top of page

FROM KABONG WITH LOVE


FROM KABONG WITH LOVE


Daerah kecil Kabong adalah satu daerah yang berkeluasan 398.14 km persegi dan ianya terletak di Kuala Batang Krian. Jika hendak ke daerah kecil Kabong tidaklah menjadi satu masalah kerana Kabong sebenarnya boleh dihubungi dengan menggunakan jalan darat. Ianya terletak kira-kira 63 kilometer dari Saratok dan 85 kilometer dari Sarikei. Daerah kecil Kabong adalah dibawah juristifikasi pentadbiran Majlis Daerah Saratok, Bahagian Betong, Sarawak.


Dari segi kepadatan penduduknya adalah kira-kira 20,000 orang dengan etnik yang dominan adalah daripada etnik Melayu Sarawak diikuti dengan etnik Iban dan daripada kaum Cina. Pekerjaan utama bagi masyarakat di Kabong adalah nelayan serta bercucuk tanam iaitu penanaman padi (huma), bertanam kelapa dan juga pekerjaan-pekerjaan yang lain seperti berniaga dan juga mengusahakan industri produk desa.


Mengikut cerita lisan daripada orang tua-tua yang mendiami sekitar Kabong dikatakan bahawa Kabong sebenarnya mendapat nama daripada pokok kabong. Pokong Kabong atau Pokok Apong di dalam bahasa tempatan juga dikenali sebagai Pokok Nipah dengan nama botaninya iaitu Nypa Fruticans banyak terdapat di sekitar Kabong. Pokok Kabong ini banyak berjasa kepada penduduk sekitar yang mana selain daripada daunnya yang boleh dijadikan atap nipah juga boleh digunakan untuk membungkus makanan tradisional seperti pais ikan dan banyak lagi. Dan kerana itulah suatu waktu dahulu sebagai merujuk kepada satu kawasan yang tidak bernama ketika itu, ramai kawasan sekitar Kabong ketika itu menamakannya Kabong dan akhirnya nama itu digunapakai sehinggalah sekarang.


Kabong suatu waktu dahulu merupakan salah satu jajahan yang membentuk apa yang dipanggil Saribas. Dan tidak akan lengkap pensejarahan mengenai Kabong jika tidak diselitkan hubungan masyarakat Kabong dengan 2 kerajaan kuno yang pernah berada di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. 2 kerajaan kuno yang terlibat secara langsung itu adalah Kerajaan Negeri Kalaka dan juga Kerajaan Negeri Saribas. Kedua-dua kerajaan negeri ini ada di sebutkan di dalam satu manuskrip sejarah yang berbentuk puisi yang berjudul Syair Tarsilah Negeri Saribas serta sebuah manuskrip kuno Brunei yang ditulis di dalam huruf jawi yang berjudul Alamat Zaman Ketakhtaan Negeri Baruni.


Alamat Zaman Ketakhtaan Negeri Baruni:


“ …… Dan pada masa itu Melaka di atas Kerajaan Negeri Juhur, Awang Alah Betatar beristeri ke Juhur lalu digalar Awang Alak Betatar. Adapun Seri Sultan Muhamad dan saudaranya patih berbai jadi Bendahara Seri Maharaja permaisuri digalar dan pengiringnya yang lain itu digalar Damang/Temenggung Da Patih Damong. Bermacam-macam nama pengawa dianugerahi oleh baginda di Johor. Empat menteri dan askar dengan beberapa dayang-dayangnya dianugerahi nobat nagaragenta alamat serta sakalian alat-alat kerajaan yang berbagai-berbagai dan dianugerahi…buah nagari iaitu Kalaka dan Saribas dan Rajang dan Sadong dan Samarahan dan Sarawak karana di pulau…Johor pun memarintah juga ialah….”


Syair Tarsilah Negeri Saribas:


“Terhenti dulu kisah itu ..Tersebutlah pula habar suatu..Di Negeri Kalaka habarnya tentu .Dayang Hubu’ Dayangnya Ruku…..”. Inilah bait-bait syair yang mengaitkan bahawa suatu waktu dulu Kerajaan Negeri Kalaka diperintah oleh 2 orang puteri bersaudara yang bernama Dayang Hubu dan Dayang Ruku..”


Kedua-dua kerajaan kuno yang hilang ini adalah merujuk kepada Kerajaan Negeri Kalaka dan juga Kerajaan Negeri Saribas. Melalui Kerajaan Negeri Saribas inilah berkembangnya Melayu Perabangan Saribas yang asal-usul keturunannya adalah tidak seperti Melayu Perabangan yang dimulai oleh Datu Merpati Jepang. Melayu Saribas dan kawasan sekitarnya adalah mereka yang mempunyai kaitan dengan seorang putera dari Minangkabau iaitu Datu Godam atau Abang Godam seorang pelayar yang seterusnya mendapat kepercayaan daripada Kesultanan Brunei Darussalam dahulu untuk menjadi penasihat kepada baginda.


Datu Godam juga adalah menantu kepada Datu Temenggung Abdul Kadir yang juga pembesar Saribas suatu waktu dahulu kerana mengahwini satu-satunya puterinya iaitu Dayang Ichi. Daripada keturunan mereka inilah adanya Awang damit-damit di Brunei sekarang serta abang dan dayang melalui anakanda mereka Menteri Putih. Berdasarkan kepada inilah, ramai masyarakat Kabung sekarang serta juga jiran-jiran mereka seperti Pusa dan Roban dikatakan mempunyai pertuturan dialek bahasa Melayu Sarawak mereka agak berbeza daripada pertuturan dialek bahasa Melayu di tempat-tempat lain di Sarawak Bumi Kenyalang.


Nama Kabong juga pernah tertulis di dalam peristiwa hitam bagi Sarawak Bumi Kenyalang suatu waktu dahulu. Mungkin ramai rakyat Sarawak sendiri tidak begitu mengetahuinya kerana tragedi kebakaran sebuah asrama di Kabong iaitu SK Abg Moh, Sessang, Kabong. Di dalam tragedi kebakaran ini telah memusnahkan sebuah asrama yang dihuni oleh anak-anak Kabong yang sedang menuntut di sekolah tersebut. Tragedi kebakaran yang berlaku sekitar Oktober 1996 ini telah meragut nyawa 14 orang penuntut sekolah tersebut. Sehingga sekarang sudah pasti keluarga yang terlibat masih lagi menjadi memori hitam bagi keluarga serta sekolah yang terlibat.


Sebenarnya, Kabong mempunyai banyak tempat yang boleh dimajukan serta menjadi tarikan pelancong di dalam menjana ekonomi setempat mereka. Pantai Tanjung Kembang, Pantai Alit dan Pantai Geligat adalah salah satu produk pelancongan yang boleh dimajukan dengan lebih baik lagi. Industri enap desa bagi Kabong wajar dimajukan dengan lebih kondusif agar ianya boleh menarik perhatian pelancong-pelancong tempatan malah luar negeri untuk membuat lawatan ke Kabong. Dengan adanya industri desa berbentuk perikanan seperti menghasilkan keropok dan apa jua yang berasaskan ikan juga harus diberi perhatian kerana ini adalah salah satu daripada sumber pendapatan kepada penduduk-penduduk di Kabong.


Selain terkenal dengan keindahan pantai serta menerokai alam semulajadi di Kabong, jika berkunjung ke Kabong jangan lupa untuk merasai sendiri keenakan “Suman”. Suman adalah salah satu makanan tradisi yang begitu popular di Kabong. Dikatakan Suman di Kabong ini lebih enak rasanya berbanding dengan kawasan-kawasan lain. Suman ini juga mempunyai jenis-jenis yang tertentu seperti suman lemantak (tepung sagu), suman bandung (ubi), suman payak (udang), suman lumek (ikan lumek).


Di katakan suman ini juga mempunyai perkaitan dengan suman sa lihiya iaitu makanan tradisi rakyat Negara Filipina cuma bezanya suman lihiya berbentuk nasi yang dimasak dengan santan kelapa kemudian dibungkus di dalam daun pisang mahupun daun nipah namun penyediaan kedua-duanya sama iaitu dimasak dengan menggunakan kayu api.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page