top of page

TOKOH-TOKOH ISLAM SEWAKTU PEMERINTAHAN BROOKE


TOKOH-TOKOH ISLAM SEWAKTU PEMERINTAHAN BROOKE


Umum mengetahui bahawa Sarawak merupakan salah satu negeri yang tidak mengamalkan agama rasmi bagi negerinya seperti apa yang tertakluk di dalam Perjanjian Malaysia 1963 melalui Perkara 18 yang telah dimeterai sewaktu penubuhan awal Gagasan Malaysia yang dibentuk oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sabah (North Borneo), Sarawak dan Singapura (Menarik diri pada 1965).


Namun begitu sinar agama Islam di Sarawak sebenarnya sudahpun berkembang sejak ianya masih lagi menjadi tanah kuripan bagi pembesar Kesultanan Brunei Darussalam malah sejarah syiar Islam itu sendiri sudah ada sejak wujudnya kerajaan-kerajaan kuno di Sarawak seperti Kerajaan Sarawak Darul Hana dibawah Sultan Tengah, Kerajaan Santubong, Kerajaan Kalaka, Kerajaan Samarahan dan Kerajaan Saribas yang membenarkan bahawa adanya penganut agama Islam bagi penduduk-penduduk di kawasan sekitarnya pada ketika itu.


Selain daripada itu suatu waktu dahulu Negara Sarawak (Sarawak Kingdom) juga pernah diperintah oleh dinasti rajah putih yang dipanggil Keluarga Brooke melalui 3 rajahnya iaitu Rajah James Brooke, Rajah Charles Brooke dan terakhir Rajah Charles Vyner Brooke. Walaupun pada ketika itu pemerintahan Sarawak Kingdom adalah dibawah keluarga Brooke namun begitu syiar Islam di Sarawak Kingdom tetap dihormati walaupun yang menganutinya hanyalah minoriti.


Sebagai satu informasi perkongsian akan diketengahkan 3 individu Bangsa Sarawak yang sememangnya amat terkenal di dalam memperkatakan perkembangan syiar Islam di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. 3 individu bangsa Sarawak ini telah berkhidmat dengan jayanya di dalam pemerintahan Sarawak Kingdom di dalam memastikan keutuhan agama Islam di Sarawak sentiasa seadanya. 3 individu ini adalah tokoh-tokoh Islam bangsa Sarawak yang nama mereka ada tercatit di dalam Sarawak Gazet semenjak di zaman pemerintahan Brooke lagi. Mereka adalah Datuk Hakim Haji Abdul Rahman, Syeikh Uthman Abdul Wahhab dan Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi.



1. DATUK HAKIM ABANG HAI ABDUL RAHMAN BIN ABANG HAJI IBRAHIM


Nama sebenar beliau ialah Abang Haji Abdul Rahman bin Abang Haji Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Datuk Hakim Keramat. Beliau dilahirkan di Kuching pada tahun 1829M. Datuk Hakim Haji Abdul Rahman mempunyai dua orang isteri iaitu Dayang Fatimah dan Datin Hajjah Mariam dan telah dikurniakan 19 orang anak yang juga ramai antara mereka menjadi tokoh agama yang terkenal di Sarawak. Antaranya ialah Datuk Hakim Azhari, Datuk Hakim Haji Ashaari, Syeikh Syibli, Datuk Imam Haji Suhaili dan ramai lagi. Datuk Hakim Keramat telah menerima galakan untuk mendalami agama Islam daripada seorang berbangsa Arab yang berasal dari Madinah iaitu Syeikh Al-Makawi . Beliau telah berangkat ke Mekah bersama ayahnya, Haji Ibrahim ketika berusia 12 tahun.


Di Mekah beliau mempelajari ilmu-ilmu agama antaranya fiqh, nahu, hadith, tauhid dan sebagainya. Sekitar tahun 1850M, Datuk Hakim Keramat telah kembali ke Negara Sarawak dan sebagai seorang yang baru pulang dari luar negara dan mempelajari ilmu agama sudah tentu beliau menjadi tempat rujukan kepada penduduk-penduduk di kawasan perkampungannya. Atas kebijaksanaan dan sikap beliau yang baik itu ianya telah sampai ke pengetahuan Rajah Brooke dan beliau telah diminta untuk berkhidmat dengan penduduk Sarawak pada masa itu.


Pada tahun 1870 beliau telah dilantik sebagai Tuan Hakim yang berperanan sebagai ketua agama orang Islam dan kemudian pada tahun 1886 pula beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Datuk Hakim.

Atas inisiatif beliau yang sedar bahawa satu-satunya benteng untuk mempertahankan sinar Islam di Sarawak pada ketika itu adalah melalui pemahaman pengetahuan yang betul di dalam ajaran Islam, beliau dengan dibantu oleh anak-anaknya telah mendirikan sebuah surau di Kampung Bandarsah, Kuching dan dijadikan pusat untuk mempelajari pengetahuan Islam yang sebenar.


Tertubuhnya surau ini beliau telah berjaya memupuk tradisi mencintai ilmu-ilmu agama di kalangan penduduk setempat. Sebagai memberikan pengajaran agama yang berkesan juga beliau sendiri telah menghantar anak-anaknya seperti Syeikh Haji Shibli, Datuk Imam Haji Suhaili, Datuk Haji Ashaari dan lain-lain ke Mekah.


Penghantaran anak-anak beliau ke Mekah merupakan saham beliau yang sangat bernilai dalam memastikan kesinambungan perkembangan agama Islam di Sarawak. Beliau sebenarnya boleh dianggap sebagai ulama perintis Sarawak yang terkemuka yang telah membuka satu lembaran baru dalam proses pembinaan intelektual yang awal di Sarawak. Beliau meletakkan batu asas yang kukuh di dalam proses pembinaan dan perkembangan Islam di Sarawak dari dulu sehingga sekarang.


Datuk Hakim Keramat meninggal dunia pada 9 Ramadhan 1309H/1890M. dan disemadikan di perkarangan Masjid Bahagian Kuching.

Perihal pemergian beliau diceritakan di dalam The Sarawak Gazzette yang menyatakan:


“His loss will be felt and lamented by all classes as he was just a man without bigotary and kind to all…it will be hard to find another to take his place, as so many brought up as he had been educated in the midst of Arab exclusiveness show a narrowness of spirit and frequently hostility to European influence”.



2. SYEIKH UTHMAN BIN ABDUL WAHAB


Beliau dilahirkan di Kampung Sinjan, Kuching Sarawak pada 15hb Jun 1864 Nama sebenar beliau adalah Syeikh Uthman bin Abdul Wahab bin Ahmad bin Petinggi Amir bin Dato’ Akbar bin Dato Qaim bin Petinggi Betung bin Bandar Tanduk bin Petinggi Kuntum bin Patih Malang bin Patih Mengadi bin Merpati Jepang. Menurut apa yang diceritakan bahawa Syeikh Uthman bukanlah dari kalangan orang kebanyakan kerana dikatakan bahawa keluarga beliau mempunyai salsilah keluarga bangsawan dari Kepulauan Jawa.


Sewaktu dilahirkan beliau adalah anak yatim kerana ayahandanya telah menyahut seruan Illahi sejak beliau di dalam kandungan ibunya lagi. Dan yang lebih menyedihkan di ketika usianya 3 hari, bondanya pula pergi meninggalkan beliau maka beliau menjadi anak yatim piatu. Kerana masih bayi lagi, beliau telah diambil sebagai anak angkat oleh Datuk Hakim Keramat dan beliau adalah anak susuan kepada isteri Datuk Hakim Keramat iaitu Fatimah.


Syeikh Uthman juga mendapat pendidikan awal daripada bapa angkatnya iaitu Datuk Hakim Keramat dan sedari kecil beliau telah diasuh dan dididik sehingga menjadi seorang yang berakhlak tinggi. Seawal usia 14 tahun lagi, Syeikh Uthman sudahpun tahfiz Al-Quran. Dikatakan pada usianya 16 tahun, Syeikh Uthman telah mula bermusafir dengan mengikuti ayah saudaranya Tuan Haji Zaman berniaga ke setiap ceruk rantau bumi Sarawak sehingga memungkin beliau begitu arif dengan warisan dan budaya etnik-etnik di Sarawak pada ketika itu.


Di ketika usianya mencapai 18 tahun, Syeikh Uthman telah dihantar oleh ayah angkatnya Datuk Hakim Keramat untuk mendalami ilmu agama di Kota Mekah kerana Datuk Hakim Keramat telah melihat sendiri betapa istimewanya Syeikh Uthman ini untuk diketengahkan sebagai pelapis generasi bagi meneruskan perjuangan syiar Islam di Sarawak pada waktu itu. Pemergian Syeikh Uthman ini menimba ilmu di Mekah bukanlah sekejap kerana beliau disana hampir 15 tahun lamanya. Kefasihan Syeikh Uthman ini di dalam bahasa Arab telah memungkinkan beliau untuk menjadi guru agama di Kota Mekah itu sendiri sehingga ramai ulama-ulama tersohor adalah anak murid beliau seperti Abdul Karim Amarullah, tokoh ulama terkenal di Indonesia.


Syeikh Uthman sememangnya tidak mempunyai usaha secara langsung di dalam mendidik anak bangsa Sarawak beragama Islam pada waktu itu kerana dia menetap di Mekah namun beliaulah antara guru agama bangsa Sarawak tersohor di Kota Mekah suatu waktu dahulu yang menjadi pilihan untuk bakal-bakal ulama di seluruh dunia berguru dengannya.


Syeikh Uthman telah kembali ke rahmatullah di Mekah pada tahun 1338H/1920M setelah sekembali beliau dari melawat sanak saudara di Sarawak. Jenazah beliau telah disemadikan di Kota Mekah, bandar suci umat Islam di seluruh dunia. Bagi memberikan satu penghormatan kepada jasa tokoh Islam ini di bumi Sarawak mungkin ramai yang tidak tahu bahawa satu sekolah agama berasrama yang terletak di kaki Gunung Serapi sekarang adalah bersempena dengan nama beliau iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab.



3. DATUK HAKIM IMAM ABANG HAJI MURSHIDI BIN ABANG HAJI NURUDDIN


Tokoh Islam bangsa Sarawak yang terakhir adalah Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi. Nama sebenar beliau ialah Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi bin Abang Haji Nuruddin bin Datuk Bandar Bolhassan. Nama ibunya ialah Dayang Aisyah binti Abang Pata bin Temenggong Marsal. Beliau dilahirkan pada tahun 1294H/1877M di tengah-tengah bandar Kuching, iaitu berdekatan dengan Masjid India, Jalan Gambir, Kuching. Beliau merupakan anak keenam daripada lapan orang adik-beradik. Oleh kerana beliau dilahirkan berhampiran dengan kawasan masjid, maka tidak diragukan bahawa Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi sejak kecil lagi telah didedahkan dengan tatacara hidup yang Islamik.


Seperti tokoh-tokoh ulama Sarawak yang lain, Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi juga telah berhijrah ke Mekah untuk menimba ilmu agama. Beliau dikatakan telah berguru dengan Syeikh Uthman yang mengajar di Masjidil Haram Mekah. Beliau juga sempat mengikuti pelajaran yang diberikan oleh guru kepada gurunya, Syeikh Uthman seperti Syeikh Uthman al-Fatani, Sayid Bakri Syatha dan ramai lagi. Tidak seperti gurunya Syeikh Uthman yang menetap di Mekah, beliau lebih memilih untuk kembali ke Sarawak dan berkhidmat pada dengan Kerajaan Sarawak Kingdom. Sekembalinya dari tanah suci Mekah, Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi telah banyak melibatkan diri dalam pengajaran ilmu-ilmu agama di Masjid India di Jalan Gambir, Kuching.


Masjid ini telah menjadi pusat dakwah dan pusat pendidikan Islam yang penting di Kuching pada zaman pemerintahan Brooke. Minat dan kecenderungan beliau dalam bidang pendidikan agama telah memberi inspirasi kepada beliau untuk memulakan satu bentuk pengajian Islam yang lebih formal dan tersusun di Sarawak melalui penubuhan Madrasah al-Musrhidiyyah di Kuching pada awal abad ke-20an. Sebelum ini, bentuk pendidikan Islam di Sarawak adalah secara tidak formal di mana kelas-kelas agama diadakan di rumah guru-guru agama.


Di samping itu, Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi juga dikatakan telah memberi perhatian terhadap pendidikan Islam bagi kaum wanita. Beliau bersama-sama dengan dua orang sahabatnya Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah dan Abang Haji Bolhassan telah berusaha menubuhkan sebuah sekolah khas bagi kaum wanita mempelajari ilmu-ilmu agama seperti pengajian al-Quran, fiqh, tauhid, hadith dan sebagainya Sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Kajang. Ini menunjukkan bahawa kaum wanita beragama Islam di Sarawak juga telah mendapat peluang untuk mempelajari ilmu-ilmu agama walaupun tidak sehebat kaum lelaki pada waktu itu. . Seperti Datuk Hakim Keramat, Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi juga banyak memainkan peranan penting dalam pentadbiran Brooke terutamanya dalam hal ehwal yang berkaitan dengan umat Islam di Sarawak. Sebelum berkhidmat dengan kerajaan, beliau penah berkhidmat sebagai pendaftar perkahwinan Islam di samping mengajar ilmu agama kepada komuniti Melayu di Kuching. Atas perkhidmatan ini, beliau dinaikkan pangkat sebagai Datuk Hakim pada 23 Februari 1925 dan sebagai ahli Majlis Tertinggi serta Council Negeri.


Pada tahun 1932 pula, beliau dilantik pula sebagai Datu Imam. Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi juga telah mengasaskan Majlis Syuyukh Islam yang kemudiannya dikenali sebagai Majlis Islam Sarawak pada 1 Mei 1955. Pada peringkat awal penubuhan majlis tersebut, beliau telah menjemput beberapa orang alim ulama untuk berbincang mengenai hal-hal yang berkiatan dengan agama Islam dan kebajikan umat Islam di Sarawak. Antara orang-orang yang dijemput oleh beliau ialah Mufti Abang Haji Nawari, Tuan Haji Badaruddin, Abang Haji Julaihi dan Tuan Haji Salleh. Penubuhan majlis ini merupakan usaha yang penting ke arah perkembangan agama Islam di Sarawak dalam bentuk yang lebih tersusun dan sistematik.


Datuk Hakim Imam Haji Murshidi meninggal dunia ketika berusia 62 tahun pada 16 Julai 1939. Jenazah beliau juga dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Bahagian Kuching.


Inilah 3 tokoh Islam bangsa Sarawak yang telah banyak memainkan peranan di dalam memastikan syiar Islam di bumi Sarawak melalui pendekatan pembelajaran agama yang betul serta tersusun serta melahirkan ramai individu yang menjadi ulama terkenal di Sarawak suatu waktu dahulu. Ramai antara kita bangsa Sarawak tidak mengenali mereka kerana kurangnya pendedahan mengenai mereka sehingga kita seperti lupa bahawa ada bangsa Sarawak sendiri yang juga bijak pandai malah berjuang secara langsung di dalam syiar Islam di Sarawak suatu waktu dahulu biarpun di ketika itu Sarawak diperintah oleh keluarga Brooke.


Semoga roh tokoh-tokoh Islam Bangsa Sarawak ditempatkan di kalangan para syuhadah. Sesungguhnya perjuangan mereka di dalam memastikan syiar Islam di bumi Sarawak dilupa jangan.



Al-fatihah. Amin.


‪#‎KamekSayangSarawakBah

© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page