top of page

BUAH PEDADA


BUAH PEDADA


Buah Mangga Di Dalam Celapa Buah Pedada Di Dalam Laksa Yang Muda Menyapa Yang Tua Itulah Tanda Berbudi Bahasa


Itulah bait-bait pantun orang lama yang mempunyai kiasan tentang betapa kita ini orang Timur tinggi budi bahasanya. Walaupun begitu bukan kiasan itu yang akan ditampilkan sebagai satu ruang informasi sebaliknya merujuk kepada rangkap kedua pantun tersebut iaitu Buah Pedada Di Dalam Laksa. Jika ada pembayang maksud sebegitu jadi sudah tentu buah pedada juga memainkan peranan sebagai salah satu ramuan perasa di dalam menu laksa masyarakat Timur suatu waktu dahulu.


Mungkin bagi generasi baru terutama yang dibesarkan di bandar-bandar besar tidak mengenalinya tetapi bagi anak seorang anak kampong, buah pedada bukanlah asing lebih-lebih lagi pokoknya boleh ditemui di tepi-tepi sungai yang mempunyai air masin. Inilah kawasan yang sesuai untuk pokok pedada ini tumbuh segar. Bila ada pokok pedada sudah tentu ianya juga terkenal dengan habitat si kunang-kunang (kelip-kelip) di waktu malam. Dan bagi masyarakat Sarawak sekiranya ada pokok pedada, adalah si kunang-kunang dan disitu jugalah dikatakan tempat yang paling si sang bedal (buaya) suka sambil-sambil menunggu mangsa.


Dengan nama saintifiknya Sonneratia Caseolaris merupakan salah satu daripada spesis Sonneratia yang tumbuh segar di kawasan paya bakau. Terdapat 5 lagi spesis Sonneratia iaitu Sonneratia Alba, Sonneratia Caseolaris, Sonneratia Ovata, Senneratia Apetala dan Sonneratia Lacealata. Di dalam himpunan 5 spesis ini hanya pokok pedada sebenarnya yang mempunyai khasiat dari akar sehingga ke daunnya lebih-lebih lagi buahnya.


Buah pedada merupakan produksi daripada pokok pedada dan ianya adalah spesis buah bermusim iaitu musimnya berbuah adalah antara bulan Mei sehingga Julai setiap tahun. Ianya banyak tumbuh di kawasan yang beriklim tropika seperti di Malaysia, Borneo, Australia Utara serta Kepulauan Pasifik. Buah pedada adalah satu am bagi rakyat Malaysia memanggilnya tetapi jika berkunjung ke negara Asian yang lain juga mempunyai nama-namanya tersendiri seperti pagapate di Papua New Guinea, Pagapat di Filipina, Tapoo atau Tamoo di Myammar, Lamphu jika di Thailand dan Baanchua bagi Vietnam.


Untuk di Sarawak yang terkenal dengan dialek-dialek daripada pelbagai bangsa pula buah pedada mempunyai panggilan nama yang berlainan. Jika Melayu Sarawak tetap memanggilnya buah pedada, untuk masyarakat Dayak pula memanggilnya buah pedadah dan bagi Melanau Mukah pula memanggilnya pedada nai @ pasir’. Itulah antara panggilan tempatan bagi merujuk buah pedada ini yang ketika mudanya berasa kelat dan masam-masam.


Jangan pandang sebelah mata tentang keberadaan pokok pedada yang hidup subur di kawasan paya bakau di dalam ekosistem kita kerana kerana sudah terbukti spesis pohon paya bakau ini sebenarnya adalah pemangkin untuk menghalang hakisan kerana akarnya yang kuat boleh menyebabkan hakisan boleh dikurangkan. Namun begitu akibat kerakusan manusia di dalam mengejar arus pembangunan banyak tumbuh-tumbuhan paya bakau yang berada di rizab-rizab sungai dan tepi pantai dimusnahkan dengan rakusnya sehingga membawa kepada kemudaratan baik dari segi spesis haiwan yang menghuni kawasan paya bakau mahupun penghidupan manusia itu sendiri.


Jika pokoknya mampu menangkis hakisan apatah lagi dengan buahnya iaitu buah pedada. Buah pedada juga mempunyai khasiat-khasiat yang tersendiri. Buah pedada yang kaya dengan enzim lemak dikatakan mampu untuk mengurangkan masalah obesiti kepada si pemakannya. Jadi tidak hairanlah mengapa ramai masyarakat Sarawak lebih memilih untuk memakan buah pedada ini sebagai ulam-ulaman yang dimakan bersama sambal belacan.


Malah buah pedada juga digunakan sebagai antara ramuan bagi menyedapkan menu hidangan gulai ikan dan banyak lagi. Bagi sesetengah mereka yang tahu mengeksploitasi buah pedada ini ada yang sudah menjadikannya sebagai sirap buah pedada yang mana air sirapnya yang masam-masam manis adalah pilihan yang terbaik selepas makan-makanan yang berminyak.


Sudah tentu buah pedada tidak ada yang dijual di pasaraya kerana buah pedada harus dijual dengan keadaan yang segar dan sekira seseorang itu ingin mendapatkan bekalan buah pedada maka rajin-rajinlah menjenguk pasar-pasar tamu di Sarawak. Harganya agak berpatutan iaitu RM2.00 sepinggan (1 pinggan ada 10 biji) dan sudah menjadi kelaziman rata-rata isi rumah di Sarawak sekiranya menemui buah pedada ini pasar-pasar tamu amat jarang untuk melepaskan peluang membelinya kerana ianya bukan selalu ada.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page