top of page
Search

FROM LAWAS WITH LOVE

  • Haslina Bujang
  • Aug 7, 2015
  • 3 min read

FROM LAWAS WITH LOVE


Lawas merupakan sebuah daerah di utara Sarawak yang terletak di dalam Bahagian Limbang, Sarawak Bumi Kenyalang. Daerah Lawas adalah daerah yang istimewa sekali kerana ianya bersempadan secara langsung dengan jiran seborneo iaitu Sabah Negeri Di Bawah Bayu dan amat dekat dengan Pulau Labuan dan seterusnya dengan Brunei Darussalam. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa daerah Lawas merupakan satu-satunya daerah di Sarawak yang mempunyai penanaman secara pukal untuk penanaman buah epal dan oren yang diusahakan oleh peladang-peladang tempatan di Ba’Kelalan. Mungkin kerana iklim daerah tersebut yang agak sesuai maka memungkinkan penanaman ini boleh dilakukan.

Menurut cerita orang-orang tua tempatan, nama Lawas sebenarnya diambil daripada perkataan melayu Sarawak iaitu Lawas yang bermaksud luas. Perkataan ini sebenarnya berkaitan secara langsung dengan satu cerita legenda yang terjadi beratus-ratus tahun dahulu iaitu ketika Lawas masih lagi bukannya sebuah daerah yang dihuni manusia kerana pada ketika itu Lawas hanyalah antara salah satu hutan tebal yang melitupi bumi Sarawak pada waktu itu.


Diceritakan bahawa suatu waktu dahulu ketika aktiviti lanun masih berleluasa terdapatlah sebuah kapal saudagar tempatan yang datang singgah semalam di Kuala Lawas sebelum meneruskan perjalanan ke Negara Brunei Darussalam. Dikatakan saudagar-saudagar ini telah diserang dan dirompak oleh lanun-lanun sehingga menyebabkan mereka lari menyelamatkan diri ke daratan dengan berenang dan juga berperahu. Di kala itu mereka hanya mampu menyelamatkan diri dengan sehelai sepinggang tanpa makanan dan segalanya. Saudagar-saudagar ini berserta dengan anak kapal mereka hanya mampu bersembunyi di dalam hutan di daratan dan memerhati dari jauh bagaimana kapal mereka yang sedang sarat dengan muatan dagangan dirompak habis-habisan oleh lanun tersebut.


Hendak dijadikan cerita hanya dengan persembunyian di dalam hutan itu sahaja yang menyelamatkan nyawa saudagar-saudagar ini dan akhirnya kerana tiada lagi yang mampu dibuat, mereka bertekad untuk membuka sebuah perkampungan di daratan tersebut kerana mereka berasa lebih selamat lebih-lebih lagi lanun-lanun tersebut telahpun pergi meninggalkan mereka tanpa ada pertumpahan darah. Sejak itu bermulalah pembukaan hutan menjadi satu kawasan yang luas dan bertitik tolak daripada itu maka kawasan yang diterokai itu dinamakan mereka dengan nama LAWAS yang bermaksud satu kawasan yang luas dan juga LAWAS juga bermaksud telah terhindar daripada merbahaya dan selamat. Nama Lawas terus kekal digunakan sehinggalah ke hari ini.


Umum mengetahui bahawa wilayah-wilayah di Sarawak suatu waktu dahulu adalah tanah kuripan kepada pembesar-pembesar Kesultanan Brunei Darussalam dan ianya tidak terkecuali dengan Lawas. Dahulunya sewaktu era Kesultanan Brunei, Lawas sebenarnya disewakan kepada British North Borneo Company dan sehinggalah pada tanggal 5hb Januari 1905 setelah ada persefahaman diantara British North Borneo Company, Kerajaan Sarawak Kingdom dan Negara Brunei akhirnya ianya telah diserahkan untuk menjadi salah satu tanah jajahan melalui Sungai Lawas kepada Kerajaan Sarawak Kingdom pada waktu itu. Maka disinilah bermulanya Lawas menjadi sebahagian daripada tanah jajahan dan pentadbiran Kerajaan Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan Rajah Brooke dan akhirnya setelah pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Lawas menjadi salah satu daerah rasmi Sarawak Bumi Kenyalang dan menjadi sebahagian daerah yang membentuk Bahagian Limbang sekarang.


Tidak akan sah pencerakahan tentang Lawas sekiranya tidak menceritakan satu pesta tempatan yang dinamakan Pesta Irau Aco Lun Bawang yang diadakan setiap awal bulan Jun saban tahun. Satu pesta yang termasuk di dalam Kalendar Pelancongan Sarawak Bumi Kenyalang. Pesta ini adalah menandakan berakhirnya pesta menuai dan disambut dengan gilang gemilang oleh masyarakat Lun Bawang yang merupakan antara etnik pribumi dominan di Daerah Lawas disamping etnik-etnik yang lain seperti Melayu Sarawak, Iban, Kelabit dan banyak lagi.


Walaupun hidup berbilang kaum dan agama di daerah yang nun jauh di utara Sarawak namun keharmonian dan toleransi kaum serta hormat menghormati adat dan budaya etnik sentiasa menjadi pegangan utuh masyarakat di Daerah Lawas sehingga memungkinkannya sebagai sebuah daerah yang aman damai di Sarawak.


Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah

 
 
 

© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page