top of page

SYARIF OSMAN DARI KOTA MARUDU


SYARIF OSMAN DARI KOTA MARUDU

- Inggeris Singapura, Sarawak Kingdom, British North Borneo & Kesultanan Brunei Bersatu Untuk Memeranginya


Kota Marudu yang terletak di Kudat, Sabah adalah salah satu daripada kawasan yang bersejarah di dalam peta Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Ianya adalah salah satu daripada lokasi sebuah peradaban purba sejak dari kurun ke-13 lagi. Di Marudu inilah lahirnya seorang pahlawan Sabah yang bernama Syarif Osman yang mana beliau telah bangun menentang pentadbiran Kompeni British di bumi Marudu suatu waktu dahulu.


Sebagai pembuka bicara adalah molek untuk kita mengetahui kewujudan Marudu ini sebagai sebuah peradaban yang gah namanya suatu waktu dahulu. Mungkin ramai yang mengetahui bahawa nama Marudu itu seperti yang ditulis sebelumnya adalah Bandau. Namun begitu sebenarnya mengikut apa yang difahami telah terbukti bahawa Marudu sebenarnya bukanlah bernama Bandau pada asalnya sebaliknya sememang dikenali sebagai Marudu sejak dahulu lagi.



Marudu Sebagai Bandar Pelabuhan


Menurut satu jurnal sejarah daripada Tembok Besar China iaitu Chu Fan Chih yang ditulis pada tahun 1225 dan Nan Hai Chih yang ditulis pada 1304 ada menyatakan satu lokasi yang dipanggil “his lung kung”, “Sha Hu Chung” atau “Sha Oo Chung”. Apa yang disebutkan itu adalah merujuk kepada Saludung iaitu Teluk Marudu. Dan penemuan ini disahkan lagi oleh kajian ahli arkeologi dan sejarahwan Universiti Malaysia Sabah pada tahun 2006.


Pada tahun 1537 mengikut apa yang dicatatkan oleh seorang bangsa Portugis iaitu Casper Viegas pula mencatatkan Marudu di dalam jurnal pemetaannya dan ianya dikatakan bersangkutan dengan pelayaran bangsa Portugis ke Brunei iaitu sekitar 1526. Pelayaran oleh Don Jorge de Menezes ini juga meliputi pelayarannya melalui Teluk Marudu ke Brunei.


Antara tahun 1569 sehingga 1579, setiap jurnal-jurnal pelayaran lama ada menyatakan nama lokasi di bumi utara Pulau Borneo ini sebagai Marudu, Marudo, Manado dan Malloodoo sebagai tempat persinggahan mereka kerana dikatakan mempunyai bandar pelabuhan yang gah dan teratur. Nama-nama ini digunakan selama 166 tahun dan kemudian tiba-tiba ianya lenyap di dalam jurnal pengembaraan bangsa Eropah suatu waktu dahulu.


Namun begitu pada tahun 1745 sehingga 1770, sekali lagi nama Marudo disebut-sebut di dalam jurnal pengembaraan dan kemudian hilang sekali lagi sehingga timbulnya nama Bandau bagi menggantikan nama Marudo itu. Inilah uniknya apabila memperkatakan lokasi bernama Kota Marudu di Kudat ini yang ternyata mengikut sejarahnya telah lama wujud sebagai satu nama yang gah di Nusantara suatu waktu dahulu sehingga memungkinkan ada pelayar dari Tembok Besar China dan bangsa Eropah mengunjunginya.



Syarif Osman Dan Sejarah Penentangannya


Syarif Osman bin Syarif Mohammad Rum merupakan seorang pembesar bagi wilayah Marudu yang merupakan salah satu wilayah di bawah jajahan Kesultanan Sulu suatu waktu dahulu. Beliau merupakan pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Sulu bagi mengutip cukai dan juga mentadbir Marudu secara keseluruhannya. Syarif Osman adalah dari keturunan Suluk-Bajau/Brunei yang mana susur galur keturunannya adalah merupakan dari kalangan pembesar yang dihormati di Kesultanan Sulu dan juga Kesultanan Brunei suatu ketika dahulu. Beliau menjadi pemerintah Marudu dari tahun 1830 sehingga 1845.


Syarif Osman mendirikan rumahtangga dengan salah seorang puteri Kesultanan Sulu yang bernama Dayang Cahaya iaitu puteri kepada Raja Muda Bantilan atau Sultan Badaruddin. Kekanda Dayang Cahaya adalah Raja Muda Sulu yang bernama Datu Muhamad Buyo juga digelar Maharaja Adinda Aranan Puyoh. Hasil perkahwinan Syarif Osman dan Dayang Cahaya dikurniakan dengan beberapa orang puteri dan putera namun antara puteranya yang paling gah dan terkenal adalah Syarif Merun bin Syarif Osman.


Apabila Kesultanan Sulu mengambilalih beberapa kawasan di Borneo Utara dari Kesultanan Brunei, Syariff Osman telah diamanahkan untuk mentadbir wilayah Marudu. Pada masa ini, Struktur Pentadbiran Borneo Utara ( Sabah ) di bawah Kesultanan Sulu telah dibahagikan kepada tiga wilayah atau kawasan; iaitu Wilayah Marudu, Wilayah Mangindora dan Wilayah Tirun.


Wilayah Marudu meliputi kawasan Kepulauan Palawan, Balabak, Banggi, Balambangan, Marudu, Tempasuk, Ambong, Pitas atau Lingkabao, Paitan, Sugut, Labuk dan berakhir di Teluk Sandakan. Wilayah Mangindora pula meliputi kawasaan Sandakan, Kinabatangan, Tungku, Tingkayu sehingga ke Sungai Apas. Manakala Wilayah Tirun menganjur dari Tingkayu sehingga ke kawasan Sibuko, Sambakong, Bulungan dan Berau.


Kesemua kawasan ini ditadbir oleh beberapa orang Ketua Sulu yang terdiri daripada Datu, Shariff, Tuan dan Pangeran. Walau bagaimanapun, Marudu adalah wilayah utama dan merupakan kawasan yang terbesar sekali di antara tiga wilayah itu. Marudu diketuai oleh Shariff Osman, Mangindora diketuai oleh Tuan Abandol di Sungai Sandakan, Datu Bandar (Pangeran) di Betau dan mengetuai masyarakat Buludupi/Idaan/Sungai. Manakala Wilayah Tirun ditadbir oleh beberapa orang Datu, antaranya ialah Datu Sapindin yang mentadbir Teluk Darvel.


Syarif Osman menjadikan muara Sungai Bandau-Lankon sebagai pusat pentadbirannya di Marudu. Disini beliau telah menjadikan Marudu sebagai bandar pelabuhan yang gah sekali kerana disinilah perniagaan untuk mengeksport hasil-hasil hutan dan laut seperti kapur barus, rotan, mutiara, beras bukit, kulit penyu, sarang burung, hasil-hasil laut dan sebagainya. Pada masa ini, Marudu muncul sebagai kawasan utama penyumbang hasil-hasil tersebut ke Sulu dan Marudu muncul sebagai wilayah yang terpenting sekali di antara semua wilayah Kesultanan Sulu.


Syarif Osman juga bertanggungjawab untuk memungut cukai untuk dirinya dan Sultan Sulu dari pedagang-pedagang yang menjalankan perniagaan di kawasan Marudu. Bagi membantu beliau menguruskan wilayah Marudu ini, beliau dibenarkan oleh Sultan Sulu untuk melantik wakilnya yang terdiri daripada Datu-datu Sulu dan Ketua-ketua Suku untuk melancarkan urusan pentadbiran beliau di Marudu pada ketika itu.


Apabila adanya pemimpin seperti Syarif Osman yang menjadikan Marudu makmur dan kaya raya maka ramailah rakyat di seluruh Borneo Utara yang datang berhijrah di Marudu pada waktu itu. Menurut satu buku yang ditulis oleh St John di dalam bukunya yang bertajuk “Life In The Forest of The Far-East” yang ditulis pada tahun 1863 ada menyatakan bahawa pada tahun itu kepadatan penduduk di Marudu adalah lebih kurang 50,000 orang. Ini sudah cukup membuktikan betapa Marudu itu muncul sebagai sebuah bandar pelabuhan yang terkenal.


Umum mengetahui bahawa suatu waktu dahulu seringkali aktiviti lanun menjadi persoalan utama bagi membenarkan perluasan kuasa oleh bangsa Eropah di bumi Borneo dan ianya tidak terkecuali bagi Syarif Osman yang diwarnai sebagai Ketua Lanun bagi wilayah Marudu dan kawasan sekitarnya. Sebenarnya jika diikutkan kepada dokumen sejarah lama tiada satupun bukti yang dapat mengaitkan Syarif Osman dengan rompakan kapal dagang atau menyerang mana-mana perkampungan penduduk tempatan di Borneo Utara pada waktu itu.


Hakikatnya kebijaksanaan dan kepimpinan Syarif Osman memimpin Marudu sebagai satu bandar pelabuhan terkenal di utara Borneo menyebabkan Rajah James Brooke dari Sarawak Kingdom dan Kompeni British North Borneo serta Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu yang sedang menghadapi zaman kelemahan empayarnya pada ketika itu merasa terancam dengan kewujudannya. Kesemua kuasa-kuasa di Pulau Borneo pada ketika itu merasa tergugat lalu melancarkan perang terhadapnya dan motif memerangi lanun dijadikan alasan.


Ini dapat disahihkan seperti apa yang dinyatakan di dalam buku tulisan Dr Ranjit Singh yang bertajuk Commorative History of Sabah 1881-1981.


" In certain cases, where Brunei and Sulu authority was lax and the settled population feared attacks by pirates, men of out-standing ability, strength and an independent disposition were able to establish themselves as protectors and virtual independent chiefs" .


Kemuncak kepada dilabelkan sebagai pengkhianat dan juga pemberontak maka pada tanggal 19hb Ogos 1845, pihak tentera Inggeris yang didokongi oleh Rajah James Brooke berserta dengan armada tenteranya melalui HMS Iris dan juga Kompeni British North Borneo dengan sokongan daripada Kesultanan Brunei telah menyerang Marudu dan inilah dinamakan Perang Marudu 1845. Pasukan Inggeris di Singapura yang diketuai oleh Thomas Cochrane juga menghulurkan bantuan untuk memerangi Syarif Osman di Marudu pada ketika itu.


Di pihak Syarif Osman pula, beliau telah mendapat bantuan daripada Pengeran Yusuf, Syarif Shahap yang juga sepupunya yang merupakan pemerintah di Saribas berserta dengan pengikut-pengikutnya dari pelbagai etnik di Borneo Utara telah bersatu menentang armada Inggeris ini. Walaupun berusaha dengan semangat yang penuh jitu dan dengan menggunakan peralatan perang yang sudah tentu tidak dapat menjangkau peralatan perang armada Inggeris, akhirnya Syarif Osman dan pengikutnya tewas di tangan Inggeris pada Perang Marudu ini.


Di dalam Perang Marudu 1845 ini diceritakan kubu Syarif Osman telah musnah dan Syarif Osman juga gugur di medan peperangan tersebut. Mengikut ceritanya pengikut-pengikut Syarif Osman yang setia telah sempat menyemadikan jenazah Syarif Osman di luar kubu pertahanannya manakala isteri serta keluarganya telah sempat meloloskan diri ke Sugud menggunakan jalan darat dan seterusnya memohon perlindungan di wilayah Sulu di Filipina.


Inilah tentang satu sejarah penentangan Syarif Osman di bumi Borneo Utara (Sabah) suatu waktu dahulu yang mana ianya diperangi oleh armada Inggeris yang juga bergabung dengan armada Inggeris di Singapura, Rajah James Brooke dari Sarawak Kingdom serta Kompeni British North Borneo serta Kesultanan Brunei sendiri pada suatu waktu dahulu.


Bekas kubu pertahanan dan makam Syarif Osman di Kudat, Sabah sekarang adalah salah satu peninggalan sejarah bagi perjuangan anak bangsa Sabah ini di bumi Borneo Utara suatu waktu dahulu. Perjuangan dan penentangan Syarif Osman adalah pemangkin kepada penentangan-penentangan yang lain di bumi Borneo Utara seperti penentangan Si Gunting, Rindongan dan Kulindod.





Reference:


1. Book Title: The Destructions and Reconstruction of A Coastal State In Borneo.

Marudu 1845 by Bianca Maria Gerlich

2. Book Title: Commorative History of Sabah 1881-1981 by Dr Ranjit Singh

3. Book Title: Southeast Asia and the Great Powers by Nicholas Tarling

4. Rentetan Sejarah Marudu http://ww2.sabah.gov.my

5. The Brunei Times; How Brunei Lost Its Northern Province

bottom of page