top of page

LEGENDA SANG PELANGI


LEGENDA SANG PELANGI

– Anak Raja Langit Sedang Mandi


Kejadian Pelangi adalah salah satu fenomena alam yang amat indah sekali. Pelangi yang terbentuk daripada jalinan tujuh warna iaitu merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu sering menarik perhatian kita terutama sekali apabila ianya menampakkan dirinya selepas hujan. Di dalam kita memperkatakan perihal pelangi ini mungkin kita sering dimomokkan oleh orang-orang tua kita tentang pantang larang seperti jangan menunjuk pelangi nanti jari kita terpotong ataupun jangan menjuih mulut kita pada pelangi kerana takut nanti mulut kita sumbing ataupun ada juga versi yang memanggil pelangi sebagai anak raja sedang mandi.


Kisah ini terjadi beribu-ribu tahun dahulu di sebuah perkampungan kecil di Pulau Borneo terdapat seorang pemuda yang bernama Aryo Menak. Aryo Menak adalah seorang pemuda yang amat gemar mengembara serta berburu di hutan. Pada suatu malam dikala bulan purnama, Aryo Menak telah keluar memburu dan kerana keletihan akibat berjalan jauh beliau telah mengambil keputusan untuk beristirehat dibawah sebatang pokok di tepi sebuah danau. Sedang beliau berehat itulah beliau telah terlihat suatu cahaya yang sangat terang benderang di pinggir danau itu.


Kerana sifat ingin tahunya, Aryo Menak telah menghampiri sumber cahaya tersebut dan alangkah terkejutnya beliau kerana beliau telah melihat tujuh orang bidadari sedang mandi-manda serta bergurau senda di danau tersebut. Ternyata Aryo Menak telah jatuh cinta pandang pertama dengan tujuh orang bidadari tersebut kerana kagum dengan kecantikan mereka. Untuk memiliki kesemua tujuh orang bidadari itu sudah tentu sesuatu yang mustahil tetapi jika mendapat seorang daripada mereka sudah tentu Aryo Menak adalah seorang lelaki yang bertuah maka beliau pun merangkak dan cuba mendekati mereka dengan lebih dekat lagi.


Dikala di dalam persembunyian itu, maka ternampaklah Aryo Menak tempat dimana bidadari-bidadari ini meletakkan selendang mereka maka secara senyap-senyap diambillah salah satu selendang itu dan disembunyikan oleh Aryo Menak. Aryo Menak terus duduk diam bersembunyi disebalik semak di tepi danau tersebut.


Tidak lama selepas itu, ketujuh-tujuh bidadari ini selesai bermandi-manda dan alangkah terkejut Bidadari ke tujuh yang selendangnya sudah dicuri. Maka riuhlah mereka cuba mencari selendang Bidadari ke tujuh kerana tanpa selendang tersebut mana mungkin bidadari ke tujuh untuk terbang pulang ke langit iaitu tempat dimana mereka tinggal. Kerana tuntutan masa dan tiada lagi jalan selain daripada memohon pertolongan ayahanda mereka di langit maka keenam-enam bidadari bersaudara terpaksa meninggalkan bidadari ke tujuh di bumi.


Menangislah bidadari ke tujuh kerana beliau tinggal keseorangan di bumi yang asing bagi beliau. Melihat bidadari ke tujuh sudah keseorangan dan bersedih, barulah si Aryo Menak keluar daripada persembunyiannya dan menghampiri bidadari tersebut. Aryo Menak pun bertanya dengan bidadari ke tujuh apakah gerangan sehingga beliau berhiba maka berceritalah bidadari ke tujuh tentang musibah yang menimpa diri. Aryo Menak pun berpura-pura menenangkan bidadari ke tujuh malah berjanji akan membantu bidadari ke tujuh mencari selendangnya yang hilang namun terlebih dahulu Aryo Menak memujuk bidadari ke tujuh untuk mengikutnya pulang ke kampungnya.


Kerana bidadari ke tujuh keseorangan maka dia pun menerima jemputan Aryo Menak maka bersama-samalah mereka pulang ke kampung Aryo Menak yang juga berdekatan dengan sebuah kawasan air terjun di Pulau Borneo. Setelah seketika tinggal bersama keluarga Aryo Menak di rumah mereka maka timbullah bibit-bibit kasih sayang antara Aryo Minak dan bidadari ke tujuh.


Aryo Minak menamakan bidadari ke tujuh dengan panggilan Sima agar senang untuk penduduk kampung memanggilnya. Setelah dua hati menjadi satu dan segalanya ada bagi pihak Aryo Menak maka dengan penuh adat Aryo Menak telah melamar Sima menjadi isterinya maka perkahwinan yang gilang gemilang diadakan di kampung Aryo Menak memandangkan Aryo Menak adalah anak Ketua Kampung dan satu-satunya anak tunggal lelaki keluarganya.


Di dalam melayari bahtera perkahwinan, barulah Aryo Menak sedari bahawa beras di dalam tempayan beras mereka tidak pernah berkurangan. Maka Aryo Menak pun bertanya kepada isterinya Sima mengapa boleh terjadi sedemikian. Dengan penuh rasa hormat, Sima memberitahu suaminya bahawa kuasa ghaibnya masih lagi tinggal iaitu Sima hanya perlu memasak sebutir beras dan beras sebutir itu akan menjadi nasi seperiuk. Walau bagaimanapun, Sima juga memberitahu bahawa kuasa ghaib ini hanya boleh terjadi sekiranya suaminya Aryo Menak tidak melihat dia memasak dan jika dilihat maka hilanglah kuasa ghaib itu selama-lamanya.

Pada suatu hari, Aryo Menak telah kembali ke rumah agak awal daripada biasa jadi dia pun terlihat isterinya Sima sedang memasak nasi. Kejadian yang tidak disengajakan ini sebenarnya sudah mengundang malapetaka di dalam penghidupan mereka suami isteri. Kerana Aryo Menak sudah mengetahui akan kuasa ghaib isterinya maka tidaklah pernah dia menjenguk tempayan beras mereka samada sudah berkurangan atau tidak.


Maka setelah beberapa lama, akhirnya pada suatu hari ketika Sima hendak memasak dia pun menceduk beras di tempayan beras dan alangkah terkejutnya beliau kerana Sima telah terjumpa selendang dia yang hilang itu. Melihat sahaja selendang tersebut, rasa rindunya pada keluarganya di langit semakin menebal. Dia juga mengetahui bahawa selama ini selendang itu sebenarnya disembunyi oleh Aryo Menak walau bagaimanapun Sima tidak marah pada Aryo Menak kerana rasa cinta dan kasih sayangnya pada Aryo Menak.


Keesokannya, ketika hujan gerimis Sima telah pergi ke air terjun yang berdekatan dengan rumah mereka untuk membasuh pakaian dan dibawanya sekali selendangnya untuk sama-sama dicuci memandangkan ianya sudah lama diletakkan di dalam tempayan beras sudah tentu ada bau yang kurang enak pada selendang tersebut. Ketika mencuci inilah dia cuba memakai selendangnya di bahu dan tiba-tiba badan Sima menjadi ringan dan tahulah Sima bahawa kuasa ghaibnya untuk pulang kepada keluarganya di langit sudah kembali semula.


Aryo Menak yang ketika itu melalui kawasan tersebut telah ternampak keadaan isterinya Sima yang diawang-awangan maka terus dia berlari kea rah isterinya. Pada ketika itulah Sima meminta penjelasan daripada Aryo Menak dan Aryo Menak menceritakan hal sebenarnya kepada Sima namun mungkin sudah suratan jodoh mereka hanya setakat itu sahaja kerana Sima atau bidadari ke tujuh berhak untuk kembali ke tempat asalnya. Dengan ratap tangis Aryo Menak merelakan pemergian isterinya yang tercinta.


Sima yang sesungguhnya amat menyintai Aryo Menak juga amat hiba dan berpesan kepada Aryo Menak bahawa sekiranya selepas hujan Aryo Menak melihat ada tujuh warna iaitu Pelangi pada suatu tempat itu maka disitulah Aryo Menak akan dapat menyaksikan dia dan saudara-saudara bidadarinya turun ke bumi sedang bermandi manda. Selepas menyampaikan pesanan itu maka terbanglah Sima ke tempat asalnya.


Diceritakan bahawa sejak daripada itu, Aryo Menak yang keseorangan sering dilihat berkeliaran selepas waktu hujan kerana ingin mencari Pelangi agar beliau dapat bertemu dengan isterinya yang tercinta iaitu Sima atau bidadari ke tujuh, puteri Raja di langit.


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page