu dan Kaum Cina di Pekan Pontianak.


Ketika itu, Libau merupakan “Tuai Serang” bagi ekspedisi Kayau tersebut. Di ketika di dalam perang itu, Orang Kaya Pemancha Dana Bayang dengan dibantu oleh Libau telah berjaya mengalahkan orang Melayu Pontianak dengan menyerang mereka di dalam perahu. Pada masa itulah Libau berjaya memenggal beberapa kepala musuh mereka.


Selain daripada itu Libau juga menjadi Tuai Perang bagi satu lagi perang kayau dibawah Orang Kaya Rabong. Kali ini Libau dikatakan menyerang kapal yang dimiliki oleh Sultan Pontianak. Pengikut-pengikutnya dari Saribas dan Skrang telah berperang tanpa mengenal erti takut biarpun pada ketika itu mendapat tentangan daripada tentera Sultan Pontianak yang mempunyai kelebihan daripada peralatan perang seperti meriam dan sebagainya. Di dalam perang ini, Libau dan juga pengikut-pengikutnya telah berjaya merampas meriam dan beberapa peralatan perang yang lain. Dan mereka kembali ke Skrang tanpa ada seorang pun daripada pihak pengikut Libau yang terkorban.


Oleh kerana kejayaan dan keberanian Libau ini di dalam perang kayau inilah beliau diangkat menjadi “Bujang Berani” dengan gelaran Rentap yang bermakna ensumbar di dalam bahasa Iban. Selain itu beliau juga dikenali dengan jolokan Libau Panggau Dara, Rentap Tanah Kudi Menoa. Rentap juga adalah Tau Serang, Tau Kayau, Tau Mulau yang sebaris dengan pahlawan-pahlawan Iban yang dikenali sebagai Raja Berani Saribas dan Skrang yang lain.



Perang Rentap Keatas Pemerintahan Brooke


Kemunculan penentangan yang dipelopori oleh Rentap di Skrang telah memeningkan kepala pemerintahan Brooke pada masa itu. Dan oleh kerana itulah Rentap dilabelkan oleh pemerintahan Brooke sebagai “lanun” malah kesemua penentang-penentang pemerintahan Brooke di bumi Sarawak juga dilabelkan lanun. Dan atas kempen memerangi lanun itulah Brooke telah menggunakan segala pengaruhnya untuk mendapat sokongan dari armada laut Kerajaan Mahkota British dan kerana itulah kita mendengar nama-nama seperti Sir Henry Keppel dan ramai lagi yang mewarnai kalendar sejarah Brooke di Sarawak suatu waktu dahulu.


Di dalam sebuah buku yang bertajuk “The History of Iban Settlements Around Kuching City, Sarawak tulisan daripada Pah Foh Chang yang diterbitkan pada tahun 2006 yang sebenarnya berlandaskan kepada penceritaan sebenar daripada generasi keenam Rentap Libau iaitu Subang anak Dunggau ada menceritakan bahawa sememangnya Rentap Libau membenci Brooke. Ini kerana Rentap mengetahui rancangan buruk Brooke yang ingin mengambil tanah orang Iban di Skrang dan Saribas. Selain daripada sikap Brooke yang telah mengenakan cukai-cukai yang tinggi ke atas penduduk tempatan juga membuatkan dia membenci pemerintahan Brooke di bumi Sarawak Kingdom pada masa itu.


Kemuncak kepada kebencian Rentap Libau keatas pemerintahan Brooke dilunaskan apabila pada tanggap 19hb Ogos 1844, perang Rentap ke atas Brooke di Skrang bermula. Itulah perang pertama Rentap ke atas Rajah Brooke yang melibatkan ribuan perahu daripada pengikut Rentap Libau. Di dalam perang ini, Rentap berjaya mengalahkan armada tentera Sarawak Kingdom dibawah Brooke dengan berjaya mengorbankan 29 orang dan 56 orang yang lain tercedera di pihak Brooke.


Brooke yang tidak mahu menerima kekalahan keatas Rentap telah mula mengatur strategi untuk memerangi kebangkitan Rentap Libau dan pengikutnya di Skrang dan Saribas. Tanggal 24hb Julai 1849, Brooke membawa armada tentera laut yang lebih besar dengan menyerang Skrang dan Saribas. Kapal perang Brooke yang bernama H.M.S Royalist, H.M.S Ranee serta 80 buah lagi kapal-kapal kecil digunakan oleh Brooke bagi memperkuatkan armada perangnya. Walaupun dengan armada perang yang besar, sedikit pun Rentap Libau bersama-sama dengan orang kuatnya seperti Abang Apong dan Linggir Mali Lebu goyah walaupun mereka sebenarnya mereka diserang hendap oleh Brooke.


Pada 31 Julai 1849, pertempuran paling besar pernah dicatatkan di dalam kalendar perang di Sarawak yang dikenali sebagai Perang Beting Marao pun bermula. Menurut sejarahnya hampir 500 orang pengikut Rentap terbunuh di dalam pertempuran tersebut tetapi sesuatu yang menjadi kejayaan kepada Rentap kerana tiada seorang pun pemimpin di bawah Rentap yang terkorban malah mereka telah berjaya menyelamatkan diri menyusun strategi perang yang lebih kuat untuk memerangi Brooke pada masa hadapan.


Rentap dan pengikutnya telah berundur sehingga ke Bukit Sadok dan membina sebuah kubu di sana. Brooke pula sebagai persediaannya telah menghantar Arthur Crookshank untuk membina Fort James di Lingga. Pembinaan Fort James di Lingga yang merupakan persimpanan Sungai Skrang dan Batang Lupar telah banyak menyusahkan rakyat di kawasan berhampiran. Hakikatnya tujuan Brooke membina Fort James di Lingga adalah semata-mata untuk menyekat bantuan yang akan Rentap dapati daripada sekutunya seperti Linggir.


Kebencian Rentap semakin memuncak kepada Brooke dan akhirnya pada tahun 1852, Rentap memutuskan untuk menyerang dan mengalahkan Brooke di Lingga. Selepas menyerang Lingga, Rentap dan pengikutnya diam seketika untuk menyusun strategi peperangan yang lebih utuh. Pada masa inilah Brooke menghantar perutusan kepada Rentap untuk Brooke dan Rentap duduk semeja berdiskusi iaitu untuk satu perundingan damai. Tetapi malangnya Rentap tidak pernah mengagungkan ketuanan Brooke di Sarawak Kingdom dan beliau menolak dengan sekeras-kerasanya.


Pada tahunn 1853, satu serangan hendap telah dilakukan oleh Rentap dan pengikut-pengikutnya di Nanga Skrang. Kali ini Rentap berjaya menenggelamkan sebuah kapal perang milik Brooke . Di sini juga kepala Alan Lee, seorang penjawat Inggeris di Lingga bercerai dari badan oleh menantu Rentap yang bernama Layang. Selesai membuat serangan hendap itu, Rentap dan pengikutnya berundur kembali ke Bukit Sadok.


Bagi menghalang orang lain membantu Rentap dan menjadikannya lebih kuat, sekumpulan askar dihantar Brooke ke merata tempat untuk menahan mereka disyaki membantu pahlawan Iban itu. Pada Ogos 1845, tentera Brooke berjumlah 7,000 mara selama dua hari untuk menyerang kubu Rentap di Sungai Lang, Skrang dengan menggunakan senjata api manakala pasukan Rentap menyerang balas menggunakan meriam.

Pada sebelah petang, wanita dan kanak-kanak kelihatan meninggalkan kubu Rentap melalui belakang bukit diikuti pahlawan Iban yang lengkap berpakaian perang mengundurkan diri dari kota itu menuju Bukit Sadok dengan membawa Rentap yang tercedera. Brooke bagaimanapun tidak meneruskan serangan ke Bukit Sadok, ini membolehkan Rentap menguatkan kedudukannya di puncak Gunung Sadok dengan membina kubu atau Kuta Rentap dan kecerunan curam menjadikan kubu itu hampir mustahil dihampiri musuh. Beliau kemudian menggelar dirinya seorang pemerintah dengan gelaran Rajah Ulu atau Raja Ul dan menjadikan Bukit Sadok pusat kepada semua penduduk tempatan yang menentang pemerintahan Rajah Brooke. Berikutan kedudukan Rentap bertambah kuat, Brooke melancarkan ekspedisi bagi memusnahkan kekuasaannya. Rajah Brooke telah menghantar 3 ekspedisi penting di dalam perang dengan Rentap iaitu pada 7 Jun 1857, Ekspedisi Sadok Pertama dilancarkan Rajah Brooke bertujuan memusnahkan semua kawasan pertanian sekitar Bukit Sadok untuk memutuskan bekalan makanan pengikut Rentap. Pasukan Brooke berjaya mendaki hingga ke puncak Gunung Sadok yang sama tinggi dengan kubu Rentap di puncak Bukit Sadok untuk melihat dan melancarkan serangan ke kedudukan musuh. Dengan kekuatan 4,000 askar, Brooke tidak dapat menawan Kuta Rentap kerana dibina menggunakan kayu belian keras yang tidak dapat ditembusi peluru dan angkatan Rentap juga mempunyai senapang, meriam dan pistol kuno yang dirampas ketika menyerang Allan Lee, di Lintang Batang pada 1853 itu turut digunakan. Pasukan Brooke ditimpa hujan lebat selama lapan hari di puncak Gunung Sadok dan akhirnya memutuskan berundur dalam ekspedisi yang gagal sepenuhnya.

Ekspedisi Kedua pula bermula pada Ogos 1858. Ekspedisi kedua dilancarkan adalah untuk menghapuskan kuasa Rentap dengan membawa senjata " Six-Pounder gun" yang mampu menembak lima puluh peluru ke Kuta Rentap. Ekspedisi kali ini turut gagal kerana senjata itu tidak mampu menembusi dinding Kuta Rentap yang kukuh dan Brooke terpaksa segera berundur selepas dibalas dengan serangan bertubi-tubi menggunakan sumpit beracun, lontaran batu dan tembakan senjata api.

Pada September 1861, Brooke melancarkan Ekspedisi Ketiga Sadok yang lebih besar dengan menggunakan tenaga buruh untuk membuat jalan di hutan, sepasukan askar Negro yang terlatih dalam pertempuran jarak dekat serta senjata penembak roket, Six-Pounder Gun dan meriam yang digelar " Bujang Sadok". Selepas sampai di puncak Gunung Sadok, keesokan paginya, serangan dilancarkan ke Kuta Rentap dan berlaku berbalas serangan menggunakan meriam antara Bujang Sadok dengan Bujang Timpang Berang yang dimiliki Rentap.


Malangnya, salah seorang pengendali meriam Rentap terkena tembakan dari Bujang Sadok dan darahnya membasahkan serbuk letupan menyebabkan Bujang Timpang Berang tidak berfungsi dan kelebihan Bujang Sadok digunakan untuk memusnahkan dinding keras Kuta Rentap.

Selepas melancarkan serangan bertali arus pada ekspedisi terakhir Brooke berjaya menawan dan membakar Kuta Rentap pada 28 Oktober 1861, Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Lanjak, Skrang sehingga Entabai, Kanowit dan Julau. Rentap yang enggan menyerah kalah, meninggal dunia akibat sakit tua di Bukit Sibau, sekitar 1870.



“Only Dayaks Can Kills Dayaks”


Di dalam menyelusuri sejarah pahlawan unggul ini sudah tentu kita tidak boleh tidak membicarakan mengapa Rentap Libau yang tidak pernah tunduk kepada Brooke ini akhirnya menemui kegagalan di dalam usahanya mengusir Brooke dari bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Kenyataan pahit yang harus ditelan kita semua sebagai bangsa Sarawak adalah apa yang diperkatakan oleh Brooke sendiri iaitu “Only Dayaks Can Kills Dayaks”. Perumpamaan ini merujuk kepada betapa Brooke telah mengetahui kelebihan masyarakat Dayak Sarawak namun pada masa yang sama juga mengetahui kelemahan kita sendiri.


Di dalam rentetan perang Brooke ke atas Rentap juga, beliau telah menggunakan kaedah yang sama iaitu memerangi Rentap dan menjadikan etnik Iban serta etnik pribumi yang lain turut memerangi Rentap. Perlulah diketahui lama sebelum kedatangan Brooke, etnik Iban sudah pun bermusuhan antara satu sama lain. Di sini etnik Iban Skrang dan Saribas saling bermusuhan dengan Iban Undup, Banting dan Lingga serta Sebuyau.


Apabila kedatangan Brooke ianya semakin parah dan pada ketika itu saja Iban Skrang telah menjadi 2 kumpulan yang berbeza. Iban Ulu Skrang terus menjadi pendokong kuat Rentap namun Iban Hilir Skrang seperti Orang Kaya Gasing, Sandom dan Bulan Genaya pula menjadi petualang Rajah Brooke. Iban Saribas setelah kematian Aji melalui saudaranya Nanang dan Luyoh terus diperalatkan oleh Rajah Charles Brooke untuk berpaling tadah menyokong pemerintahan Brooke di bumi Sarawak Kingdom ketika itu.


Pada kelompok Iban Saribas pula telah berpecah kepada 2 kelompok yang berbeza. Bunyau Apai Bakir dan Maoh yang menjadi pemimpin Iban Hilir Saribas telah menjadi talibarut kepada Brooke. Aji anak kepada Orang Kaya Pemancha Dana Bayang dari Ulu Layar tetap setia untuk mengusir Brooke dari bumi Sarawak pada masa itu. Generasi Unggang Luta, Mulok dan Ketit yang sebenarnya gagah sehingga boleh melakukan ekspedisi sehingga ke Pulau Belitong akhirnya dapat dipengaruhi oleh Brooke untuk menyebelahinya bagi menentang generasi Orang Kaya Pemancha Dana Bayang.


Selain itu, Linggir Mali Lebu dan Minggat antara pemimpin yang berpengaruh bagi Iban Paku dan Kalaka yang pernah menjadi sekutu kuat kepada Aji dan Rentap juga berpaling tadah sehingga boleh menyerang Iban di Tembawai Jaloh Alah. Semuanya kerana Iban Jaloh inilah yang setia membekalkan garam buat kegunaan harian Rentap dan pengikutnya sepanjang berkubu di Kuta Rentap, Bukit Sadok.


Orang Kaya Pemancha Nanang bersama adik-adiknya mengalah kepada tekanan Brooke sehingga mereka berpaling tadah untuk tidak menyokong perjuangan Rentap di Bukit Sadok. Dan kejayaan pada ekspedisi ke-3 Bukit Sadok 1861 mengalahkan Rentap dan pengikut sebenarnya banyak dijayakan oleh Iban Layar. Pada masa itu cicit Unggang dan Bakir dari Iban Hilir Layar telah memihak kepada Brooke dan merekalah yang telah memerangi Iban Hulu Layar dibawah pimpinan Orang Kaya Dana Bayang yang menjadi sekutu kuat Rentap di Bukit Sadok.



Inilah sejarahnya tentang perjuangan seorang pahlawan unggul anak Iban Bangsa Sarawak yang telah berjuang menentang pentadbiran Brooke di bumi Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Beliau tidak pernah tunduk kepada Brooke malah perjuangan beliau di Bukit Sadok yang merupakan pertahanan terakhirnya sebelum mengundur diri sebenarnya banyak dipengaruhi oleh tiadanya kesatuan daripada anak Iban sendiri. Dasar tidak bersatu inilah yang digunakan oleh Brooke bagi melemahkan siapa sahaja yang menentangnya suatu waktu dahulu.


Jadikan ini tauladan wahai anak bangsa Sarawak dan jangan biarkan peristiwa lepas berulang kembali seperti kata pepatah lama “Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh”.




Rujukan:

  • Book Title: Legends and History of Sarawak by Pat Foh Chang, 1999.

  • Book Title: The History of Iban Settlements Around Kuching City, Sarawak by Pat Foh Chang, 2006

  • Latar Belakang Iban Sarawak dan Salasilah Rentap, https://tusunterabai.wordpress.com

  • Jerita Tuai – Tusut Libau “Rentap”. https://tusunterabai.wordpress.com

  • Kejatuhan Rentap dan Iban Kini: Sejarah, Ubat Yang Pahit Untuk Ditelan, https://tusunterabai.wordpress.com

  • Sejarah Bukit Sadok dan Panglima Rentap, Borneo Post keluaran 27 Mei 2014

bottom of page