BA’ DARI KAUM ORANG ULU, SARAWAK
BA’ DARI KAUM ORANG ULU, SARAWAK
Sarawak Bumi Kenyalang adalah sebuah negeri yang mempunyai pelbagai perkara yang unik bermula daripada adat resamnya sehinggalah kepada warisan kraftangan yang antaranya menjadi simbolik dan kebanggaan sesuatu etnik. Salah satunya adalah bakul pembawa bayi (Baby Carrier) atau di dalam bahasa tempatan etnik dipanggil Ba’. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Ba’ ini sebenarnya adalah satu tradisi yang diwariskan zaman berzaman dari satu generasi ke generasi.
Jika suatu masa dahulu, Ba’ mungkin adalah suatu yang biasa digunapakai oleh ibu-ibu tetapi sekarang mungkin Ba’ hanya menjadi penghias di rumah sebagai satu kebanggaan warisan kraftangan sesuatu etnik. Antara Ba’ yang amat popular adalah Ba’ daripada masyarakat Orang Ulu, Sarawak yang mempunyai keunikannya sendiri. Inilah paparan daripada Borneo Oracle buat kali ini bagi kita generasi bangsa Sarawak yang baru mengenal sejarah dan hubungkait Ba’ di dalam status sosial di dalam masyarakat etnik Kenyah.
Adalah menjadi satu tradisi pada zaman dahulu, kaum ibu masyarakat Orang Ulu akan membawa anak-anak kecil mereka di dalam Ba’ memandangkan kaum ibu juga harus bekerja membantu keluarga di ladang serta menguruskan rumahtangga. Jadi penggunaan Ba’ telah lebih memudahkan kaum ibu untuk menguruskan anak-anak kecil mereka. Hakikatnya Ba’ yang dicipta adalah satu hasil kraftangan yang amat praktikal serta unik kerana ianya dibuat dengan begitu teliti sekali.
Keselamatan anak-anak kecil di dalam Ba’ itu adalah suatu yang wajar dipertimbangkan di dalam pembuatan Ba’. Ba’ yang dicipta adalah untuk anak-anak kecil dari peringkat awal 2 hingga 3 tahun. Anak-anak akan duduk di bakul menghadap ke hadapan manakala kakinya tergantung bebas di sisi badan ibu. Berdasarkan kedudukan ini, maka anak-anak kecil akan boleh mengamati apa yang dilakukan oleh ibunya dan dengan mudah mereka juga boleh tidur dengan selesa.
Menurut Laporan Ling Roth melalui ekspedisinya ke Borneo pada tahun 1896, penggunaan Ba’ sebagai satu alat untuk membawa anak-anak telah berlaku sebelum tahun 1900an lagi malah ianya telah beratus-ratus tahun dahulu. Mungkin yang berubah adalah mula-mulanya berasaskan kayu dengan kulit kayu kemudian mula didominasi oleh hiasan manik-manik bagi menunjukkan ketrampilan sesuatu etnik seperti sekarang. Menurut laporan ini juga ada menyatakan bahawa pada masa itu penggunaan Ba’ sebenarnya memainkan peranan sebagai penjaga kepada anak-anak kecil daripada roh-roh yang jahat serta mengelak mereka daripada terkena penyakit-penyakit yang ganjil .
Ba’ ini sebenarnya juga adalah antara elemen-elemen terpenting di dalam upacara adat resam di dalam masyarakat Orang Ulu. Antaranya adalah apabila seorang ibu itu telah habis berpantang maka akan diadakan satu upacara yang akan membebaskan ibu dan bayi mereka daripada segala pantang larang seperti semua pantang makanan, keluar rumah dan melakukan kerja rumah. Di dalam upacara ritual ini juga nanti nama bayi ini akan diberikan.
Kebiasaannya upacara habis pantang ini akan melibatkan seluruh warga kampung dengan beberapa ritual yang harus diikuti agar ianya seperti memberikan peringatan kepada roh-roh jahat untuk menjauhkan diri daripada anak-anak kecil ini dan semoga anak kecil ini dapat menikmati penghidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Tetapi kebanyakan adat resam seperti ini tidak banyak dipraktikkan sekarang sesuai dengan arus kemodenan yang begitu pesat membangunkan.
Ba’ atau bakul pembawa bayi yang sering kita lihat amat menarik dan unik sekali. Jika dahulunya Ba’ menjadi satu kemestian yang ada di dalam suatu keluarga memandangkan peranannya yang amat penting di dalam memudahkan penjagaan anak-anak kecil bagi kaum ibu namun sekarang Ba’ mungkin hanya menjadi penghias di muzium atau rumah-rumah.