top of page

GABENOR KOLONI MAHKOTA BRITISH SARAWAK (1946 – 1963)


GABENOR KOLONI MAHKOTA BRITISH SARAWAK (1946 – 1963)


Pada tahun 1946, Sarawak Kingdom secara rasminya telah diserahkan kepada Kerajaan Mahkota British dan pemerintahan Koloni Mahkota British Sarawak berlangsung dari tahun 1946 sehingga 1963. Ketika Sarawak dibawah pemerintahan keluarga Brooke ianya telah mengamalkan sistem monarki di dalam pemerintahan dengan Rajah James Brooke dan 2 lagi legasinya iaitu Rajah Charles Brooke dan Rajah Charles Vyner Brooke merupakan ketua kerajaan Sarawak Kingdom pada masa itu.


Apabila Sarawak menjadi sebahagian daripada jajahan Koloni British Borneo maka ketua pemerintahan telah diterajui oleh seorang Gabenor atau apa yang dipanggil Tuan Yang Terutama Gabenor Koloni Mahkota British Sarawak. Jawatan utama ini merupakan antara jawatan di dalam kerajaan yang baru dan jawatan utama ini hanya boleh dilantik oleh King George VI dan kemudiannya disahkan oleh Queen Elizabeth II.


Apabila Sarawak merdeka pada 22hb Julai 1963 dan menjadi negara pembentuk kepada satu gagasan yang dianggotai oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sabah (North Borneo), Sarawak dan Singapura dan gagasan itu dipanggil Gagasan Malaysia, jawatan utama ini telah ditukar nama kepada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sarawak dan ianya dilantik oleh Yang Dipertuan Agong Gagasan Malaysia.


Ketika Sarawak dibawah pemerintahan Koloni British Borneo dari tahun 1946 sehingga 1963, terdapat 4 individu bangsa Eropah yang telah diangkat menjadi Tuan Yang Terutama Gabenor Koloni Mahkota British Sarawak suatu waktu dahulu. Mereka adalah:


1. Sir Charles Noble Arden-Clarke (1946 – 1949) 2. Sir Duncan Steward (Nov 1949 – Dec. 1949) 3. Sir Anthony Foster Abel (1950 – 1959) 4. Sir Alexander Waddel (1959 – 1963)



Sir Charles Noble Arden-Clarke (1946 – 1949)


Sir Charles Noble Arden-Clarke merupakan Tuan Yang Terutama Gabenor Kaloni Mahkota British Sarawak yang pertama yang dilantik setelah Sarawak dengan rasminya menjadi tanah jajahan Koloni Mahkota British. Mula bertugas pada tanggal 26hb Oktober 1946. Sebelum dilantik menjadi Gabenor Sarawak, beliau merupakan Pesuruhjaya Residen di Botswana antara tahun 1937 hingga 1942.


Ketika baru memulakan tugasnya sebagai Gabenor Sarawak, beliau adalah antara bangsa Eropah yang terpaksa berdepan dengan Gerakan Anti Cessionist di Sarawak yang mana ramai masyarakat Sarawak telah bangun membantah penyerahan Sarawak Kingdom sebagai salah satu jajahan Koloni Mahkota British.


Sir Charles Noble Arden-Clarke bimbang dengan kebangkitan masyarakat Sarawak pada waktu itu lebih-lebih lagi daripada penjawat-penjawat awam di Sarawak pada masa itu. Golongan pendidik telah bersatu bangun membantah sehingga adalah Circular 9 yang dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak pada masa itu. Maka ramailah golongan pendidik yang telah meletak jawatan pada ketika itu sehingga banyak sekolah-sekolah kerajaan tidak dapat diteruskan.


Pada tanggal 26hb Julai 1949, Sir Charles Noble Arden-Clarke menamatkan perkhidmatannya sebagai Gabenor Koloni Mahkota British Sarawak dan kemudian beliau ditugaskan untuk menjadi Gabenor bagi Ghana dari Ogos 1949 sehingga 1957.



Sir Duncan George Stewart (November – Disember 1949)


Sir Duncan George Steward dilahirkan di Transvaal, Africa Selatan pada tahun 1904. Mendapat pendidikan di Winchester College iaitu sebuah kolej persendirian di Hampshire, England. Setelah menamatkan persekolahannya di Winchester, dia telah melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di Oriel College University Oxford.


Sekitar tahun 1928, Sir Duncan telah menyertai perkhidmatan awam Koloni Mahkota British dan jawatan pertama beliau adalah sebagai Pegawai Daerah bagi Wilayah Oya, Nigeria. Pada tahun 1931, beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Setiausaha Koloni Mahkota British di Bahamas dan kemudiannya telah mendapat kepercayaan menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kewangan bagi Palestine. Sir Duncan merupakan antara penjawat awam Koloni Mahkota British yang gah di dalam tugasnya di semua tempat dia ditugaskan dan akhirnya telah membawa beliau untuk dilantik sebagai Gabenor ke-2 bagi Koloni Mahkota British Sarawak.


Memulakan tugasnya di Sarawak pada 14hb November 1949 bagi menggantikan Sir Charles Noble Arden-Clarke yang ditugaskan ke Ghana. Sir Duncan merupakan satu-satu gabenor Sarawak yang amat pendek tempoh perkhidmatannya kerana pada lawatannya yang pertama kali ke Sibu sebagai Gabenor iaitu pada tanggal 3hb Disember 1949, beliau telah terlibat di dalam satu percaturan yang dibuat oleh Rosli Dhoby dan Rukun 13. Di dalam tragedi itu beliau telah cedera parah dan akhirnya diterbangkan ke Singapura untuk rawatan. Namun begitu, seminggu iaitu pada 10hb Disember 1949, beliau telah menemui ajalnya akibat cedera parah yang tidak boleh diselamatkan.


Pembunuhan Sir Duncan George Stewart ini telah meninggalkan kesan yang mendalam di dalam kalendar sejarah Sarawak kerana rentetan daripada itu maka Rosli Dhoby dan beberapa rakannya telah dihukum gantung sampai mati oleh Kerajaan Koloni British Sarawak. Sehingga sekarang sejarah ini tidak akan dapat dilupakan oleh setiap anak bangsa Sarawak.



Sir Anthony Foster Abell (1950 – 1959)


Setelah tragedi yang menimpa ke atas Gabenor ke-2 Sarawak iaitu Sir Duncan George Steward yang terbunuh pada 10hb Disember 1949, kerajaan Koloni Mahkota British begitu berhati-hati di dalam pemilihan calon Gabenor Koloni Mahkota British Sarawak pada waktu itu. Tiada yang layak selain daripada Sir Anthony Foster Abell yang terkenal dengan sifat “mesra rakyat”. Pada tanggal 4hb April 1950, Sir Anthony telah dilantik menjadi Gabenor yang ke-3 bagi Sarawak.


Sir Anthony merupakan satu-satunya Gabenor Sarawak sepanjang pemerintahan Koloni Mahkota British Sarawak yang berkhidmat sebagai Gabenor selama 3 penggal berturut-turut. Beliaulah antara Gabenor Sarawak yang paling banyak membuat lawatan ke kawasan pendalaman Sarawak suatu waktu dahulu bagi mengenal budaya dan adat resam masyarakat Sarawak yang berbilang kaum.


Mengikut sejarahnya juga, Sir Anthony Foster Abell inilah yang telah banyak memainkan peranan di dalam menjadikan lawatan Duke dan Duchess of Kent mengunjungi bumi Sarawak pada tahun 1952. Bagi beliau kedatangan keluarga diraja daripada Mahkota British adalah perlu bagi menunjukkan bahawa keluarga diraja Mahkota British benar-benar menyayangi rakyat Sarawak seperti rakyat mereka sendiri di England. Ternyata idea Sir Anthony ini mendapat sokongan daripada rakyat Sarawak pada masa itu bila lawatan Duke dan Duchess of Kent mendapat sambutan yang diluar dugaan.


Bagi menunjukkan keseriusan Sir Anthony Foster Abell menjadikan Sarawak sebagai sebuah negara jajahan British yang berdaulat, Sir Anthony jugalah yang memainkan peranan di dalam agar Sarawak juga turut serta sebagai negara jemputan di dalam penyertaan di British Empire & Commonwealth Games pada tahun 1958 dan 1962. Pada ketika itu, kontinjen Sarawak membawa bendera Sarawak dibawah pemerintahan Koloni Mahkota British Sarawak.


Pada 15hb November 1959, Sir Anthony Foster Abell telah menamatkan perkhidmatannya di Sarawak namun begitu pada tahun 1962, sekali lagi beliau telah berkhidmat untuk Sarawak apabila beliau terpilih untuk menjadi ahli Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya Cobbold adalah satu suruhanjaya yang ditubuhkan untuk mendengar dan membuat laporan tentang reaksi rakyat Sarawak dan Sabah untuk membentuk Gagasan Malaysia bersama Malaya dan juga Singapura.



Sir Alexander Waddel (1959 – 1963)


Sir Alexander Waddel merupakan Gabenor Sarawak yang ke-4 dan juga terakhir dari Kerajaan Koloni Mahkota British Sarawak yang berkhidmat pada 23hb Februari 1950 sehingga 21hb Julai 1963. Dilahirkan pada 8hb November 1913 di England. Seperti mantan gabenor Koloni Mahkota British Sarawak yang terdahulu, Sir Alexander juga memulakan kariernya sebagai penjawat awam di Kerajaan Koloni Mahkota British.


Sebenarnya pemilihan Sir Alexander Waddel adalah bagi meneruskan apa yang sudah dipelopori oleh Sir Anthony Foster Abell sebelum ini iaitu “mesra rakyat” dan pemilihan Sir Alexander pula berdasarkan kepada kecemerlangannya di dalam tugas-tugas sebagai penjawat awam serta yang menjadi ianya istimewa apabila Sir Alexander Waddel adalah satu-satunya Gabenor Sarawak bangsa Eropah yang fasih berbahasa Melayu.


Keistimewaan ini menyebabkan Sir Alexander Waddel begitu dekat di hati rakyat tempatan lebih-lebih lagi Sir Alexander juga menurut sumber lisan dikatakan boleh berbahasa Iban salah satu daripada kaum majoriti di Sarawak dari dahulu sehingga sekarang.


Rentetan peristiwa penurunan bendera Koloni Mahkota British Sarawak pada 22hb Julai 1963 adalah satu yang begitu manis bagi bangsa Sarawak suatu waktu dahulu kerana pada detik itulah Sarawak secara simboliknya telah mendapat kemerdekaan daripada menjadi tanah jajahan Koloni Mahkota British. Sir Alexander Waddel adalah gabenor yang turut serta di dalam upacara simbolik itu berserta dengan pemimpin-pemimpin masyarakat Sarawak yang lain.

Selepas Sarawak membentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura, barulah jawatan Gabenor Sarawak dilantik di kalangan bangsa Sarawak sendiri dan Tuan Yang Terutama Di Pertua Negeri Sarawak yang pertama adalah Tun Abang Haji Openg bin Haji Sapiee.



Inilah 4 Gabenor bangsa Inggeris yang telah menjadi teraju utama di bumi Sarawak British Borneo suatu waktu dahulu. Sudah tentu sejarah ini juga tidak begitu dikenali oleh bangsa Sarawak sekarang memandangkan amat kurang pendedahannya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!



© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page