top of page

BUAH ENGKALAK

  • Aug 8, 2015
  • 2 min read

BUAH ENGKALAK


Di Sarawak, buah engkalak banyak dijual di pasar-pasar tani contohnya di kawasan bandaraya Kuching dan juga Serian. Ianya adalah satu buah-buahan nadir tempatan dan nama saintifiknya adalah Litcia Garcie. Buah engkalak sebenarnya adalah satu keluarga dengan pokok Avocado yang sudah semesti dikenali seantero dunia.


Sama seperti Avocado, engkalak juga dari rumpun keluarga Lauracea. Rumpun buah Lauracea yang mempunyai 200 spesis ini sebenar banyak tumbuh di Australia, Amerika Latin dan di Asia Tenggara. Tidaklah diketahui apakah nama tempatannya di kawasan lain namun begitu hanya di Sarawak ianya dikenali dengan nama buah engkalak.

Pokok Engkalak adalah sebenarnya pokok saka yang tumbuh menegak dan banyak cabang dan ketinggiannya boleh mencecah antara 10 sehingga 15 meter. Sebenarnya mungkin ramai tidak mengetahui bahawa pokok engkalak sebenarnya boleh ditanam dengan menanam daripada biji benihnya yang sudah matang. Namun begitu untuk mendapat produksi buahnya kenalah si penanam menunggu sehingga 4 ke 5 tahun untuk mendapat hasilnya.


Walau bagaimanapun pokok ini jika di Sarawak sebenarnya sudahpun hidup meliar di satu-satu kawasan hutan. Oleh itu hanya pada mereka yang rajin sahaja akan dapat merasa hasilnya serta menjadikannya antara buah-buahan hutan untuk dijual di pasar-pasar tani di seluruh Sarawak. Sewaktu mudanya, buah engkalak berwarna hijau dan apabila ranum masak warnanya akan bertukar kepada merah jambu. Di ketika musimnya maka kita akan melihat sesuatu kelainan warna di kawasan ianya tumbuh liar kerana buah-buahnya akan menampakkan seri warna hutan yang berwarna hijau menjadi merah jambu.


Mengikut pantang orang-orang tua di kalangan masyarakat Sarawak, buah engkalak ini jika sudah ranum masak tidak bolehlah dijolok dengan menggunakan batang buluh seperti kita menjolok buah kelapa kerana nanti ianya akan pahit bila dimakan. Sebaliknya buah engkalak hanya boleh diambil dengan memanjat pokok tersebut dan memetiknya dengan menggunakan tangan. Sama benar atau tidak pantang larang itu hanya mereka yang berurusan lama dengan buah engkalak sahaja mengetahuinya. Allahualam.


Bagaimana untuk memakannya? Sebenarnya cara untuk memakan buah engkalak itu amat mudah kerana ianya hanya perlu mencelup atau mencelur buah engkalak yang sudah dibersihkan di dalam air panas suam di dalam suhu 80 darjah Celcius selama 5 minit. Di dalam waktu itu isinya akan lembut dan mudahlah untuk mengupas kulitnya. Untuk menambah rasa maka makanlah ia dengan mencecahnya ke garam halus atau kicap pekat. Rasanya yang masam, pahit dan sedikit kelat sudah tentu akan mengamit memori sesiapa sahaja yang memakannya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


 
 
 

Comments


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page