FORT ALICE, SRI AMAN, SARAWAK
FORT ALICE, SRI AMAN, SARAWAK
Fort Alice yang terletak di Sri Aman sudahpun menjangkau usia 150 tahun. Satu warisan sejarah yang unggul memandangkan ianya adalah salah satu daripada kubu yang dibina sejak Sarawak Kingdom didirikan oleh keluarga Brooke yang memerintah lebih kurang 100 tahun di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Fort Alice adalah antara bangunan bersejarah yang menjadi saksi bisu di dalam rentetan sejarah Sarawak sejak lebih seratus tahun dahulu.
Ketika pemerintahan Rajah yang pertama iaitu Rajah James Brooke, beliau merupakan seorang rajah yang mendokongi semua pentempuran besar diantara Brooke dan juga rakyat tempatan Sarawak yang masih lagi tidak dapat menerima pembaharuan pentadbiran yang cuba diperkenalkan oleh Brooke. Untuk itu banyak daripada masa Rajah James Brooke adalah terlibat di dalam peperangan bagi memastikan kestabilan dan keamanan sebuah negara yang baru yang dikenali sebagai Sarawak Kingdom.
Selepas berlakunya Perang Beting Marao pada 31 Julai 1849. Rajah James Brooke telah bertindak membina sebuah kubu pertahanan di muara Sungai Skrang iaitu kira-kira 5 batu ke hulu Sungai Batang Lupar. Kubu ini dinamakan dengan nama Kubu James mengambil sempena nama beliau sendiri. Kubu James ini bertindak untuk menyekat aktiviti pemberontakan tempatan diantara 2 sungai dan ternyata ianya berjaya melemahkan pemberontakan tempatan di kawasan sekitar.
Namun diceritakan bahawa Fort James didirikan di kawasan tanah yang rendah dan setelah beberapa tahun telah mengalami hakisan yang teruk dan usang. Walau bagaimanapun diceritakan bahawa bahan binaan untuk Kubu James masih lagi baik dan boleh digunakan semula. Dan kerana itulah bahan binaan itu dikitar semula dan digunakan untuk mendirikan Fort Alice.
Selepas menewaskan pahlawan Iban iaitu Rentap di dalam satu peperangan pada tahun 1861, Rajah Charles Brooke mengambil inisiatif untuk mendirikan sebuah lagi kubu pertahanan di Simanggang bagi memudahkan lagi sistem pentadbiran Brooke di kawasan sekitar. Maka Fort James di muara Sungai Skrang telah dirobohkan pada tahun 1864 dan kesemua bahan binaannya yang masih baik telah digunakan semula untuk mendirikan sebuah kubu pertahanan di Simanggang (Nama lama untuk Sri Aman).
Setelah siap, kubu pertahanan di Simanggang ini kekal tidak bernama sehinggalah pada tahun 1870, Ranee Margaret Alice iaitu isteri Rajah Charles Brooke telah berkunjung ke Simanggang dan kubu yang tidak bernama ini telah dinamakan Fort Alice mengambil nama kedua Ranee Sarawak Kingdom pada waktu itu. Kewujudan Fort Alice di Simanggang telah banyak mempengaruhi pembangunan Bandar Simanggang pada waktu itu memandangkan disinilah pentadbiran Brooke untuk kawasan Simanggang dan sekitarnya berpusat.
Pada 1 Jun 1873, pentadbiran Rajah Charles Brooke telah membentuk 3 bahagian pentadbiran bagi melancarkan lagi sistem pentadbiran Sarawak Kingdom iaitu Bahagian Pertama – Kuching, Bahagian Kedua – Simanggang dan Bahagian Ketiga – Sibu. Untuk setiap bahagian ini akan dilantik seorang Residen yang bertindak sebagai wakil Rajah dan dibantu oleh pegawai daerah bagi setiap daerah di dalam bahagian masing-masing. Pembentukan sistem pengurusan pentadbiran di era Rajah Brooke ini sehingga kini masih lagi dikekalkan di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak sehingga sekarang yang merupakan sesuatu yang tidak sama dengan pentadbiran di negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.
Salah satu penyebab kepada kewujudan Fort Alice di Simanggang adalah bagi mengawal pergerakan suku kaum tempatan yang mendiami di sepanjang persisiran Sungai Skrang dan Batang Ai. Banyak ekspedisi-ekspedisi telah dilancarkan oleh pemerintahan Brooke daripada Kubu Alice seperti:
Oktober 1875 Ekspedisi Ulu Ai I
Disember 1875 Ekspedisi Ulu Ai II
Jun 1902 Ekspedisi Kolera Deluk
Oktober 1902 Ekspedisi Menyebat dan Engkari
November 1902 Ekspedisi Ulu Ai Pau
September 1908 Ekspedisi Menentang Delok
November 1915 Ekspedisi Ke Delok dan Jengin
Kesemua ekspedisi-ekspedisi ini telah dilancarkan dengan jayanya dan kemenangan berpihak kepada Rajah Brooke bagi memastikan kestabilan Sarawak Kingdom pada masa itu.
Inilah rentetan sejarah sebuah kubu Lama yang amat sinonim dengan pembinaan sebuah Negara di zaman pemerintahan Brooke yang bergelar Fort Alice. Fort Alice sekarang sudah berwajah baru setelah dilakukan pemuliharaan ke atasnya. Semoga Fort Alice ini akan terus kekal dan dipelihara dengan sebaiknya.