CERITA HANTU MISTIK DI DALAM MASYARAKAT SARAWAK
CERITA HANTU MISTIK DI DALAM MASYARAKAT SARAWAK
- Hantu Pocong / Hantu Penanggal / Hantu Janet
Cerita hantu merupakan antara satu kisah mistik yang sangat dipercayai oleh sebahagian daripada kita sebagai orang timur lebih-lebih lagi suatu waktu dahulu apabila orang tua kita masih lagi hidup di dalam kefahaman mistik. Namun begitu, cerita hantu bukan sahaja dipercayai oleh orang timur malah masyarakat barat juga tidak kurang dengan cerita hantu mereka.
Cerita hantu yang penuh mistik juga ada di kalangan masyarakat Sarawak malah kejadian adanya hantu ini telah membuatkan beberapa buah tempat di Sarawak misalnya menjadi kawasan yang kalau boleh tidak mahu dilewati apabila menjelang malam. Semuanya kerana diceritakan ramai yang telah terserempak dengan susuk-susuk yang mengerikan ini. Cerita mistik hantu akan merangkumi Hantu Pocong, Hantu Penanggal dan Hantu Janet yang pernah terjadi antara tahun 1970an sehingga 1990an di bumi Sarawak suatu ketika dahulu.
Cerita Hantu Bangkit @ Orang Kayong @ Pocong
Mengikut cerita orang tua-tua, cerita mitos mistik Hantu Bangkit ini ada kaitan dengan sumpahan kepada keturunan daripada masyarakat Kayong atau Orang Kayong. Masyarakat Kayong atau Orang Kayong dikatakan berasal dari Tanah Kayong, Kalimantan Barat, Indonesia. Apakah kaitan Orang Kayong dengan masyarakat Melayu Sarawak? Umum mengetahui bahawa berdasarkan bukti sejarah, majoriti masyarakat Melayu Sarawak mempunyai susur-galor yang amat rapat dengan kewujudan kerajaan-kerajaan lama di Kabupaten-kabupaten Kalimantan Barat.
Yang dinamakan dengan Tanah Kayong adalah sempadan negerinya bermula daripada Tanjung Datu hingga ke Banjarmasin seperti Kerajaan Lama Sukadana, Tanjungpura, Simpang Matan dan kerajaan Kayong itu sendiri. Kesemua kerajaan-kerajaan ini adalah kerajaan Melayu yang berkait rapat dengan kewujudan Kerajaan Kesultanan Brunei pada suatu waktu dahulu.
Ramai rakyat berbangsa Melayu dari kerajaan-kerajaan lama ini telah berhijrah dan membentuk masyarakat Melayu Sarawak yang kita dapati di Sarawak sekarang. Salah satu daripada mereka yang berhijrah ini adalah Orang Kayong.
Cerita masyarakat Kayong dengan mitos mistik Hantu Bangkit ini bermula di sebuah kampung di Tanah Kayong, Diceritakan pada suatu waktu dahulu terdapat sebuah kampung yang sentiasa di dalam keadaan yang tidak terang malah amat sukar untuk ditembusi cahaya matahari kerana dikatakan terletak di bawah sepohon kayu yang amat besar sehingga dahan-dahannya telah menutup ruang untuk mendapat cahaya matahari. Hal ini amat membingungkan penduduk kampung maka bermesyuaratlah mereka apakah jalan yang sebaiknya agar mereka dapat menerima cahaya matahari. Setelah itu maka mereka pun bersetuju satu-satunya jalan adalah dengan menebang pokok tersebut.
Seperti yang dipersetujui di dalam mesyuarat maka tibalah hari yang dijanjikan iaitu hari untuk menebang pokok tersebut. Keseluruhan orang lelaki Kampung tersebut telah siap siaga dengan alatan untuk menebang pokok seperti gergaji, parang dan sebagainya. Setelah diperkenankan oleh ketua kampung tersebut maka 7 pemuda yang gagah perkasa telah bertindak untuk menebang pokok tersebut secara berganti-ganti dengan kapak mereka. Namun apa yang menghairankan mereka biar apa cara sekalipun untuk menebang pokok tersebut tetap tidak menampak kesan kepada pokok tersebut malah tidak tercarik sedikit pun.
Di kala mereka semua pasrah dengan apa yang berlaku itu tiba-tiba terdengar suara yang datang dari pokok tersebut. Penduduk kampung amat kaget kerana pokok tersebut telah memberi amaran bahawa barang sesiapa yang menebang pokok tersebut maka mereka akan disumpah bangkit dari mati selama 7 hari dan ianya disumpah selama 7 keturunan. Pemuda-pemuda gagah perkasa yang seramai 7 orang itu rasa tercabar dengan amaran pokok tersebut malah mereka dengan marah telah bertindak menebang pokok tersebut tanpa memperdulikan kata-kata nasihat daripada penduduk kampung tersebut.
Setelah berhempas pulas akhirnya pokok tersebut pun menyembah bumi. 7 penduduk lelaki perkasa itu puas dengan apa yang terjadi kerana bagi mereka pokok tersebut hanya mengada-adakan cerita. Setelah seketika, tiba-tiba pemuda ke 7 yang menebang pokok tersebut telah mati mengejut dan beliau dikuburkan seperti biasa malah penduduk kampung juga sudah melupai sumpahan pokok tersebut. Apabila malamnya tiba-tiba kedengaran hiruk pikuk di rumah pemuda ke 7 kerana ahli keluarganya serta beberapa orang penduduk kampung telah menjumpai si pemuda ke 7 pulang ke rumah walaupun baru sahaja dikuburkan pada petang itu.
Maka bermulalah malam-malam seterusnya yang mana setiap malam akan ada sahaja penduduk kampung melihat kelibat si mati pemuda ke-7 merayau-rayau menuju ke rumahnya ataupun menjenguk rumah saudara maranya. Hal ini berlaku selama 7 malam berturut-turut dan dikatakan setiap kali dia sudah menziarahi rumah keluarganya pada keesokan harinya akan terdapatlah bekas tanda tanah-tanah kubur terlekat di lantai dan tangga rumah.
Berbalik kepada cerita 6 pemuda yang bersama-sama dengan pemuda ke-7 menebang pokok tersebut maka timbullah ketakutan di dalam diri mereka akan nasib yang menimpa saudara pemuda ke-7. Bertindak daripada peristiwa itu dikatakan 6 pemuda ini telah berpindah daripada kampung mereka mengembara membawa diri sehinggalah membentuk sebuah masyarakat Melayu di Sarawak antaranya. Tujuannya adalah untuk menghindarkan diri daripada sumpahan tersebut.
Mereka menyesali apa yang sudah mereka lakukan kerana amat degil tidak mendengar nasihat orang tua-tua kampung namun nasi sudahpun menjadi bubur dan sumpahan itu tetap akan berada pada mereka dan juga kepada keseluruhan 7 keturunan mereka tidak mengira tempat betapa jauhnya mereka daripada Tanah Kayong itu sendiri.
Cerita Hantu Penanggal @ Hantu Tengkalan @ Hantu Balan-balan
Sebenarnya ada banyak terma bagaimana masyarakat memanggil hantu penanggal ni termasuklah hantu balan-balan bagi masyarakat di Sabah, hantu tengelong bagi masyarakat melayu di utara semenanjung dan manakala di Sarawak mahupun di Brunei Darussalam lebih dipanggil hantu penanggal atau tengkalan. Itulah terma-terma yang digunakan bagi menggelar hantu ini tetapi walau apapun panggilannya asal kejadian hantu penanggal ini adalah dari satu cerita yang sama iaitu kesemuanya adalah untuk tujuan ilmu hitam.
Diceritakan bahawa hantu ini sebenarnya berasal dari seorang wanita yang mengamalkan ilmu hitam. Mereka yang dikatakan menuntut ilmu ni mampu memisahkan dirinya dari badan dan kepala mereka sehingga mampu terbang dengan membawa sekali tali perut yang terburai. Dikatakan bahawa darah yang menitik dan sekiranya terkena pada sesiapa maka akan terjadilah kudis yang berpanjangan kerana darah itu dikatakan mempunyai bisa.
Mereka yang mengamalkan ilmu ini juga dipercayai menyimpan cuka bagi tujuan memeram urat perut agar kecut sebelum di cantumkan kembali ke badan. Di cerita juga bahawa sekiranya ada orang yang terserempak dengan tubuh hantu ni kemudian diterbalikkan, hantu ini akan bercantum secara terbalik juga dengan kepalanya. Dengan itu rahsia hantu ni akan terbongkar maka akan musnahlah segala ilmu hitam yang diamalkannya kelak.
Ada banyak versi sebenarnya bagaimana untuk mengjahanamkan mereka yang mengamalkan ilmu hitam ini dan salah satu daripadanya adalah sekiranya terjumpa tubuhnya yang tanpa kepala maka hendaklah dengan segera ditutup badannya dengan kain batik secara terbalik dan nescaya apabila kepalanya cuba untuk mencari badannya kembali sudah tentu tidak dijumpai dan cukup sehingga paras matahari tegak di kepala maka akan matilah pengamal ilmu hitam ini.
Suatu waktu dahulu di bahagian Sibu, pernah gah dengan cerita hantu penanggal yang bermaharajalela di dalam sebuah kampung melayu. Hantu penanggal ini sebenarnya adalah jenis hantu yang gemar menghisap darah wanita yang baru lepas bersalin dan sekiranya darah wanita yang selepas bersalin ini dihisap nescaya wanita itu akan mati kerana akibat tumpah darah yang banyak sangat. Maka itulah yang terjadi di sebuah kampung di Sibu sewaktu dahulu sehingga memungkinkan seluruh penduduk telah bersatu hati menjaga siang dan malam kerana musibah yang berlaku.
Dan pada waktu inilah rata-rata masyarakat melayu kampung tersebut telah mula menanam di sekeliling rumah mereka dengan tanam-tanaman yang berduri. Hantu penanggal dikatakan takut untuk menghampiri rumah sebegini kerana dia sendiri risau takut akan tali perutnya yang terburai tersangkut pada duri-duri itu nanti. Bagi yang mempunyai anak atau isteri yang sedang mengandung akan mula menggantung daun kering mengkuang yang terkenal dengan durinya bersebelahan dengan tempat anak isteri sedang tidur.
Ini semua dilakukan bagi memberikan keselamatan yang tetap kepada mereka yang tersayang kerana hantu penanggal ini mampu masuk ke rumah walau hanya dengan sebesar lubang kecil yang ada di dinding rumah. Inilah kekuasaaan ilmu iblis yang seharusnya tidak diamalkan oleh manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras.
Hendak dijadikan ceritera setelah 2 mangsa ibu yang tidak berdosa menjadi korban akhirnya manusia yang empunya angkara telah berjaya juga ditangkap. Hakikatnya dikatakan bahawa wanita kampung yang terpaksa menerima saka hantu penanggal ini diwarisinya daripada ibunya dan sekiranya ianya tidak mewarisinya maka ianya akan lebih teruk sekali.
Demi menjaga keharmonian di dalam kampung itu maka orang tua-tua di kampung tersebut telah sebulat suara untuk mengusir wanita dan keluarganya keluar daripada kampung tersebut dan sejak itu tiadalah lagi igauan ngeri ibu-ibu mengandung yang takut akan tumpah darah berlaku lagi di kampung tersebut.
Cerita Hantu Janet
Cerita Hantu Janet amat terkenal di era 60an dan 80an di Kuching, Sarawak dan cerita seram ini telah membuatkan ramai masyarakat di Kuching pada waktu itu lelah jika menjelang malam terutama sekali pada mereka yang gemar keluar di waktu malam mahupun yang terpaksa mencari rezeki pada sebelah malam. Terdapat banyak versi cerita Hantu Janet itu dan apa yang dipaparkan kali ini adalah 2 versi cerita hantunya.
Hantu Janet Versi Satu (1) :
Diceritakan bahawa Janet adalah seorang gadis berketurunan Tionghua yang dikatakan diculik sekitar tahun 70an. Janet pula adalah seorang penjawat awam iaitu bertugas sebagai seorang Jururawat di Hospital Umum Sarawak. Dikatakan Janet diculik selepas pulang daripada bertugas shift lewat malam, Sudah menjadi lumrah pada zaman dahulu yang masih lagi mempercayai bahawa kegiatan “korban semah” bagi pembinaan sesuatu bangunan dan jambatan maka ianya mesti menggunakan nyawa manusia sebagai korban sedangkan kita sendiri mengakui bahawa budaya “korban semah” ini telah diharamkan di Sarawak semenjak pemerintahan Rajah Pertama Sarawak iaitu Rajah James Brooke pada sekitar tahun 1940an lagi namun kepercayaan masyarakat tetap juga menular pada masa itu.
Untuk “korban semah” ini hanya kepala manusia sahaja yang akan digunakan iaitu ianya diletakkan di tiang seri atau tiang utama struktur yang hendak didirikan kerana dikatakan ianya akan menjadi kukuh. Pada ketika kejadian ini berlaku iaitu penculikan dan kehilangan Janet itu terdapat satu struktur besar sedang dibuat iaitu pembinaan Jambatan Satok Kuching dan kerana itulah pengkaitannya dengan kepercayaan masyarakat menjadikan ianya seperti betul-betul terjadi.
Disebabkan kepala Janet ini menjadi korban bagi pembinaan Jambatan Satok ini maka kerana itulah dikatakan “Janet” sering menjelmakan dirinya dengan merayau-rayau keseorangan di tengah malam di antara Kampung Kudei serta Kampung Bintangor iaitu kampung-kampung yang terletak di kawasan Satok. Seringkali diceritakan bahawa ada ramai yang melihat hantu “Janet” akan berjalan keseorangan dengan berbaju merah dan berkasut merah.
Jika ada lelaki yang tertawan dengan rupa parasnya yang dikatakan cantik dan gebu maka lelaki itu akan diajak oleh hantu “Janet” untuk menemaninya menonton wayang larut malam atau “midnight show” di Panggung Cathay yang terletak berdekatan dengan Masjid Bahagian Kuching. Seringkali dikatakan bahawa setiap kali juruwang Panggung Cathay akan menemui daun mahupun duit orang mati Cina di dalam lipatan duit perolehan panggung wayang pada keesokan harinya.
Hantu Janet Versi Dua (2) :
Diceritakan bahawa Janet adalah seorang gadis berketurunan Tionghua dan beliau merupakan mangsa culik dan rogol beramai-ramai sekitar lewat 60an. Oleh kerana beliau tidak dapat menerima akan nasibnya maka beliau dikatakan telah menggantung dirinya di rumahnya dengan berpakaian lengkap baju merah dan berkasut merah kerana Janet dikatakan di dalam darah manis untuk berkahwin dengan jejaka idamannya sewaktu diculik dan dirogol beramai-ramai itu.
Al-kisahnya kejadian hitam di dalam hidup Janet bermula apabila beliau dikatakan telah menghantar tunangannya ke Lapangan Terbang Kuching seorang diri dan penerbangan tunangannya adalah penerbangan lewat malam. Sewaktu beliau di dalam perjalanan pulang inilah dikatakan beliau ditahan oleh penyangak-penyangak manusia bertopeng syaitan yang telah melakukan perkara tidak bermoral kepada seorang wanita yang lemah iaitu Janet.
Janet selepas dirogol telah ditinggalkan keseorangan di tepi jalanraya dan beliau mampu untuk pulang ke rumah beliau dan pada malam itu juga akibat tidak dapat menerima hakikat dirinya telah dirogol, beliau telah bertindak dengan menggantungkan dirinya di dalam biliknya di rumah. Keesokan harinya barulah ibubapa beliau menemui mayatnya dengan sekeping nota mengatakan apa yang berlaku ke atas dirinya. Kejadian yang menyedihkan ini tidak dapat diterima oleh kedua ibubapa Janet malah mereka telah bersumpah di hadapan keranda Janet sebelum dikebumikan agar hantu Janet menjelma dan membalas dendam keatas penyangak-penyangak yang telah melakukan kerja terkutuk kepada beliau.
Janet dikatakan telah disemadikan di kawasan jirat Cina yang terletak di kawasan Batu 5 sekarang. Dan kerana itulah hampir setiap malam, akan terlihat kelibat Hantu Janet muncul di kawasan Batu 5 malah sehingga ke Kampung Haji Baki. Kemunculannya ini sememangnya menyeramkan dan menakutkan masyarakat di sekitar kawasan tersebut. Mungkin roh Hantu Janet masih lagi mencari mereka yang jahat itu. Allahualam.
Inilah cerita mistik hantu yang pernah menjadi igauan ngeri bagi masyarakat Sarawak suatu waktu dahulu iaitu hantu pocong, hantu penanggal dan hantu Janet. Mungkin ada generasi muda Sarawak tidak pernah mendengar cerita hantu ini dan kalau ingin mengetahui lebih lanjut cuba bertanya dengan orang tua-tua di rumah apakah betul cerita ini kerana ianya hanya cerita lisan tanpa dokumen sejarah yang mampu membenarkan.
#KamekSayangSarawakBah!