top of page

DATUK AMAR DUNSTAN ENDAWIE ANAK ENCHANA


DATUK AMAR DUNSTAN ENDAWIE ANAK ENCHANA


Mungkin ramai generasi baru Bangsa Sarawak tidak mengenal mendiang memandangkan mendiang merupakan orang lama di dalam politik Sarawak Bumi Kenyalang jadi adalah wajar untuk kita mengingati jasa-jasa beliau seperti kata pepatah harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan namanya.


Datuk Amar Dunstan bukanlah calang-calang orangnya kerana mendiang merupakan anak Sarawak yang terpilih untuk menganggotai Menteri Kabinet Negara Sarawak yang pertama iaitu Kabinet Negara Sarawak selepas Sarawak mencapai kemerdekaan daripada menjadi jajahan koloni British iaitu pada tanggal 22hb Julai 1963.


Menjadi seorang menteri kabinet pada sebuah negara yang baru bernama Sarawak bukanlah satu tugas yang mudah kerana ianya memerlukan seseorang yang berdedikasi tinggi untuk menyandangnya. Dibawah Ketua Menteri Sarawak yang pertama iaitu Tan Sri Datuk Stephen Kalong Ningkan, Datuk Amar Dunstan telah menjadi Menteri Kerajaan Tempatan yang pertama. Satu portfolio yang mempunyai tugas yang berat sebenarnya di dalam memastikan pembangunan yang lebih mampan dapat diteruskan .


Bangsa Sarawak berketurunan iban ini juga melayari bahtera dunia politik dengan penuh ranjau nan berduri seperti ahli politik yang lain. Datuk Amar Dunstan pernah menyandang tugas sebagai Presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan merupakan mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak dari tahun 1977 sehingga 1979.


Pada Pilihanraya Negeri Sarawak 1970, Datuk Amar Dunstan telah memenangi DUN Krian yang menyaksikan pertembungan 3 penjuru antara SNAP, PESAKA dan SUPP. Mendiang Datuk Amar Dunstan yang bertanding dibawah tiket SNAP memenangi PRN 1970 DUN Krian dengan majoriti yang agak banyak. Sekali lagi pada PRN 1974, kerana kecemerlangan mendiang Datuk Amar Dunstan menjaga DUN Krian sekali lagi beliau memenangi DUN Krian dengan majoriti mudah.


Selain kecemerlangannya di dalam dunia politik, Datuk Amar Dunstan merupakan seorang yang disegani di dalam peringkat antarabangsa. Datuk Amar Dunstan telah mencatit sejarah sebagai anak Iban yang pertama dipilih sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Negara New Zealand dan juga Australia. Satu tugas yang memberikan akreditasi kepada kejayaan anak iban bangsa Sarawak ini di luar negara. Ketokohan dan kebijaksanaan Datuk Amar Dunstan bukan sahaja untuk Sarawak tanahairnya, malah untuk mendapat akreditasi daripada kepimpinan pusat Gagasan Malaysia suatu waktu dahulu.


Umum mengetahui pada setiap 1hb Jun saban tahun, bangsa Sarawak akan menyambut salah satu perayaan terbesar Sarawak Bumi Kenyalang iaitu Perayaan Gawai Dayak yang disambut dengan penuh meriah bagi setiap lapisan bangsa dan agama di bumi Sarawak. 1hb Jun hanya mendapat pengiktirafan cuti umum sekitar tahun 1965 setelah ramai NGO bersatu tenaga memohon ianya dijadikan cuti umum daripada Kerajaan Sarawak.


Antara individu-individu yang mengembleng tenaga di dalam memastikan kemeriahan perayaan ini menjadi cuti rasmi bagi Sarawak Bumi Kenyalang adalah Datuk Amar Dunstan ini sendiri bersama-sama dengan menteri kabinet Sarawak yang pertama dibawah pimpinan Ketua Menteri Sarawak yang pertama. Setelah sokongan kuat daripada akar umbi dan memenuhi kehendak rakyat maka pada 25hb September 1964 ianya dibentang di mesyuarat DUN Sarawak oleh KM Sarawak sendiri dengan didokongi kuat oleh Datuk Amar Dunstan.


Maka pada 1hb Jun 1965, perayaan Gawai Dayak telah disambut dengan penuh meriah di seluruh ceruk rantau Sarawak Bumi Kenyalang kerana pada tarikh itulah kali pertama Bangsa Sarawak dapat menyambutnya tanpa perlu memikirkan beban tugas kerana ianya merupakan cuti rasmi bagi Sarawak sehinggalah sekarang.


Kewibawaan dan ketokohan mendiang Datuk Amar Dunstan seharusnya menjadi satu contoh kepada setiap anak bangsa Sarawak di dalam memperjuangkan apa yang Sarawak Bumi Kenyalang ada sekarang. Pada perayaan sambutan 50 tahun Sarawak Merdeka 2013, Datuk Amar Dustan telah diberikan penghormatan tertinggi oleh Kerajaan Sarawak Bumi Kenyalang apabila beliau menerima Anugerah Pengasas Perjuangan Kemerdekaan atas sumbangannya yang tidak ternilai di dalam memastikan kemerdekaan Sarawak daripada Koloni British dan seterusnya di dalam Sarawak menjadi salah satu negara pembentuk Gagasan Malaysia.


Pada 11hb April 2014, Sarawak Bumi Kenyalang sekali lagi berduka apabila seorang lagi aset negara di dalam sejarah pembentukan Gagasan Malaysia dan juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Dunstan Endawie Enchana telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Saratok, Sri Aman, Sarawak ketika berusia 78 tahun.


Jenazah mendiang selamat dikebumikan pada Saratok Memorial Hill, Bukit Perabun, Saratok, Sri Aman pada 17hb April 2014. Segala perjuangan mendiang di dalam memastikan martabat anak bangsa Sarawak sentiasa akan dikenang sepanjang zaman.


Semoga Tuhan mencucuri rahmat keatas roh Mendiang Datuk Amar Dunstan Endawie Enchana. RIP.


bottom of page