top of page

ETNIK KEJAMAN, SARAWAK, BORNEO


ETNIK KEJAMAN, SARAWAK, BORNEO


Etnik Kejaman adalah salah satu daripada etnik minoriti yang ada di Sarawak Bumi Kenyalang. Etnik ini selain daripada dikenali sebagai etnik Kejaman ianya juga dikenali dengan panggilan Kayaman. Etnik minoriti ini adalah salah satu sub-etnik yang membentuk Kaum Orang Ulu dibawah himpunan sub-etnik Kajang. Populasi etnik ini ramai terdapat di satu kawasan utara Sarawak yang dikenali sebagai Daerah Belaga.


Etnik Kejaman ini adalah salah satu etnik yang masih berpegang teguh kepada warisan budaya mereka yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain dari dulu sehinggalah sekarang. Selain daripada warisan budaya yang dipertahankan, etnik Kejaman sehingga ke hari ini masih lagi mengamalkan corak kepimpinan berdasarkan strata sosial yang diwarisi daripada dulu lagi di dalam pemilihan pemimpin di dalam masyarakat yang dikenali sebagai Laja Levou. Inilah antara keistimewaan etnik Kejaman, Sarawak yang menjadikan ianya antara etnik yang unik di Sarawak.


Menurut sejarah penghijrahan etnik Kejaman, sekitar abad ke 17 dikatakan bahawa etnik Kejaman sebenarnya menetap di sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Linau iaitu salah satu cabang sungai bagi Sungai Kajang. Bukan sahaja etnik Kejaman yang mendiami kawasan tersebut malahan ada beberapa etnik lain seperti etnik Sekapan, Lahanan dan Punan serta Penan Busang juga adalah antara etnik yang mendiami kawasan Sungai Kajang pada waktu itu. Dek kerana itulah dikatakan etnik Kejaman juga mempunyai banyak persamaan daripada bahasa pertuturan dan adat istiadat dengan etnik-etnik lain yang mendiami Sungai Kajang suatu waktu dahulu.


Setelah lama menetap di Sungai Kajang akhirnya etnik Kejaman telah berhijrah ke lembah Batang Balui dan muara Sungai Belaga bagi mencari tanah pamah yang subur untuk tujuan pertanian dan ingin hidup aman jauh daripada perang kaum yang pernah terjadi di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Penghijrahan inilah yang membawa kepada kewujudan etnik Kejaman di Daerah Belaga sehingga ke hari ini.


Selepas bertahun-tahun hidup di sekitar kawasan lembah Batang Balui, etnik Kejaman telah menetap di beberapa buah rumah panjang iaitu Rumah Kejaman Datah Liten, Rumah Kejaman Tuju Sadza, Rumah Kejaman Tuju Meta'ap, Rumah Kejaman Datah Muma, Rumah Kejaman Datah Tiveng, Rumah Kejaman Tuju Jagu'ah, Rumah Kejaman Tuju Ha', Rumah Kejaman Belu'it dan Rumah Kejaman Datah Nian. Tiap-tiap sebuah rumah panjang itu telah dipimpin oleh seorang ketua yang dikenali sebagai laja levou. Biasanya seseorang yang dipilih sebagai laja levou adalah mesti seorang daripada keturunan laja levou dan dia memimpin anak-anak buahnya yang dipanggil panyen.


Ketika Rajah Brooke meluaskan empayar jajahan Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu, dikatakan bahawa etnik Kejaman merupakan antara mereka yang telah memberikan sokongan kepada penentang Kerajaan Brooke pada waktu itu yang menyebabkan adanya peperangan yang berlaku diantara mereka yang dipanggil Ekspedisi Batang Balui 1836. Di dalam perang ini dikatakan pahlawan-pahlawan etnik Kejaman merupakan antara pahlawan barisan hadapan menentang tentera kerajaan Sarawak Kingdom pada waktu itu.


Sebenarnya etnik Kejaman turut serta di dalam peperangan ini adalah kerana etnik Kejaman di Batang Balui memberikan sokongan kepada Lake Havit iaitu salah satu pemimpin dan panglima yang cukup terkenal di kalangan masyarakat Kayan yang mendiami Sungai Batang Balui pada waktu itu. Lake Havit menjadi musuh kepada Kerajaan Brooke kerana beliau telah memberikan perlindungan kepada Sawing dan Sakalai dari etnik Kanowit yang dikatakan telah membunuh Mr. Fox dan Mr Steel iaitu wakil Kerajaan Sarawak Kingdom di daerah Belaga pada waktu itu.


Di dalam Ekspedisi Balui 1836 ini dikatakan tentera Brooke yang dianggotai berbelas-belas ribu tentera dari pelbagai etnik yang menyokongnya telah bertempur dengan pahlawan-pahlawan etnik Kejaman seramai 888 orang yang juga merupakan pahlawan barisan hadapan bagi kumpulan Lake Havit. Ketika sampai di satu tempat yang dinamakan Tuju Batou, tentera Brooke telah menaikkan bendera putih sebagai tanda pendamaian namun angkatan tentera pahlawan etnik Kejaman telah membalasnya dengan mengangkat bendera merah sebagai tanda pantang berundur.


Maka terjadilah pertempuran antara mereka yang dikatakan berlangsung selama 8 hari lapan malam. Akhirnya setelah melalui pertempuran yang panjang, etnik Kejaman telah mengaku kalah walaupun kedua-dua pihak ramai yang telah gugur di medan peperangan namun di pihak etnik Kejaman telah menerima kemusnahan yang teruk.


Aman Tipung Tului atau Tului Kebing merupakan satu nama legenda di dalam masyarakat etnik Kejaman kerana beliau merupakan laja levou bagi etnik Kejaman di Batang Balui. Beliau digambarkan sebagai seorang pemimpin yang dedikasi serta mampu menguruskan setiap anak-anak buahnya (panyen) yang berada di sekitar Batang Balui. Dan mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kelirieng (keranda) yang masih utuh di Muzium Sarawak sekarang merupakan salah satu kelireng kepada anakanda Aman Tipung Tului yang bernama Tubun Tului.


Kelirieng ini telah dipindahkan ke Muzium Sarawak pada tahun 1971 daripada kawasan asalnya iaitu di muara Sungai Segaham. Segala kesenian etnik Kejaman dapat dilihat kepada ukiran-ukiran kayu pada kelirieng tersebut yang mempunyai 1001 makna bagi menandakan bahawa Tubun Tului merupakan keluarga kepada Laja Levou yang mempunyai hak dan keistimewaan di dalam hirarki penghidupan etnik Kejaman itu sendiri.


Umum mengetahui mengikut sejarah pemerintahan Rajah Brooke di Sarawak, beliau telah banyak membina kubu-kubu pertahanan di seluruh Sarawak bagi tujuan pertahanan dan pentadbiran sesuatu jajahannya maka salah satu daripadanya dikenali sebagai Fort Vyner. Fort Vyner ini telah didirikan di kawasan muara Sungai Belaga sekitar tahun 1850an. Sebenarnya Fort Vyner ini mempunyai kaitan secara langsung dengan etnik Kejaman di Belaga kerana dengan kudrat merekalah kubu ini dibina melalui pemimpin mereka iaitu Aman Tipung Tului yang telah diangkat menjadi pemimpin masyarakat di Belaga pada waktu itu.


Fort Vyner ini dibina selama lebih 2 tahun dengan menggunakan kudrat anak-anak jati etnik Kejaman dan juga etnik lain di Belaga. Sekitar tahun 1965, Fort Vyner telah dirobohkan kerana terlalu uzur dan sekarang tapaknya menjadi sebuah tapak bangunan Kerajaan Sarawak yang sama-sama membentuk Gagasan Malaysia pada tahun 1963.


Tidak akan lengkap persejarahan etnik Kejaman jika tidak menceritakan satu pengembaraan Aman Tipung Tului seorang Laja Levou masyarakat etnik Kejaman iaitu pengembaraan yang membawa maksud hubungan memperkasakan hubungan diplomatik antara Etnik Kejaman dengan dunia luar iaitu Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam dibawah pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin. Pada tahun 1860an Aman Tipung Tului dan pengikut-pengikutnya telah dijemput oleh Sultan Brunei, iaitu Sultan Omar Ali Saifudin pada masa itu untuk bertandang ke Negara Brunei Darussalam.


Menurut ceritanya, sebelum bertolak ke Brunei, Aman Tipung Tului mengarah anak buahnya untuk membina sebuah perahu yang besar yang dapat membawa lapan puluh hingga seratus orang. Sebelum bertolak ke Brunei, Aman Tipung Tului telah mengarah semua anak buahnya menyediakan semua jenis makanan dan minuman untuk mengadakan majlis ucap selamat jalan. Pada majlis tersebut semua penduduk dari kawasan Batang Balui datang untuk mengucapkan selamat jalan kepada Aman Tipung Tului dan rombongannya.


Pada hari berangkat ke Brunei dia telah memilih 80 orang pahlawannya yang gagah, berani dan bijak. Perjalanan ke Brunei adalah yang amat sukar, Aman Tipung Tului telah membawa perahunya melalui Jeram Pelagus terus ke Kapit, Kanowit, Sibu, Kuala Rejang dan ke Lautan Cina Selatan. Di sepanjang perjalanan melalui Batang Rajang, Aman Tipung Tului dan rombongannya telah berhenti di Kanowit untuk bertemu dengan kaum Kanowit dan berhenti di Kuala Rejang untuk bertemu dengan kaum Rajang.


Mengikut cerita kaum Kejaman mempunyai tali persaudaraan yang rapat dengan kaum Kanowit dan kaum Rajang. Dari Kuala Rejang, mereka terus perjalanan ke Kuala Mukah dan berhenti di sini untuk menemui kaum Melanau. D idapati kaum Kejaman dan kaum Melanau ada banyak persamaan dalam bahasa ibunda adat-istiadat dan kebudayaan. Kaum Kejaman telah mempunyai tali persaudaraan yang rapat dengan kaum Melanau di Mukah, Daro, Dalat dan Balingian.


Dari Mukah mereka bertolak ke Kuala Kemena, Kuala Tatau dan terus ke Kuala Suai dan berhenti beberapa hari di sini untuk bertemu dengan kaum Penan. Selepas itu mereka bertolak ke Kuala Niah, Subis, Miri dan terus ke Kuala Baram. Dari Kuala Baram mereka bertolak ke Kuala Belait dan terus ke Brunei. Perjalanan dari Kuala Rejang melalui Laut Cina Selatan ke Brunei telah mengambil masa empat puluh lima hari.


Sultan Brunei telah menyambut kedatangan Aman Tipung Tului dan rombongan dengan penuh adat-istiadat dan dalam pertemuan Aman Tipung Tului dengan Sultan Brunei mereka telah banyak berbincang mengenai wilayah pemerintahan. Sultan Brunei telah memohon Aman Tipung Tului jangan mengganggu wilayahnya di Mukah, Tatau, Miri dan Baram. Untuk mengukuhkan persaudaraan diantara kedua-dua pihak mereka telah bertukar-tukar tanda mata. Aman Tipung Tului telah memberi Sultan Brunei beberapa buah gong dan peralatan perang dan sultan Brunei pula memberi Aman Tipung Tului satu set pakaian perang, pedang dan meriam.


Aman Tipung Tului dan rombongannya tinggal di Brunei selama empat belas hari. Sebelum pulang, Aman Tipung Tului dan rombongan telah diraikan dengan satu majlis yang penuh dengan adat-istiadat. Mereka telah berangkat dari pangkalan Diraja yang penuh dengan ribuan rakyat Brunei yang menunggu untuk mengucapkan selamat jalan kepada Aman Tipung Tului dan rombongan. Dalam perjalanan pulang Aman Tipung Tului menggunakan jalan darat, dari Kuala Belait mereka terus ke Kuala Baram.


Beberapa hari kemudian mereka terus meneruskan perjalanan ke hulu Batang Baram ke Marudi dengan menggunakan perahu. Selepas beberapa hari tinggal di Marudi mereka terus ke hulu Tinjar. Di sinilah Aman Tipung Tului mengunjungi rumah-rumah panjang kaum Berawan, Sebob dan Kenyah. Semua penduduk rumah panjang di kawasan ini menyambut kedatangan mereka dengan mesra dan penuh adat-istiadat. Apabila genap empat belas hari tinggal di hulu Tinjar, Aman Tipung Tului dan rombongannya meninggalkan perahu mereka di Rumah Panjang Berawan dan terus berjalan dari hulu Tinjar ke Sungai Koyan iaitu sebuah sungai simpang Sungai Belaga.


Inilah sekelumit ruang informasi tentang asal usul etnik Kejaman dan perang yang melibatkan mereka serta pemimpin tersohor etnik Kejaman iaitu Aman Tipung Tului yang telah membuat pengembaraan diplomatik sehingga ke Negara Brunei Darussalam suatu ketika dahulu buat perkongsian bangsa Sarawak sekalian.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.



bottom of page