top of page

FORT HOSE, MARUDI, SARAWAK


FORT HOSE, MARUDI, SARAWAK


Fort Hose atau Kubu Hose merupakan salah satu kubu yang dibina oleh Brooke bagi menguruskan pentadbirannya di bumi Marudi suatu waktu dahulu. Ianya siap dibina pada tahun 1901 dengan menggunakan kayu belian sebagai struktur utamanya. Dan Fort Hose juga didirikan dengan menggunakan tukang-tukang dari anak-anak tempatan Marudi pada waktu itu.


Suatu waktu dahulu, Marudi bukanlah satu daerah yang aman kerana perang Kayau sering terjadi antara etnik-etnik ini sehingga membuatkan Residennya pada waktu itu iaitu Dr. Charles Hose yang menjadi residen pada sekitar tahun 1880an telah mengusulkan satu perjanjian pendamaian agar kesemua pihak yang bertelagah di Marudi boleh duduk dengan aman. Dan kerana itulah adanya Perjanjian Marudi 1889 yang menjadi pemangkin kepada keamanan di Marudi dan kawasan sekitarnya pada waktu itu.


Oleh kerana Brooke tahu betapa pentingnya untuk didirikan satu kubu bagi mengawal dan memantau aktiviti-aktiviti penduduk di Marudi dan kawasan Sungai Baram pada waktu itu, maka beliau mengarahkan residen yang bertugas iaitu Dr Charles Hose membina sebuah kubu untuk beliau dan pentadbir Kerajaan Sarawak Kingdom memusatkan pentadbirannya dan kubu tersebut siap sepenuhnya pada tahun 1901.


Dinamakan Fort Hose kerana mengambil bersempena nama Dr. Charles Hose iaitu seorang residen yang telah banyak berjasa dengan Brooke di Marudi. Dan Dr Charles Hose bukan sahaja seorang residen yang berjaya malah beliau juga pakar antropologi, pengkaji sejarah dan juga begitu meminati dunia fotografi. Banyak tulisan-tulisan beliau malah foto-foto vintage yang menjadi rujukan sekarang adalah hasil daripada usaha beliau.


Setelah melalui pembaikpulihan seperti yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak, Fort Hose sekarang masih lagi diguna. Oleh kerana ianya terletak di Marudi dan Baram yang sememangnya adalah majoriti penduduknya dari Kaum Orang Ulu Sarawak maka Majlis Daerah Baram telah menjadikannya sebagai Muzium Orang Ulu Sarawak yang memaparkan setiap koleksi sejarah dan asal-keturunan serta segala hasil kraftangan Kaum Orang Ulu di Sarawak.


Semoga Fort Hose, Marudi akan terus dipulihara dan kekal menjadi saksi bisu di dalam rentetan sejarah Marudi dulu, kini dan selamanya.



© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page