KERAJAAN KESULTANAN SARAWAK DARUL HANA, SARAWAK, BORNEO
KERAJAAN KESULTANAN SARAWAK DARUL HANA
Kesultanan Sarawak Darul Hana? Sudah tentu ini menjadi satu persoalan bagi bangsa Sarawak sendiri kerana jarang benar kita mengetahui kewujudannya akibat tidak diperjelaskan langsung di dalam sejarah yang kita ketahui sekarang melainkan sejarah Sarawak hanya digembar-gemburkan melalui sejarah pemerintahan 100 tahun keluarga Brooke yang dikenali sebagai Negara Sarawak (Kingdom of Sarawak). Sebenarnya sejarah Sarawak telah lama wujud sebelum itu dan sejarah purba Kesultanan Sarawak Darul Hana adalah satu-satunya yang mempunyai taraf Sultan di dalam kerajaannya melalui sultannya yang pertama juga yang terakhir iaitu Sultan Tengah.
Jika kewujudan 5 kerajaan kuno Sarawak, sejarahnya hanya berpaut kepada sekitar negeri-negeri kecil di bumi Sarawak namun untuk Kesultanan Sarawak Darul Hana, biarpun keluasannya agak kecil ketika itu namun hubungan antarabangsanya adalah berkait rapat dengan banyak kesultanan yang gah-gah iaitu yang terletak di bumi Nusantara suatu waktu dahulu. Sebagai satu perkongsian sejarah kali ini, Borneo Oracle akan mengupas sejarah purba kerajaan ini dari awal penubuhannya, pengaruhnya dengan kerajaan Nusantara serta berakhirnya kerajaan ini di bumi Sarawak.
Lebih kurang 200 tahun dahulu sebelum Rajah James Brooke bertapak di Sarawak dan mengasaskan Negara Sarawak (Kingdom of Sarawak), Sarawak sebenarnya merupakan tanah kuripan kepada pembesar-pembesar Kesultanan Brunei Darussalam. Di ketika menjadi tanah kuripan ini Sarawak telah dibahagi-bahagikan mengikut jajahan dengan setiap jajahan ditadbir oleh seorang pembesar iaitu wakil dari Kesultanan Brunei Darussalam.
Setiap pembesar akan memajukan jajahan mereka mengikut acuan mereka sendiri yang kemudiannya penghasilannya akan dihantar sedikit kepada Kesultanan Brunei Darussalam. Kerajaan Kesultanan Sarawak Darul Hana jajahan takluknya tidaklah sebesar Sarawak Bumi Kenyalang sekarang sebaliknya pensempadannya hanya di sekitar persisiran Sungai Sarawak iaitu dari Kuching sehingga ke Santubong sahaja. Dikatakan bahawa pusat pentadbiran Kesultanan Sarawak Darul Hana adalah di satu perkampungan melayu Sarawak yang sekarang di panggil dengan nama Kampung Sungei Bedil Besar, Petrajaya, Kuching Sarawak.
Di kawasan inilah Sultan Tengah dengan rombongannya membina kota dan istana untuk menubuhkan satu kerajaan sendiri yang dinamakan Sarawak Darul Hana. Kerana begitu kuatnya pengaruh Islam di dalam diri Sultan Tengah ditambah lagi dengan rombongannya bukan sahaja terdiri daripada mereka yang gagah perkasa namun juga bijak pandai agama Islam dari Kesultanan Brunei Darussalam maka dipilihnya Darul Hana mengikuti nama Sarawak yang bermaksud di dalam bahasa Arab iaitu kebahagiaan dan juga rezeki tanpa kepayahan.
Penubuhan Kerajaan Kesultanan Sarawak Darul Hana
Apabila Paduka Sri Sultan Muhammad Hassan ibni al-Marhum Sultan Saiful-Rijal Nur ul-Alam , Sultan Brunei ke-9 yang memerintah pada tahun 1582 hingga 1598 mangkat, takhta pemerintahan telah jatuh kepada putera sulungnya yang kemudian bergelar Paduka Sri Sultan 'Abdu'l Jalilul-Akbar ibni al-Marhum Sultan Muhammad Hassan. Sultan Abdul Jalilul Akbar mempunyai seorang adinda bernama Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Tengah.
Menurut sumber lisan, Pengiran Muda Tengah turut berkeinginan untuk menjadi Sultan Brunei. Baginda membantah dengan menyatakan kakandanya lahir ketika ayahandanya belum menjadi Putera Mahkota, sedangkan dia lahir ketika Sultan Muhammad Hassan dilantik sebagai Putera Mahkota. Pengiran Muda Tengah berpendapat, baginda lebih layak untuk menjadi Sultan berbanding abangnya.
Sultan Abdul Jalilul Akbar adalah seorang Sultan yang bijak. Dia memahami maksud adindanya itu dan cuba memenuhi keinginan adindanya. Jalan penyelesaian untuk Sultan Abdul Jalilul Akbar adalah dengan melantik Pengiran Muda Tengah sebagai Sultan di tempat lain. Dengan itu, Pengiran Muda Tengah telah diangkat sebagai Sultan Sarawak, kerana Sarawak ketika itu dibahagi-bahagikan sebagai tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam.
Menurut Salsilah Raja-Raja Brunei, Pengiran Muda Tengah berkenan menerima perlantikan tersebut dan baginda membuat persiapan untuk pergi ke Sarawak dengan ditemani oleh lebih daripada 1,000 perwira dari kaum Sakai, Kedayan dan Pulau Bunut. Beberapa golongan bangsawan turut berangkat bersamanya untuk membantu baginda mengurus sebuah negeri baru. Rombongan Pengiran Muda Tengah inilah sebenarnya yang membentuk masyarakat Melayu Sarawak sekarang lebih-lebih lagi di kawasan Kuching sekarang.
Di Sarawak, Sultan baru dan anak buahnya mula membina sebuah istana dan benteng untuk mempertahankan istananya. Sultan Tengah kemudian melantik orang-orang besarnya. Antaranya ialah Patinggi Datuk Seri Setia, Indera Wangsa Shahbandar Datu, Datu Amar Setia Di-raja dan Datuk Temenggong Laila Wangsa. Setelah semuanya selesai, Sultan Tengah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Ibrahim Ali Omar Shah, Sultan Sarawak yang pertama dan negeri itu diberikan nama Sarawak Darul Hana.
Menurut sejarah Sambas, Sultan Tengah juga dikenali dengan nama Sultan Abdul Jalil. Setelah selesai menubuhkan sebuah negeri sendiri akhirnya Sultan Tengah berkenan untuk mengembara bagi mengeratkan silaturrahim antara Kesultanan Sarawak dengan kesultanan yang lain di seluruh nusantara dan ketika inilah Sarawak Darul Hana diuruskan oleh pembesar-pembesarnya yang bijaksana untuk diperintah. Pengembaraan ini penting di dalam kalendar sejarah Sarawak Darul Hana kerana tanpa pengesahan daripada kesultanan yang lain di bumi nusantara, Kesultanan Sarawak Darul Hana tidak akan mempunyai apa-apa kuasa pun.
Pengaruh Sarawak Darul Hana Di Dalam Kerajaan Kesultanan Pahang-Johor-Riau-Lingga
Kesultanan pertama yang dikunjungi oleh Sultan Tengah adalah Kesultanan Pahang yang mana Sultan Tengah sebenarnya mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Raja Bonda iaitu permaisuri kepada Sultan Pahang yakni Sultan Abdul Gafur Muhyiddin Shah Ibnu Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah (1592-1614). Sultan Abdul Gafur merupakan Sultan yang memerintah Negeri Pahang di ketika Pahang merupakan salah satu empayar besar Johor-Pahang-Riau-Lingga.
Raja Bonda merupakan ibu saudara kepada Sultan Tengah. Sekitar tahun 1599, Sultan Tengah pun berangkat ke Pahang. Keberangkatan Sultan Tengah ke negeri Pahang adalah semata-mata untuk melawat Raja Bonda serta memohon pengesahan Kesultanan Pahang tentang kewujudan Kesultanan Sarawak Darul Hana. Hubungan kekeluargaan antara Sultan Tengah dan Raja Bonda telah memainkan peranannya untuk dimasyhurkan menjadi Sultan Sarawak Darul Hana yang sah ketika itu. Setelah agak lama mengenali budaya dan warisan Negeri Pahang dikatakan terjadi satu peristiwa yang tidak baik berlaku.
Diceritakan di dalam satu majlis tari menari, Sultan Tengah telah diajak untuk menari dan di ketika menari inilah saputangan teman tarian baginda hampir memukul wajah baginda. Reaksinya Sultan Tengah menjadi sangat marah hingga menyebabkan baginda menampar pasangannya. Insiden ini mendapat perhatian daripada Sultan Abdul Gafur dan bagi menjaga hubungan baik antara keluarga, Sultan Tengah dengan seikhlas hatinya meninggalkan bumi Pahang secepat mungkin.
Ini berlainan pula menurut versi Sejarah Sambas yang mana diceritakan satu-satunya penyebab kepada Sultan Tengah meninggalkan bumi Pahang adalah kerana Sultan Tengah ingkar perintah Sultan Pahang ketika itu. Sultan Tengah dikatakan enggan mengahwini sepupunya sendiri iaitu puteri Sultan Pahang yang dikenali sebagai Tuanku Puteri Encik Zohra. Akibat keingkarannya itu, Sultan Tengah dikatakan telah memohon untuk berangkat pulang ke negerinya sendiri iaitu Sarawak Darul Hana.
Pengaruh Sarawak Darul Hana Di Dalam Kerajaan Sukadana / Kerajaan Matan
Semasa pelayaran untuk kembali ke Sarawak Darul Hana, kapal Sultan Tengah terpaksa melalui badai taufan yang kuat sehingga menyebabkannya terkandas di Sukadana (Dalam wilayah Provinsi Kalimantan Barat, Indonesia, pada hari ini). Sukadana ketika itu diperintah oleh Penambahan Giri Mustika, Sultan Muhammad Saifuddin, yang baru sahaja memeluk Islam dan dibantu oleh Syeikh Syamsuddin dari Mekah.
Ketika di Sukadana Sultan Tengah turut mempelajari selok belok agama Islam di bawah Syeikh Syamsuddin. Semasa di Sukadana, Sultan Tengah bertemu jodoh dengan salah seorang puteri Sukadana iaitu Puteri Surya Kesuma, yang merupakan adinda Sultan Muhammad Saifuddin. Perkahwinan mereka dikurniakan dengan 3 putera 2 puteri iaitu Pengiran Sulaiman (Radin Sulaiman), Pengiran Badaruddin dan Pengiran Abdul Wahab. Puterinya pula adalah Puteri Rasmi dan Ratna Dewi.
Kerajaan Sukadana sebenarnya adalah kesinambungan kepada Kerajaan Tanjungpura yang merupakan antara kerajaan tertua di Kalimantan Barat. Kerajaan Tanjungpura menurut Catatan Gusti Iswadi menyatakan bahawa Kerajaan Tanjungpura berpindah tempat ke Sukadana lalu digelar Kerajaan Sukadana. Dinyatakan bahawa perpindahan Kerajaan Tanjungpura ini adalah disebabkan oleh serangan bajak laut atau lanun yang sering sahaja cuba membuat onar di wilayah-wilayah jajahan Tanjungpura.
Melalui cerita lisan masyarakat setempat, bahawa keganasan lanun-lanun ini adalah amat kejam sama sekali walaupun ditentang habis-habisan daripada tentera Kerajaan Tanjungpura namun ianya tetap akan datang malah dengan jumlah anggota lanun yang lebih besar sekali. Dan kerana itulah, mungkin ini penyebab kepada para pemerintah Kerajaan Tanjungpura sentiasa mencari tapak pemerintahan yang lebih kukuh sehinggalah sampai ke Sukadana dan seterusnya membentuk sebuah kerajaan kesinambungan kepada Kerajaan Tanjungpura yang diberi nama Kerajaan Sukadana.
Pada suatu waktu dahulu Kerajaan Tanjungpura merupakan bukan sebuah kerajaan Islam sehinggalah menjadi Kerajaan Sukadana yang mana Gusti Kesuma Mustika memeluk Islam dan menggelar dirinya Sultan Muhammad Syaifuddin yang memerintah dari tahun 1622 hingga 1665. Pada awal pemerintahan baginda telah berperang di dalam Perang Sanggau 1622. Perang Sanggau ini adalah peperangan di antara Kerajaan Sukadana dengan Kerajaan Mataram Islam yang diperintah oleh Sultan Agung.
Disinilah juga Sultan Tengah dan pengikutnya telah turut membantu Kerajaan Sukadana di dalam menentang tentera dari Kerajaan Islam Mataram. Apabila menang, sekali lagi Kerajaan Sukadana terpaksa menghadapi bajak-bajak laut atau lanun sehingga memaksa Kerajaan Sukadana dipindahkan pentadbirannya ke Sungai Matan dan akhirnya dikenali sebagai Kerajaan Matan.
Pengaruh Kerajaan Sarawak Darul Hana tetap kuat di dalam Kerajaan Matan kerana anakanda saudara permaisuri Sultan Tengah sendiri iaitu Gusti Jakar Negara iaitu putera kepada Gusti Kesuma Mustika atau Sultan Muhammad Syaifuddin menjadi Sultan bagi Kerajaan Matan. . Apabila ditabalkan menjadi Sultan, baginda menggunakan nama Sultan Muhammad Zainuddin. Sebaik sahaja baginda naik takhta baginda telah mengangkat sepupu-sepupunya iaitu putera-putera kepada Sultan Tengah menjadi pembesar-pembesar dan penasihat kepada Kerajaan Matan.
Pengiran Badaruddin telah diangkat menjadi Pengiran Bendahara Seri Maharaja dan kemudiannya Pengiran Abdul Wahab diangkat menjadi Pengiran Temenggong Jaya Kesuma. Putera-putera Sultan Tengah ini diangkat menjadi pembesar setelah mereka pulang ke Kerajaan Mantan iaitu setelah kemangkatan Sultan Tengah. Di ketika itu Kerajaan Matan makmur menjadi sebuah kerajaan kuat di kawasan nusantara buat seketika sehinggalah berlakunya perang saudara akibat perebutan kuasa sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Jamaluddin yang mengakibatkan Kerajaan Matan terbahagi dua menjadi Kerajaan Krayong-Mantan (Tanjungpura II) dan Kerajaan Simpang-Mantan.
Pengaruh Sarawak Darul Hana Di Dalam Kerajaan Kesultanan Sambas
Hubungan antarabangsa nusantara bermula sewaktu wujudnya Kerajaan Sambas dibawah pemerintahan Ratu Sapudak yang berpusat di hulu Sungai Sambas yang sekarang disebut sebagai “Kota Lama”. Ratu Sapudak adalah raja yang ke-3 Kerajaan Sambas dengan gelaran Ratu adalah gelaran untuk Raja lelaki di Kerajaan Sambas pada suatu masa dahulu.
Asal-usul Kerajaan Sambas ini dimulai ketika satu rombongan besar Bangsawan Jawa beragama Hindu yang melarikan diri dari timur Pulau Jawa kerana diserang dan ditumpaskan oleh Kesultanan Demak dibawah pimpinan Sultan Trenggono (Sultan Demak ke-3) pada sekitar tahun 1525 M. Setelah lebih 10 tahun menetap di hulu Sungai Sambas, rombongan Bangsawan Jawa ini mendapati bahawa wilayah Sungai Sambas ini aman dan kondusif sehingga mereka mendirikan lagi sebuah kerajaan yang digelar Kerajaan Sambas yang beragama Hindu. Raja pertama tidak diketahui siapa tetapi anakandanya adalah Ratu Timbang Paseban merupakan raja yang kedua yang kemudiannya diganti oleh adindanya Ratu Sapudak.
Pada masa pemerintahan Ratu Sapudak inilah rombongan Sultan Tengah yang terdiri dari keluarga dan pengikutnya datang dari Kerajaan Sarawak Darul Hana dengan menggunakan 40 buah perahu yang lengkap dengan alat senjata. Rombongan Baginda Sultan Tengah ini kemudian disambut dengan baik oleh Ratu Sapudak dan Sultan Tengah dan rombongannya dijemput untuk menetap di sebuah tempat yang kemudian disebut dengan nama "Kembayat Sri Negara".
Ratu Sapudak yang mangkat secara mengejut telah diganti oleh anak saudaranya iaitu Raden Kencono, putera kepada Ratu Timbang Paseban. Setelah menaiki takhta, Raden Kencono ini kemudian bergelar Ratu Anom Kesumayuda. Raden Kencono ini sekaligus juga menantu kepada Ratu Sapudak kerana anakanda Ratu Sapudak, Mas Ayu Anom menjadi permaisurinya.
Disinilah Pengiran Sulaiman iaitu putera sulung kepada Sultan Tengah telah dikahwinkan dengan Mas Ayu Bungsu iaitu puteri bongsu kepada Ratu Sapudak dan kerana Sulaiman merupakan biras kepada Raden Kencono maka dijadikan Pengiran Sulaiman sebagai salah seorang Menteri Besar di dalam Kerajaan Sambas dengan menggunakan nama Raden Sulaiman. Sebagai Menteri Besar, Raden Sulaiman bertanggungjawab kepada urusan hubungan dengan negara luar dan pertahanan negeri. Setelah beberapa ketika, Raden Sulaiman dan Mas Ayu Bungsu dianugerahkan dengan seorang putera iaitu Raden Bima.
Setelah beberapa lama di Kerajaan Sambas akhirnya Sultan Tengah berangkat pulang ke Sarawak bersama-sama dengan isterinya Puteri Surya Kesuma berserta putera dan puterinya Sepeninggalan ayahandanya dan kaum keluarga Raden Sulaiman ke Kerajaan Sarawak Darul Hana, Raden Sulaiman telah mendapat tentangan yang hebat daripada Raden Aryo Mangkurat.
Raden Aryo Mangkurat dikhabarkan adalah penganut agama Hindu tegar manakala Raden Sulaiman pula dikatakan amat mendokongi perluasan syiar Islam di Kerajaan Sambas. Dikatakan sepanjang beliau menjadi Menteri Besar, penganut agama Islam semakin bertambah di dalam Kerajaan Sambas dan ini tidak menyenangkan hati Raden Aryo Mangkurat.
Pelbagai fitnah dan taktik kotor telah digunakan oleh Raden Aryo dan akhirnya kerana tidak tertahan dengan tekanan dan melibatkan keselamatannya keluarganya maka Raden Sulaiman telah mengambil keputusan untuk berpindah. Maka berpindahlah Raden Sulaiman dengan seluruh anggota keluarganya diikuti oleh pengikut ayahandanya yang terdiri daripada mereka yang berketurunan Melayu Sarawak dan Melayu Brunei.
Penghijrahan Raden Sulaiman dan keluarganya tidaklah begitu jauh daripada Kerajaan Sambas pada masa itu iaitu mereka mula mendirikan kerajaan di sekitar Sungai Sambas Kecil. Maka bermulalah sebuah kerajaan Islam di Sambas yang bergelar Kerajaan Kesultanan Sambas. Raden Sulaiman telah ditabalkan sebagai sultan yang pertama dengan nama Sultan Muhammad Shafiuddin I. Baginda memerintah dari tahun 1631 hingga 1668.
Kerana kuatnya pengembangan syiar Islam pada masa itu, Kota Sambas telah digelar Serambi Mekah. Masjid yang gah dan indah didirikan di Kerajaan Kesultanan Sambas malah Kesultanan Sambas juga menjadi pusat pendidikan Islam untuk penganut agama Islam di seluruh Kalimantan Barat pada masa itu. Kesultanan Sambas terus gah walaupun selepas kewafatan baginda kerana ianya diteruskan oleh anakandanya Raden Bima yang ditabalkan menjadi sultan ke-2 dengan nama Sultan Muhammad Tajuddin I.
Di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Tajuddin I inilah ramainya golongan cendiakiawan Islam di kalangan rakyat Kerajaan Kesultanan Sambas yang mendapat pendidikan di Mesir dan menjadi mubaligh-mubaligh Islam memperluaskan syiar agama Islam di seluruh Kalimantan Barat dan seterusnya mula menyebarkannya ke seluruh Sarawak pada masa itu.
Berakhirnya Kerajaan Kesultanan Sarawak Darul Hana
Setelah beberapa tahun tinggal di bumi asing akhirnya, Sultan Tengah kembali semula ke Sarawak Darul Hana. Di dalam perjalanan pulang memasuki muara sungai Sarawak, Sultan Tengah dan rombongan telah naik ke darat untuk berhenti rehat di suatu tempat bernama Batu Buaya, iaitu di tepi pantai Santubong. Ketika sedang tidur nyenyak melepaskan keletihannya di dalam khemah diraja di tepi pantai itulah Sultan Tengah telah ditikam oleh salah seorang pengikutnya sendiri sehingga baginda menemui ajalnya di situ.
Menurut cerita oral pembunuhan Sultan Tengah sememangnya sudah direncanakan dan arahan adalah daripada negara asalnya sendiri iaitu Negara Brunei Darussalam. Menurut sejarah oral ini dikatakan bahawa ada pihak-pihak yang kurang senang dengan pengaruh Sultan Tengah yang kian kuat di bumi nusantara.
Ketika berita kematiannya tersebar, Datu Patinggi, Datu Shahbandar, Datu Amar dan Datuk Temenggong datang ke Santubong untuk menyelesaikan upacara pengebumian mengikut tradisi Diraja Kesultanan Brunei Darussalam. Baginda mangkat pada tahun 1641 dan dimakamkan di kaki Gunung Santubong, tidak jauh daripada kawasan Batu Buaya. Makam Sultan Tengah masih lagi dijaga rapi oleh Kerajaan Negeri Sarawak sehingga sekarang.
Selepas kemangkatan Sultan Tengah maka berakhirlah Kerajaan Kesultanan Sarawak Darul Hana di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Keluarga Sultan Tengah iaitu permaisuri dan anak-anaknya dikatakan tidak selesa untuk tinggal di Sarawak Darul Hana atas tragedi yang menimpa Sultan Tengah menemui ajalnya. Mereka sekeluarga telah pulang ke negara asal bonda mereka iaitu Kerajaan Sukadana yang kemudiannya dinamakan dengan Kerajaan Mantan.
Di dalam sejarah purba Sarawak, Sultan Tengah merupakan Sultan yang Pertama dan juga yang Terakhir bagi Kerajaan Kesultanan Sarawak Darul Hana.
#KamekSayangSarawakBah!