ETNIK VAIE SEGAAN, SARAWAK, BORNEO
- Aug 9, 2015
- 3 min read

ETNIK VAIE SEGAAN, SARAWAK, BORNEO
Melanau Vaie, Melanau Bintulu, Melayu Bintulu, Orang Bintulu, Baie atau Segaan merupakan nama lain bagi memperjelaskan satu lagi etnik yang dikenali dengan nama asalnya Vaie Segaan. Keunikannya dapat dihuraikan apabila etnik ini dikategorikan sebagai apa yang membentuk etnik Melanau sekarang berdasarkan kepada makanan ruji yang sama iaitu tepung sagu atau lebih dikenali sebagai linut serta bentuk pekerjaan mereka iaitu sebagai nelayan di persisiran pantai di Bintulu, Sarawak. Namun hakikatnya etnik ini sebenarnya mempunyai sejarah asal keturunan serta bahasa yang AMAT BERBEZA dengan etnik Melanau yang mendiami daerah seperti Igan, Mukah, Oya dan banyak lagi.
Etnik Vaie Segaan ini populasinya ramai terdapat di Bahagian Bintulu, Sarawak dan dikatakan asal etnik ini adalah etnik yang nomad iaitu etnik yang mengamalkan cara hidup berpindah-randah. Mereka hidup nomad bagi menerokai kawasan yang mempunyai banyak pokok rumbia ataupun sagu yang menjadi makanan ruji mereka. Menurut cerita asal keturunan etnik Vaie Segaan ini sebenarnya berasal daripada Bukit Lumut yang terletak hampir 15 kilometer daripada daerah Belaga.
Malah asal nama Vaie Segaan itu sendiri sebenarnya mengikut dialek Vaie bermaksud Vaie iaitu “Orang” dan Segaan merujuk kepada sebuah kawasan di Belaga yang bernama Bukit Segaan. Penghijrahan mereka daripada kawasan Belaga bermula daripada Sungai Binyo dan kemudian ke Kemena melalui Sungai Segaan dan akhirnya membentuk beberapa penempatan secara kekal di Bintulu sekarang.
Menurut Sarawak Gazette 1879 ada melaporkan bahawa etnik Vaie Segaan ini dilaporkan sebagai satu masyarakat yang sumber ekonomi mereka adalah dengan menangkap ikan di persisiran pantai Bintulu sejak dahulu lagi. Ada juga dinyatakan di dalam Sarawak Gazetter 1879:38, etnik Vaie Segaan inilah antara etnik yang seringkali diganggu oleh kegiatan lanun yang berleluasa di perairan Bintulu sebelum Bintulu menjadi antara pembentuk empayar Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan 100 tahun Rajah Brooke memerintah.
Sejarah juga membuktikan bahawa etnik Vaie Segaan inilah yang telah berjaya mengusir lanun-lanun ini sendiri dengan kekuatan dan semangat kepahlawanan mereka sebanyak 2 kali tanpa dibantu oleh mana-mana masyarakat di Sarawak. Inilah etnik Vaie Segaan yang merupakan penduduk asal kepada pembukaan Bintulu sebagai sebuah penempatan di Sarawak.
Sebenarnya etnik Vaie Segaan ini mempunyai pertalian secara langsung dengan satu lagi etnik di Sarawak iaitu etnik Kayan. Ketika adat ngayau masih lagi menjadi antara adat perluasan wilayah bagi etnik-etnik Dayak di Borneo, etnik Vaie Segaan juga menerima nasib yang sama. Dan kerana itulah diceritakan bahawa etnik Vaie Segaan yang dipimpin oleh seorang pemimpin wanita bernama Oyong Tija dari Lavang telah membuat perjanjian damai dengan seorang pemimpin etnik Kayan bernama Mering Bato Yang menjadi orang tengah di dalam proses pendamaian itu adalah Abang Tali.
Hasil daripada rundingan Oyong Tija, Mering Batu dengan usaha daripada Abang Tali inilah terdapat persempadanan wilayah yang berlaku iaitu etnik Kayan tidak dibenarkan untuk mendiami kawasan sekitar Kuala Tubau dan Sungai Jelalong. Manakala etnik Vaie Segaan pulan tidak boleh menghuni kawasan atas Lavang dan Sungai Kemena. Kejayaan penjanjian damai inilah yang memungkin survival etnik Vaie Segaan di bumi Bintulu suatu waktu dahulu.
Dari segi bahasa pula, bahasa Vaie Segaan sangat-sangat berbeza daripada bahasa melanau yang dipertuturkan oleh mana-mana etnik melanau yang menghuni bumi Sarawak sekarang malah etnik melanau Oya, Mukah dan banyak lagi tidak memahami langsung bahasa Vaie Segaan. Bahasa Vaie Segaan sebenarnya lebih menyerupai kepada bahasa yang dipertuturkan oleh etnik Punan Lovuk Pandan dan etnik Punan Bah. Dari segi bahasa sudah menunjukkan bahawa etnik Vaie Segaan ini sendiri mempunyai keunikan yang berbeza dengan etnik Melanau Sarawak.
Dari segi agama pula, rata-rata etnik Vaie Segaan sudahpun memeluk agama Islam setelah kedatangan agama Islam di Borneo suatu waktu dahulu. Namun begitu agama nenek moyang mereka sejak ratusan tahun dahulu iaitu agama yang mempercayai kepada kekuasaan roh dan semangat. Apabila ada satu musibah seperti gejala penyakit berlaku di kalangan masyarakat Vaie Segaan suatu waktu dahulu maka satu upacara akan dilangsungkan yang dikenali sebagai upacara “Pu” .
Melalui seorang pengantara yang pakar untuk berinteraksi dengan roh akan memanggil “Ba zuu” dan setelah segalanya diatur barulah “Dakan” akan dipersembahkan untuk memindahkan musibah atau gejala penyakit kepada ritual persembahan tersebut. Setelah itu barulah “Dakan” akan dihanyutkan ke sungai atau lautan yang luas jauh daripada penghidupan masyarakat Vaie Segaan itu sendiri.
Etnik Vaie Segaan seperti etnik-etnik di seluruh Sarawak Bumi Kenyalang juga antara etnik yang mengamalkan perkahwinan campur di dalam penghidupan mereka. Ramai antara mereka telah berkahwin dengan etnik Melayu Sarawak mahupun etnik Melanau Sarawak sendiri sehingga membenarkan ada budaya-budaya sehingga adat resam etnik-etnik ini diasimilasikan menjadi adat warisan mereka yang digunapakai sehingga ke hari ini.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.
#KamekSayangSarawakBah!


Comments