top of page

ETNIK KAYAN, SARAWAK, BORNEO


ETNIK KAYAN, SARAWAK, BORNEO

Mengikut laporan populasi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan terdapat lebih kurang 30,000 etnik Kayan di Sarawak yang ramai mendiami di Bahagian Miri, Kapit dan Bintulu. Dan etnik Kayan ini merupakan antara etnik yang mendominasi Kaum Orang Ulu Sarawak sekarang.


Mengikut apa yang dicatitkan bahawa etnik Kayan ini suatu waktu dahulu sebenarnya berasal daripada Halem Kayan, Kalimantan Barat, Indonesia. Penghijrahan yang dilakukan oleh etnik Kayan ini telah berlaku secara berperingkat-peringkat ke wilayah Sarawak memandangkan suatu waktu dahulu etnik ini juga cintakan keamanan memandangkan banyak berlaku adat Ngayau (Memotong Kepala) yang seringkali menyebabkan peperangan di antara kaum di Pulau Borneo suatu waktu dahulu.


Berdasarkan kepada penghijrahan ini maka ramai juga yang telah berpecah menjadi beberapa kumpulan kecil di bumi Sarawak. Etnik Kayan di Sarawak dibahagikan kepada 3 kumpulan yang utama iaitu Kayan Baram adalah mereka yang mendiami kawasan pedalaman di Bahagian Miri, Kayan Belaga yang ramai mendiami kawasan pedalaman di Kapit dan yang terakhir adalah Kayan Tubau yang ramai mendiami di bahagian Bintulu.


Oleh kerana itulah adalah tidak menghairankan jika etnik Kayan di Kalimantan Barat juga mempunyai budaya dan warisan yang sama dengan etnik Kayan di Sarawak kerana mereka serumpun sebenarnya. Etnik Kayan di Kalimantan Barat pula lebih dikenali sebagai Kayan Mekam, Kayan Uma Laran, Kayan Ja’e dan Kayan Uma Leken yang juga diklasifikasikan berdasarkan kepada penempatan dimana mereka ramai mendiami.


Terdapat satu cerita legenda yang diwarisi secara oral dari satu generasi ke generasi yang lain di dalam bercerita tentang penghijrahan etnik Kayan ke bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Di hikayatkan bahawa sebenarnya sekitar abad ke 15, satu Raja dari etnik Kenyah yang bernama Raja Akalura dari Negara Tiongkok telah menghantar dua buah kapal ke Kalimantan Barat dan setiap satu kapal itu penumpangnya adalah dari 2 etnik iaitu etnik Kenyah dan etnik Kenyah. Akibat dipukul ribut maka kapal-kapal ini terdampar di dua lokasi yang berbeza.


Dikatakan bahawa kapal yang membawa nenek moyang etnik Kenyah di Sarawak sekarang telah hanyut terdampar di Sungai Baram, Sarawak manakala kapal yang membawa nenek moyang etnik Kayan telah terdampar di persisiran pantai Negara Brunei Darussalam. Dan kerana itulah etnik Kayan dikatakan mempunyai hubungan yang istimewa dengan masyarakat dan raja-raja di Negara Brunei Darussalam manakala untuk etnik Kenyah pula dikatakan kedua-dua etnik ini mempunyai banyak kesamaan dari segi bahasa dan kebudayaan.


Dan penghijrahan etnik Kayan ini pun bermula apabila ada yang terus melakukan perjalanan secara berjalan kaki ke kawasan pedalaman Kalimantan Barat seperti apa yang diarahkan oleh Raja Akalura mereka. Mereka ini tinggal menetap di kawasan sekitar seperti di Sungai Malinau, Sungai Sasayap, Sungai Segah, Sungai Kelinjau dan seterusnya ke kawasan yang dikenali sebagai Usun Apau. Bagi yang tidak mahu ke Kalimantan Barat telah melakukan perjalanan darat menuju ke kawasan tanah pamah yang subur seperti di Sungai Balui, Sungai Tinjar dan Sungai Baram.


Dari segi bahasa, etnik Kayan juga mempunyai bahasanya yang tersendiri dan diantara etnik Kayan pula mereka dipisahkan oleh dialek-dialek mengikut kumpulan etnik kayan. Dikatakan bahawa dialek pertuturan etnik kayan yang dipanggil Kayan Belaga dan Kayan Baram amat berbeza diantara satu sama lain manakala untuk Kayan Tubau yang ramai mendiami Bahagian Bintulu dikatakan dialeknya hampir serupa dengan Kayan Belaga tetapi masih mempunyai ciri-ciri unik dialek Kayan Tubau. Secara amnya bahasa etnik Kayan adalah diklasifikasikan sebagai bahasa Austronesia, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Kayan-Kenyah, Kayanic, Kayan Proper.

Seperti juga mereka yang tergolong di dalam masyarakat Orang Ulu Sarawak, etnik Kayan juga mempunyai kelas sosialnya yang tersendiri yang menjadi pendokong di dalam penghidupan mereka samada dari segi adat dan warisan di dalam etnik Kayan. Kelas-kelas sosial ini walaupun tidak begitu diamalkan seperti suatu waktu dahulu namun ianya masih lagi digunapakai di dalam adat-adat tertentu seperti di dalam adat perkahwinan, kematian dan sebagainya.


Terdapat 4 kelas sosial di dalam etnik Kayan iaitu dimulai dengan Maren (Kelas Atasan), Hipui (Kelas Kedua), Panyin (Kelas Bawahan) dan Dipen (Hamba). Sejajar dengan waktu, etnik Kayan sudah lama melupuskan kelas sosial Dipen (Hamba) di dalam kelas sosial penghidupan mereka sekarang.


Golongan maren misalnya terdiri daripada golongan diraja dalam komuniti ini. Golongan ini terdiri daripada keluarga Temenggong, Penghulu, Pemanca dan Ketua Kampung sahaja. Untuk mengekalkan keturunan ini, golongan ini hendaklah berkahwin dengan golongan yang setaraf dengan mereka. Jika seseorang yang Maren berkahwin dengan kelas sosial yang rendah, maka anak kepada pasangan tersebut bukan lagi Maren.


Biasanya, golongan ini merupakan golongan yang’ateng urip’ (kaya) dan mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kalangan rakyatnya. Mereka akan sentiasa dihormati dan disanjungi oleh kelas sosial yang lain yang lebih rendah. Selain itu, golongan Maren ini juga akan membela dan menjaga kebajikan rakyatnya, di samping menjadi tempat mengadu sekiranya rakyat berada dalam kesusahan.


Golongan Hipui pula dianggap sebagai golongan kelas kedua dalam komuniti Kayan. Golongan ini wujud akibat daripada perkahwinan golongan Maren dengan golongan kelas bawahan. Anak pasangan Maren dengan golongan bawahan itulah yang akan menduduki kelas sosial hipui. Golongan ini masih juga menduduki kelas sosial yang agak tinggi berbanding dengan golongan Panyin dan Dipen.

Golongan Panyin merupakan golongan kelas sosial yang ketiga. Golongan Panyin ini juga boleh dibahagikan kepada dua kelas lagi, iaitu ‘Panyin Ayak’ dan Panyin Unyer’. Panyin Ayak merupakan suatu kelompok yang sememangnya berasal dan menduduki sesuatu tempat itu dalam jangka masa yang panjang bersama golongan Maren. Golongan ini biasanya berkelakuan baik dan ’jam adet’ iaitu golongan yang kaya dengan budi bahasa.


Manakala Panyin Unyer pula lebih rendah tarafnya daripada Panyin Ayak. Golongan ini merupakan golongan yang jan ateng urip ataupun mereka yang kurang berada dan tidak berkemampuan (kurang berada/berkemampuan) serta jan lalek sayu yang bermaksud kelakuannya agak tidak mengikut adat.


Dipen bermaksud hamba dan golongan ini biasanya menjadi hamba kepada golongan Maren. Dipen pula terbahagi kepada 2 iaitu ’Dipen Tua’ dan ’Dipen Nengar’ merupakan golongan yang menjadi hamba kepada golongan Maren sepenuh masa. Golongan inilah yang akan melakukan semua kerja untuk golongan Maren. Selain daripada itu, golongan ini akan tinggal bersama golongan Maren dan akan menuruti apa sahaja arahan daripada golongan Maren.


Berbeza pula dengan ‘Dipen Nengar’ kerana biasanya golongan ini yang membuat kerja mereka sendiri. Mereka tinggal di rumah mereka sendiri dan tidak ada kena mengena dengan golongan Maren. Biasanya golongan inilah merupakan golongan yang paling rendah dalam kelas sosial komuniti Kayan. Walau bagaimanapun, golongan kelas sosial Dipen ini secara beransur-ansur telah dihapuskan dan tidak lagi diamalkan pada masa sekarang.


Setelah kedatangan agama di bumi Sarawak suatu waktu dahulu majoriti daripada etnik Kayan sekarang sudahpun ramai yang menganuti agama Kristian tanpa tidak meninggalkan norma-norma budaya mereka yang diwarisi sejak berkurun lamanya.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page