top of page

ETNIK TUTONG, SARAWAK, BORNEO


ETNIK TUTONG, SARAWAK, BORNEO


Mungkin ramai yang tidak mengetahui keberadaan etnik minoriti ini kerana mereka sebenarnya sudahpun diasimilasikan menjadi pembentuk masyarakat Melayu Sarawak sejak di zaman pemerintahan 100 tahun pemerintahan Brooke di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Apa yang pasti, etnik Tutong ini mempunyai pertalian secara langsung dengan Orang Tutong yang sekarang ramai mendiami Daerah Tutong di Negara Brunei Darussalam.


Seperti etnik Narom yang juga mempunyai pertalian secara langsung dari etnik pribumi Sarawak iaitu kaum Kenyah, etnik Tutong juga mempunyai cerita yang sama cuma mereka sebenarnya adalah satu kelompok pecahan etnik Kayan iaitu etnik dayak Sarawak sekarang yang dikenali sebagai Kaum Orang Ulu Sarawak.


Suatu waktu dahulu, etnik Tutong juga mempunyai budaya dan adat warisan serta sejarah susur galor keturunan yang tersendiri yang menjadikan etnik minoriti ini yang ramai mendiami kawasan di sekitar Limbang iaitu di utara Sarawak serta di Kuala Belait dan Tutong, Negara Brunei Darussalam sekarang.


Menurut sejarah oral diceritakan bahawa etnik Tutong ini merupakan suatu waktu dahulu merupakan rakyat kepada satu kerajaan kuno yang hilang di bumi Sarawak yang dinamakan Kerajaan Negeri Malano yang dikatakan wujud pada awal abad ke 13 Masihi. Pada ketika itu, etnik Tutong dipimpin oleh seorang pemimpin yang juga merupakan abang ipar kepada Raja Tugau iaitu Basiung. Pada ketika itu Tutong merupakan salah satu daerah jajahan empayar Kerajaan Negeri Malano.


Di dalam sebuah buku yang ditulis oleh Lawrence yang diterbitkan pada tahun 1911 dengan tajuknya “The First Brunei Conquests On The Sarawak Coast” ada menceritakan bahawa Tutong merupakan wilayah pertama yang dimenangi oleh Kerajaan Kesultanan Brunei pada perang perluasan wilayah sekitar abad ke-13 Masihi lagi.


Di dalam satu syair purba yang berjudul Syair Awang Semaun yang merupakan antara dokumen purba yang menjadi rujukan sejarah di Negara Brunei Darussalam pula menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Malano telah kalah di dalam satu perang dengan Sultan Muhammad Shah atau Awang Alak Betatar dan akibat daripada kekalahan itu etnik Tutong berserta dengan wilayah mereka telah menjadi hak kepada Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu. Dinyatakan juga bahawa etnik Tutong dibawah Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam mempunyai pembesarnya sendiri yang dinamakan Manteri Tutong.


Menurut cerita legenda di dalam etnik Kayan pula menceritakan bahawa etnik Tutong sebenarnya adalah satu masyarakat yang mempunyai susur galor keturunan dengan seorang pahlawan etnik Kayan yang bernama Tutong. Sememangnya etnik Kayan dengan etnik Melanau mempunyai pertalian yang sangat rapat kerana daripada etnik Kayan inilah sebenarnya etnik Melanau berasal. Jadi tidak menghairankan sekiranya etnik Tutong juga mempunyai rumpun yang sama seperti etnik Kayan malah mereka juga dikatakan suatu waktu dahulu adalah pahlawan-pahlawan yang gagah berani terutama di dalam Perang Ngayau atau perang perluasan wilayah di bumi Sarawak suatu waktu dahulu.


Cerita legenda di dalam masyarakat Murut di Negara Brunei Darussalam pula memberikan penafsiran yang berbeza mengenai asal keturunan etnik Tutong ini. Dikatakan bahawa etnik Tutong yang mendiami utara Sarawak dan Brunei sekarang adalah asalnya daripada seorang saudagar pengembara daripada Pulau Sulawesi yang bernama Sri Letong. Hasil perkahwinan Sri Letong dengan anak kepada pemimpin masyarakat Murut yang mendiami Kampung Suran iaitu satu perkampungan masyarakat Murut di Sungai Tutong akhirnya membentuk masyarakat Tutong yang mendiami Sarawak dan Brunei sekarang.


Dari sejarah asal keturunan etnik Tutong ini sahaja menunjukkan betapa kayanya mereka dengan sejarah mereka sehingga banyak penceritaan tentang sejarah mereka di dalam manuskrip sejarah lama juga menunjukkan betapa kayanya etnik minoriti ini untuk kita ketahuinya dengan lebih lanjut lagi.


Jika dilihat daripada segi kekayaan bahasa pula, etnik Tutong juga mempunyai bahasa yang tersendiri yang dikatakan masih lagi digunapakai namun ianya tidaklah menyeluruh seperti dahulu lagi. Bahasa etnik Tutong dikenali dengan nama Tutong 2 adalah daripada rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, Borneo Utara, Sarawakan Utara, Berawan-Lower Baram, Lower Baram, Central, B. Ramai daripada etnik Tutong ini terutamanya generasi mudanya lebih gemar untuk menggunakan bahasa Melayu Sarawak ataupun bahasa Melayu Brunei sebagai bahasa perantaraan harian mereka.


Seperti pecahan etnik-etnik Dayak di bumi Sarawak, etnik Tutong juga suatu waktu dahulu adalah mereka yang beragama pagan ataupun animesme. Agama pagan yang mereka anuti adalah mempercayai bahawa alam roh adalah antara yang berkuasa di dalam penghidupan manusia yang hidup. Dan kerana itulah sewaktu mereka masih mengamalkan agama pagan, mereka masih lagi menjalan beberapa ritual seperti memuja semangat roh daripada kepala-kepala musuh yang telah dimenangi mereka sewaktu perang ngayau suatu waktu dahulu. Namun setelah mereka menganuti agama Islam kesemua ritual-ritual ini telah tidak lagi dijalankan kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang mereka anuti sekarang.


Suatu waktu dahulu, etnik Tutong ini adalah antara mereka yang menjadikan pertanian sebagai sumber ekonomi mereka seperti bertanam padi bukit dan mereka tidak tinggal di rumah panjang di penempatan mereka yang terletak di tepi sungai sebaliknya mereka mempunyai rumah tinggi seperti etnik Melanau yang ketinggian rumah mereka boleh mencecah 10 hingga 15 kaki.


Di dalam rumah tinggi mereka juga akan didiami oleh beberapa keluarga yang sama. Namun sekarang, sesuai dengan asimilasi mereka menjadi etnik Melayu Sarawak, etnik Tutong juga mempunyai rumah dan struktur serta adat warisan yang sama seperti etnik Melayu Sarawak yang lain.


Inilah sekelumit ruang informasi mengenai satu lagi etnik minoriti di bumi Sarawak yang dikenali sebagai etnik Tutong yang juga ramai antara mereka mendiami satu lagi daerah sempadan Brunei/Sarawak iaitu Tutong dan Kuala Belait, Brunei Darussalam. Dahulu mereka adalah berasal daripada etnik pribumi iaitu etnik Dayak Kayan dan sekarang setelah memeluk Islam mereka adalah pembentuk masyarakat Melayu Sarawak.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page