PERANG RAJA ABAN JAU TERHADAP ORANG KAYA LADONG & LEBAAI DI SIBUTI 1876
PERANG RAJA ABAN JAU TERHADAP ORANG KAYA LADONG & LEBAAI DI SIBUTI 1876
Mungkin ramai tidak mengetahui tentang sejarah ini kerana sememangnya ianya diwar-warkan buat pengetahuan kita semua sebagai bangsa Sarawak. Di dalam rentetan sejarah bergelar Sarawak Kingdom, ianya pernah berlaku malah ianya masih lagi menjadi cerita oral oleh generasi etnik Kedayan di Sibuti sehingga ke hari ini.
Raja Aban Jau, satu nama yang tidak asing bagi kaum Orang Ulu Sarawak malah namanya juga sentiasa mewarnai catatan di dalam jurnal-jurnal pengembaraan Brooke dan penjawat Inggeris di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Kehebatan seorang bangsawan dari etnik Kayan ini sememangnya tidak boleh dinafikan kerana beliaulah juga antara yang terhebat di dalam ekspedisi kayau sebelum ianya diharamkan oleh Brooke sewaktu memerintah Sarawak. Raja Aban Jau atau Brooke sendiri menggelarnya “King Of The Upriver” kerana beliau merupakan “Raja Orang Ulu” yang tinggal di kawasan Baram dan Tinjar di pedalaman Sarawak.
Sebagai seorang “raja” sudah tentu beliau juga berasal dari strata sosial “Maren” iaitu strata sosial paling tinggi yang dikenali sebagai golongan bangsawan di hirarki strata sosial etnik Sebop. Oleh kerana berasal dari strata sosial “Maren” maka banyaklah yang berbeza di dalam cara hidup mereka contohnya dari segi pakaian, pengguna bakul pembawa bayi atau Ba’ juga berbeza berbanding strata sosial yang dibawahnya. Dan hanya bagi golongan “Maren” sahaja dikatakan boleh mempunyai hamba atau Ulun bagi menguruskan hal-hal berkenaan dengan rumahtangga dan sebaliknya.
Diceritakan pada satu hari, ada beberapa orang hamba atau ulun yang dipunyai oleh keluarga etnik Sebop yang juga dipimpin oleh Raja Abang Jau telah berjaya melarikan diri. Hal ini hanya diketahui pada sebelah paginya dan berdasarkan kepada informasi akhirnya Raja Aban Jau mengetahui bahawa hamba-hamba ini telah melarikan diri sehingga ke Sibuti dan mendapat perlindungan daripada orang-orang Sibuti iaitu yang dipimpin oleh Orang Kaya Ladong dan Lebaai.
Raja Aban Jau yang marah dengan hal itu telah menghantar perutusan ke Sibuti untuk diberikan kepada Orang Kaya Ladong dan Lebaai dan meminta agar hamba-hamba itu diserahkan kembali kepada mereka. Malangnya Orang Kaya Ladong dan Lebaai tidak mahu menyerahkan mereka kerana hamba-hamba ini dating sendiri memohon perlindungan daripada mereka. Hal tersebut dipanjangkan kepada pemimpin di Sibuti bernama Pengiran Sulaiman Damit. Pengiran Sulaiman Damit juga sehaluan dengan Orang Kaya Ladong untuk memberikan perlindungan kepada hamba-hamba tersebut.
Setelah perutusan kembali ke Raja Aban Jau di Sungai Tinjar lalu menceritakan apa yang terjadi kepada raja mereka. Ini membuatkan Raja Aban Jau berang kerana ianya seperti mempermainkan maruah bangsa Sebop. Bertindak daripada itu, Raja Aban Jau telah mengistiharkan perang ke atas masyarakat Kedayan dibawah pimpinan Orang Kaya Ladong dan juga Pengiran Sulaiman Damit di Sibuti. Maka bersiap siagalah pahlawan-pahlawan sebop dari Sungai Tinjar untuk ke medan perang bagi membawa kembali hamba-hamba yang sememangnya menjadi hak mereka.
Bagi masyarakat Kedayan di Sibuti pula tahu bahawa keputusan mereka untuk melindungi hamba-hamba yang melarikan diri itu sudah tentu mengundang padah kepada mereka. Mereka juga tahu Raja Aban Jau dan pahlawan Dayak bukannya calang-calang orang malah sejarah juga membuktikan mereka sememangnya pahlawan perang yang terbilang. Hal tersebut dipanjangkan ke Rajah Brooke di Kuching. Apabila Rajah Brooke mendengar bahawa akan ada lagi perang saudara ini maka beliau telah menghantar perutusan kepada kedua-dua belah pihak.
Dikala inilah Rajah Brooke telah memberikan kata dua kepada Raja Aban Jau dan juga Pengiran Sulaiman Damit serta Orang Kaya Ladong untuk menghentikan niat untuk berperang atau Sibuti mahupun Sungai Tinjar akan diperangi oleh armada tentera Sarawak Kingdom. Sebenarnya perutusan Brooke itu sampai di tangan Raja Aban Jau apabila beliau dan pahlawan Sebop baru sahaja hendak memasuki Sungai Sibuti. Apabila mendengar perutusan dari Rajah Brooke ini akhirnya Raja Aban Jau menghentikan niatnya untuk memerangi Sibuti kerana tidak mahu Sungai Tinjar diperangi oleh armada Brooke yang serba lengkap di dalam serba-serbi.
Akhirnya perang Raja Aban Jau dan masyarakat Kedayan Sibuti dapat dihentikan dengan tiada pertumpahan darah. Rajah Brooke pula telah meminta Pangiran Sulaiman Damit dan Orang Kaya Ladong menyerahkan hamba-hamba tersebut kepadanya dan akhirnya mereka dimerdekakan oleh Rajah Brooke dan memulakan hidup baru dan kembali ke komoniti mereka seperti asalnya. Di pihak Raja Aban Jau dan Kedayan Sibuti telah membuat perjanjian perdamaian dengan bersaksikan penjawat Eropah Sarawak Kingdom pada waktu itu dan mereka hidup aman damai seperti sebelumnya.
Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba memahami satu perang yang hampir boleh memusnahkan kedua-dua etnik di Sarawak suatu masa dahulu. Dan sudah tentu ianya juga tidak diketahui oleh kita sebagai bangsa Sarawak.
Rujukan:
1. Book Title: The Pagan Tribes Of Borneo Volume 1 by Charles Hose
and William McDougall
2. A History Under Its Two White Rajah, 1839-1908 by Baring Gould
https://archive.org/stream/historyofsarawak00bari/historyofsarawak