top of page

KERAJAAN DAYAK ULU AIK, KALIMANTAN BARAT, BORNEO


KERAJAAN DAYAK ULU AIK, KALIMANTAN BARAT, BORNEO

- Pendirinya Suku Dayak Keriau


Kerajaan Dayak Ulu Aik ini adalah salah satu kerajaan dayak yang diasaskan oleh seorang anak dayak dari Dayak Keriau yang bernama Singa Siak Bahulun. Dan Kerajaan Dayak Ulu Aik ini dikatakan mempunyai pengaruh Hindu Buddha di dalam sistem pemerintahan dan telah pun wujud sejak adanya kerajaan-kerajaan besar seperti Kerajaan Tanjungpura dan banyak lagi yang mana lokasinya hampir sama dengan kerajaan-kerajaan gah tersebut iaitu di Kabupaten Ketapang, Kalimantan Barat, Borneo.


Menurut sejarahnya, Singa Siak Bahulun adalah berketurunan daripada suku Dayak Uheng Kereho atau Punan Keriau atau Dayak Seputan atau Oloh Ot Nyowong iaitu salah satu dari sub-suku Dayak Punan yang sejak dahulu lagi sudahpun bermastautin di kawasan Sungai Kapuas dan Sungai Keriau, Kabupaten Ketapang, Kalimantan Barat. Jadi berdasarkan kepada kedudukan tempat tinggal dan juga jumlah populasi suku dayak Keriau ini maka tidak menghairankan sekiranya dilokasi ini juga terletaknya satu kerajaan Dayak yang bergelar Kerajaan Dayak Ulu Aik.


Sebenarnya masih terdapat banyak percanggahan tentang bila masanya kewujudan Kerajaan Ulu Aik ini kerana ada fakta-fakta yang bercanggah di dalam memperkatakan garis masa ianya didirikan. Jika menurut pencerakahan sejarah yang dibuat oleh seorang pakar sejarahwan iaitu P.J Veth, 1854; J.U, Lontaan, 1975; H.Von Dewall, 1862; J.P.K Barth, 1896; Salsilah Keluarga Kerajaan Matan-Tanjungpura pula mengatakan bahawa Siak Bahulun merupakan antara pemimpin awal Kerajaan Tanjungpura iaitu selepas Sang Maniaka atau Krysna Pandita (800M), dan Hyang Ta (900M-977M) dan barulah Siak Bahulun yang memerintah Kerajaan Tanjungpura pada tahun 977M sehingga 1025M sebelum dirampas kuasa oleh Rangga Sentap pada tahun 1029M.


Berdasarkan kepada adanya kekosongan garismasa iaitu antara 1025M dan 1029M yang mana Kerajaan Tanjungpura dibawah Rangga Sentap maka pakar sejarahwan mengakui bahawa Kerajaan Ulu Aik telah didirikan oleh Singa Siak Bahulun selepas melarikan diri daripada rampasan kuasa mahupun perang saudara di dalam kerajaan kuno Tanjungpura tersebut. Dan kerana itulah mengapa lokasi sebenar kerajaan ini adalah dikatakan pernah berdiri di Hulu Sungai Keriau iaitu di satu kawasan bernama Beginci Hulu Air, Kabupaten Ketapang, Kalimantan Barat suatu waktu dahulu.


Dan berdasarkan sejarah oral suku Dayak Keriau juga ada memperkatakan bahawa Kerajaan Ulu Aik ini sebenarnya didirikan oleh Singa Siak Bahulun yang tidak mempunyai legasi keturunan. Kerana masalah itulah dikatakan Siak Bahulun telah mengambil 7 orang anak angkat daripada pelbagai rumah panjang suku Dayak Keriau sebagai penyambung warisan Kerajaan Dayak Ulu Aik di Beginci pada masa itu. 7 anak angkatnya dikatakan mempunyai kepandaian yang khusus di dalam menjadikan kerajaan yang dipimpinnya lebih kukuh dan kuat.


7 anak angkatnya adalah Puteri Dara Pelimbung, Puteri Dara Pengumpat, Puteri Suwuk Palunyap, Sadung (satu-satunya putera angkat tunggal), Puteri Dayang Bepurung, Puteri Layung dan Puteri Layang Putung. Menurut sejarah oral ini juga menyatakan bahawa Puteri Layang Putung inilah juga yang dinamakan Puteri Junjung Buih yang kekal namanya sebagai antara legenda-legenda bagi setiap kerajaan kuno di bumi Borneo suatu waktu dahulu.


Selepas sahaja Singa Siak Bahulun tiada lagi informasi jelas tentang ke mana menghilangnya Kerajaan Ulu Aik ini kerana ianya dipercayai telah dimusnahkan ketika berlakunya perang perluasan wilayah oleh masyarakat pribumi dayak suatu waktu dahulu. Sehinggalah pada awal tahun 1700an berdirinya satu lagi warisan Kerajaan Ulu Aik di wilayah Pancur Sembore dan Tanjung Porikng iaitu di lokasi yang sama iaitu di Sungai Keriau. Pada masa ini pula pendirinya adalah Pang Ukir Empu Geremeng yang kemudian digantikan oleh Bihukng Tiung.


Selepas Bihukng Tiung ini pula digantikan oleh Bansa Pati II kemudian Ira Bansa III. Apabila Ira Bangsa III meninggal dunia diangkat pula Temenggung Jambu menjadi Raja Ulu Aik dan kemudian Bebek. Dan yang terakhir raja Ulu Aik dikenali dengan nama Raja Singa Bansa yang amat bersederhana dalam serba serbi dan hidup di dalam kelompok orang biasa Dayak Keriau.


Walau bagaimanapun ritual-ritual nenek moyang dari Kerajaan Dayak Ulu Aik seperti ritual penyembahan Bosi Koling Tungkat Rakyat iaitu satu keris yang diperbuat daripada besi kuning tetap dijadikan antara ritual budaya yang masih diperkasakan oleh suku Dayak Keriau sehingga sekarang.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

 

© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page