top of page

FORT SYLVIA, KAPIT, SARAWAK

  • Aug 9, 2015
  • 2 min read

FORT SYLVIA, KAPIT, SARAWAK


Fort Sylvia yang terletak di Bandar Kapit yang juga antara salah satu Bandar yang wujud di persisiran Sungai Rejang, Sarawak. Siap sepenuhnya pada tahun 1880 dan pada masa itu kubu ini digelar Fort Kapit iaitu mengambil bersempena dimana ianya didirikan. Namun hanya pada tahun 1925 barulah ianya ditukarkan kepada nama Fort Sylvia, iaitu mengambil nama Ranee of Sarawak pada ketika itu Lady Sylvia Brett yang merupakan isteri kepada Rajah Ke-3 Sarawak iaitu Rajah Charles Vyner Brooke.


Seperti kebanyakan kubu-kubu yang didirikan di seluruh Sarawak Kingdom pada waktu dulu, berdirinya Fort Sylvia di Kapit adalah semata-mata untuk tujuan pemantauan dan juga memusatkan pentadbiran Sarawak Kingdom pada waktu itu. Dan Fort Sylvia ini sebenarnya memainkan peranan yang penting di dalam memastikan bahawa etnik Iban yang ramai mendiami persisiran Sungai Rejang tidak meluaskan wilayah mereka sehingga ke kawasan Kaum Orang Ulu Sarawak pada ketika itu.


Di ketika era Brooke, Kapit sebenarnya dijuristifasikan di bawah pentadbiran Bahagian Ketiga iaitu Bahagian Sibu. Dan kerana itulah Fort Sylvia itu penting bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran kakitangan Kerajaan Sarawak Kingdom termasuk pasukan polis dan tenteranya boleh dikawal selia dengan baik. Dan pegawai pentadbiran pertama yang bertugas di Fort Sylvia pada ketika itu dimulai oleh seorang bernama Francis Domingo De Rozario yang bertugas di Fort Sylvia dari tahun 1880 sehingga 1911.


Fort Sylvia ini sebenarnya telah banyak menyaksikan peristiwa-peristiwa bersejarah di dalam rentetan sejarah Sarawak suatu waktu dahulu. Dan disinilah banyak peristiwa penting yang pernah berlaku yang hakikat generasi kita sekarang memandang sipi akan kewujudannya di bumi Kapit. Di Fort Sylvia inilah tentera Sarawak Kingdom telah melancarkan beberapa peperangan terhadap penentang-penentang pentadbiran Brooke di kawasan Kapit dan sekitarnya seperti:


  • Ekspedisi Pertama Bukit Batu (9.2.1881)

  • Ekspedisi Cheremin (19.6.1894)

  • Ekspedisi Yong (25.6.1894)

  • Ekspedisi Gaat Kedua (22.2.1915)

  • Ekspedisi Mujong (14.5.1915)

  • Ekspedisi Naga Pila (2.4.1916)


Oleh Fort Sylvia ini merupakan sebuah kubu yang juga menempatkan pentadbiran Brooke di Kapit maka disinilah juga banyak termeterainya perjanjian-perjanjian perdamaian antara kaum dilestarikan. Kesemuanya bagi memastikan bahawa bumi Kapit dan sekitarnya akan lebih aman. Antara perjanjian perdamaian yang dibuat di Fort Sylvia adalah:


  • Perjanjian Damai Merum dimeterai pada 20.10.1907

  • Perjanjian Damai antara etnik Iban dengan Kayan, Kenyah dan Kajang yang dimeterai pada 16.11.1924


Apabila Sarawak menjadi sebuah tanah jajahan Koloni British, Fort Sylvia masih lagi memberikan perkhidmatannya yang terbaik di dalam memastikan pentadbiran Koloni British Borneo di Kapit dapat ditadbir dengan baik. Sekitar tahun 1960an, Fort Sylvia dijadikan pusat pentadbiran bagi Pejabat Daerah Kapit dan juga Kapit District Court House. Sekitar tahun 1973, ketika Bahagian Kapit diwujudkan bagi memastikan Sarawak Bumi Kenyalang mampu mengurus tadbir Bahagian Kapit ianya dijadikan Pejabit Residen Bahagian Kapit pada ketika itu.


Sekitar May 1997, dengan dana daripada Kerajaan Negeri Sarawak yang memberikan sepenuh kepercayaan kepada Yayasan Tun Jugah untuk menguruskan Fort Sylvia, akhirnya Fort Sylvia yang pada ketika itu sudah hamper usang akhirnya dipulihara semula. Pada tahun 1998 ianya dibuka dengan rasminya dan menjadi Muzium yang menempatkan segala sejarah mengenai Kapit baik dari segi tokoh-tokohnya, hasil kraftangan dan banyak lagi.


 
 
 

Comments


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page