SARAWAK MILIK SULU?????
SARAWAK MILIK SULU?????
Dikala kita rakyat Malaysia meratapi pemergian 8 anggota perajurit kita yang terkorban di Lahad Datu, Sabah kerana pencerobohan daripada pengganas Sulu timbul pula penyataan daripada Ketua penceroboh yang cuba untuk menggertak kita rakyat Sarawak bahawa Sarawak juga adalah tanah nenek-moyangnya. Sebagai rakyat Sarawak sudah tentu Borneo Oracle terpelanting dengan dakwaan tersebut kerana tiada dokumen sejarah yang mengaitkan kita dengan Kesultanan Sulu sepanjang yang kita ketahui.
Namun hakikatnya pautan sejarah Sarawak dan Brunei telah mengaitkan kita dengan dakwaan daripada mereka ini. Namun itu hanya sejarah yang tidak berkait secara langsung dengan kita rakyat Sarawak atau dalam ertikata sebenar hanya ‘bau-bau bacang” sahaja. Marilah kita sama-sama menyelami dimanakah hubungkait sejarah ini agar kita lebih memahami samada dakwaan ini adalah berasas atau tidak berdasarkan hukum logik kita sebagai rakyat Malaysia umumnya dan rakyat Sarawak khasnya.
Semuanya bermula sewaktu pemerintahan Sultan Muhamad Hassan, Sultan Kerajaan Brunei yang ke-9 yang memerintah Brunei dari 1582 hingga 1598. Sultan Muhamad Hassan memegang tampuk pemerintahan dikala Brunei masih lagi menentang pencerobohan Sepanyol. Perang antara Brunei dengan Sepanyol ini dikenali sebagai Perang Kastila. Sebenarnya perang ini diwarisi semenjak daripada pemerintah yang dahulu iaitu ayahandanya iaitu Sultan Saiful Rijal.
Dan kerana masih lagi berada di dalam peperangan maka banyak perkara yang dilakukan oleh Sultan Muhamad Hassan adalah dengan membina kota pertahanan serta benteng di istananya di Tanjung Kidana. Sultan Muhammad Hassan terkenal dengan beberapa meriam yang diletakkan di posisi yang terbaik di sekitar istananya yang mempunyai nama-nama tertentu iaitu Seri Negeri, Raja Hindi, Raja Derwis, Si Kula, Si Lombong, Si Dewa, Si Mangkasar, Si Pitutan, Si Gandong, Si Puchong dan Si Gantar Alam.
Sultan Muhammad Hasan mempunyai empat orang isteri dan hasil perkahwinannya ini telah memberikan beberapa orang putera yang gah namanya. Antara putera-putera baginda adalah Pengiran Muda Abdul Jalilul Akbar, Pengiran Muda Tengah, Pengiran Muda Muhammad Ali dan Pengiran Shahbandar Maharaja Laila. Semasa Sultan Muhamad Hassan memerintah baginda telah berusaha untuk mendapatkan kembali jajahan Brunei yang telah melepaskan diri mereka termasuk Sulu.
Setelah Sulu dimiliki semula, Sultan Muhammad Shah telah mengangkat puteranya Pengiran Shahbandar Maharaja Lela menjadi Sultan Sulu. Selepas kemangkatan baginda, takhta kerajaan Brunei telah diwariskan kepada putera sulung baginda iaitu Sultan Jalilul Akhbar, Sultan Brunei yang ke-10. Ketika inilah Pengiran Muda Tengah yang merupakan putera kedua Sultan Muhamad Hassan telah memberikan kiasan bahasa kepada kakanda bahawa dia juga layak menjadi pemerintah kepada Kerajaan Brunei.
Sultan Jalilul Akhbar yang faham akan kehendak adindanya telah memerintahkan agar Pengiran Muda Tengah menjadi pemerintah kepada Sarawak. Dan cadangan ini dipersetujui oleh Pengiran Muda Tengah maka berangkatlah Pengiran Muda Tengah ke Sarawak pada tahun 1599 Masihi dengan membawa seramai 1,000 orang hulubalang bagi membina lapau dan istana.
Pengiran Muda Tengah ditabalkan menjadi Sultan Ibrahim Ali Omar Shah, Sultan Sarawak yang pertama. Keturunan langsung kepada Sultan Tengah inilah yang menjadi Sultan-sultan Sambas yang memerintah di Kesultanan Sambas melalui hasil perkahwinan putera Sultan Tengah iaitu Sulaiman dengan Mas Ayu Bungsu, puteri Ratu Sepundak sebuah kerajaan di Sambas. Raden Sulaiman kemudian diangkat menjadi Sultan Sambas dengan nama Sultan Muhammad Shafiuddin 1.
Pengiran Shahbandar Maharaja Lela, putera yang bungsu telah diangkat menjadi Sultan Sulu pertama dengan menggunakan gelaran Sultan Patara Shah. Sultan Patara Shah ini telah mangkat tanpa meninggalkan waris jadi demi meneruskan kelangsungan kesultanan di Sulu maka telah diangkat anak saudaranya iaitu putera kepada adindanya menjadi Sultan Sulu iaitu Sultan Mawalil Wasit I dan dari sinilah bermulanya keturunan sebenar keluarga diraja Kiram sekarang. Dan yang mengatakan dirinya “Sultan Sulu” sekarang hanya auta semata-mata dan sejarah di Filipina boleh membuktikannya.
Sejarah Sarawak juga membuktikan bahawa Sarawak pernah diperintah oleh keluarga Rajah Brooke selama lebih kurang 100 tahun. Bermula dengan Rajah James Brooke, Rajah Charles Brooke dan terakhir sekali Rajah Charles Vyner Brooke. Kita juga mengetahui bahawa di awal ketibaan seorang pelayar British bernama James Brooke ke Sarawak adalah untuk membantu Pengiran Muda Hashim bagi menyelesaikan pemberontakan tempatan di atas tanah kuripan pembesar Kesultanan Brunei di Sarawak.
Atas pertolongan dan bantuan itu maka Sarawak yang garis sempadannya bermula di Kuching sehingga ke Lidah Tanah telah menjadi hak milik James Brooke. Sejak itu James Brooke telah meluaskan empayarnya terus ke kawasan persisiran Sarawak sehinggalah pada tahun 1840 Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mumin telah memberikan keseluruhan Sarawak kepada Rajah James Brooke dan mengiktiraf James Brooke menjadi Rajah Sarawak dan Sarawak secara automotiknya menjadi sebuah negara yang merdeka yang bernama Sarawak Kingdom.
Pada 1 Julai 1945, Rajah Charles Vyner Brooke yang telah muak memerintah dan tidak mampu membangunkan semula Sarawak Kingdom selepas Perang Dunia Kedua telah menyerahkan secara rasmi Sarawak Kingdom menjadi jajahan Koloni British walaupun pada masa itu terdapat penentangan daripada rakyat Sarawak namun hal penyerahan ini tetap berterusan jua.
Buat seketika Sarawak makmur menjadi jajahan Koloni British sehinggalah pada 22 Julai 1963 Sarawak telah merdeka bagi membentuk sebuah gabungan yang bergelar Gagasan Malaysia. Setelah 54 hari Sarawak mentadbir sebuah Negara yang baru dengan pemantauan Gabenor dari Koloni British Borneo akhirnya pada tanggal 16hb September 1963, terbentuklah sebuah Negara yang dikenali sebagai Gagasan Malaysia dengan pengistiharannya diadakan di Padang Central, Kuching, Sarawak untuk bahagian Sarawak.
Berdasarkan rentetan sejarah Sarawak ini, Borneo Oracle mengajak kesemua anak Sarawak yang mengaku dirinya Bangsa Sarawak…
ADAKAH KENYATAAN SULTAN KIRAM BAHAWA SARAWAK INI JUGA MILIK KESULTANAN SULU ITU MASUK AKAL?
KESULTANAN SULU TIDAK PERNAH MEMERINTAH WALAU SEJENGKAL TANAH DI BUMI SARAWAK MANA MUNGKIN BOLEH MEMBUAT DAKWAAN BAHAWA SARAWAK INI KEPUNYAAN SULU!!
Sungai Sarawak Jangan Dituba
Mun Dituba Ikan Sik Mati
Urang Sarawak Jangan Dicabar
Mun Dicabar Sik Takut Mati