LOKAN
LOKAN
Lokan merupakan sejenis makanan laut kerang-kerangan air masin yang sebenarnya boleh dimakan. Mungkin ramai yang mengatakan bahawa lokan ini hampir sama dengan satu lagi makanan laut yang popular di bumi Malaysia iaitu Kepah atau Siput Gayam namun begitu Lokan bukanlah sama dengan Kepah terutama sekali daripada jenis dan saiznya. Jika Kepah adalah daripada spesis genus Asaphis manakala Lokan pula adalah daripada keluarga Moluska Bivalve mengikut nama saintifiknya.
Habitat Lokan adalah di kawasan sepanjang sungai berair masin yang berlumpur dan kerana itulah untuk mendapatkan lokan itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana adalah menjadi cara penghidupan lokan itu sendiri yang gemar menyembunyikan diri di dalam tanah lumpur atau pasir. Untuk mengambilnya dikatakan hanya boleh dilakukan sewaktu surut air dan hanya mereka yang pakar sahaja boleh mendapatkannya dengan mudah melalui kaedah mencungkilnya dengan kayu daripada cengkaman pasir atau lumpur.
Lokan merupakan antara hidangan yang popular di kalangan masyarakat Sarawak dan sekiranya ingin mendapatkannya haruslah rajin-rajin menjenguk pasar tani atau pasar tamu di seluruh Sarawak kerana disitulah pusat penjualannya. Kerana kepayahan sewaktu mengambilnya maka harga untuk sekilogram lokan boleh mencecah sehingga ke RM20 sekilo namun begitu kerana rasanya yang enak maka harga bukanlah satu persoalan.
Di kalangan masyarakat Sarawak sudah tentu mempunyai selera yang berbeza-beza di dalam memperkatakan tentang Lokan kerana itulah ada yang lebih gemar untuk memakannya secara mentah dengan syarat ianya harus dibersihkan sebaik-baiknya daripada lumpur dan pasir. Ada juga yang telah mengubah lokan menjadi hidangan seperti lokan masak lemak, lokan masak kari dan banyak kali tetapi yang paling mudah adalah lokan hanya perlu direbus dan bolehlah segera dimakan dengan bercecahkan cili dan kicap.