top of page

FROM MALUDAM WITH LOVE

  • Aug 8, 2015
  • 3 min read

FROM MALUDAM WITH LOVE


Mungkin ramai bangsa Sarawak sendiri belum pernah menjejakkan kakinya ke daerah kecil ini memandangkan ianya tidak begitu popular seperti daerah-daerah yang lain dan lokasinya agak ke pedalaman.

Daerah Maludam merupakan salah satu daerah kecil yang berada di bawah pentadbiran Bahagian Betong, Sarawak. Ianya meliputi beberapa buah perkampungan nelayan kecil serta beberapa buah rumah panjang yang mana majoriti penduduknya adalah dari etnik Melayu Sarawak, Iban dan juga dari kaum Cina. Maludam yang dahulunya adalah hanya sebuah pekan kecil telah pun dinaikkan taraf menjadi Daerah pada tahun 1985.


Daerah Maludam sebenarnya terletak kira-kira 78.2 kilometer dari bahagian barat ibu negeri Sarawak iaitu Kuching. Ianya boleh dihubungi dengan jalan air mahupun dengan jalan darat. Salah satu keunikan Maludam ini adalah dari suku kaum yang mendiaminya khususnya etnik Melayu kerana menurut sejarahnya rata-rata etnik Melayu Maludam ini asalnya adalah dari golongan Melayu Asli Sarawak atau apa yang dipanggil Orang Laut.


Merekalah sebenarnya antara asli Melayu Sarawak yang tidak mempunyai apa-apa campuran ataupun berhijrah daripada mana-mana daerah di dalam Kepulauan Borneo yang membentuk masyarakat Melayu Sarawak sekarang. Kebanyakan daripada Melayu Asli dari daerah Maludam ini dahulunya adalah mereka yang berkerja sebagai nelayan dan sehingga sekarang Maludam masih lagi mempunyai perkampungan-perkampungan kecil nelayan yang telah mengeluarkan produk-produk berasaskan makanan laut dan sebagainya.


Menurut cerita lisan daripada orang tua di Daerah Maludam, sebenarnya nama Maludam ini diambil daripada nama seorang penduduk asal Maludam yang telah membuka Maludam itu sendiri. Dikatakan pada masa itu hanya ada Melayu asli Sarawak dan iban yang mendiami Maludam dan terdapatlah seorang pemuda iban yang amat gemar serta mahir “memento” iaitu menangkap ketam. Nama Adam sangat gah di perkampungan-perkampungan di sekitar Maludam kerana tidak pernah dia pulang dengan tangan kosong sekiranya dia turun “memento”.


Namun begitu Adam bukanlah seorang yang gemar bercakap dan amat pemalu orangnya. Setiap kali apabila penduduk bertembung dengannya mesti ramai yang ingin bertanya apakah rahsia dia mahir menangkap ketam namun setiap jawapan hanya dibalas dengan senyuman. Kerana itulah seringkali penduduk-penduduk tempatan memanggilnya “Malu Adam” atau “Malu Dam” dan lama kelamaan ianya terus meniti di bibir mulut penduduk tempatan memanggil daerah itu sebagai Maludam.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa ada sebuah sekolah di Daerah Maludam yang dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Maludam sekarang mempunyai satu sejarah yang pelik di dalam lipatan sejarah Sarawak iaitu SK Maludam pernah mendapat jolokan “Sekolah Terpanjang” di Sarawak suatu waktu dahulu. Asas sekolah ini pada mulanya adalah terletak di Kampung Hilir Maludam dan dibuka pada tahun 1946.


Sebenarnya sekolah ini mempunyai kaitan secara langsung dengan semangat anti penyerahan (anti Cessionist 1946) yang pernah berlaku di bumi Sarawak suatu waktu dahulu yang mana ketika ini ramai guru-guru telah meletak jawatan sebagai pendidik kerana membantah Negara Sarawak (Sarawak Kingdom) diserahkan menjadi jajahan Koloni British. Atas kesedaran penduduk tempatan Maludam itu iaitu warga pendidiknya yang telah meletak jawatan sebagai guru di sekolah kerajaan telah bersama-sama membuka sekolah rakyat. Pada ketika itu Encik Haji Mas bin Mas Jais bersama-sama dengan penduduk tempatan Maludam telah bergotong-royong membuka sekolah tersebut seadanya dengan beratap dan berdindingkan daun nipah serta berlantaikan tanah.


Sekitar tahun 1948 akibat daripada desakan murid-murid yang bertambah akhirnya SK Maludam telah berpindah ke Kampung Hulu Maludam sehinggalah sekarang. SK Maludam terkenal dengan jolokan sekolah terpanjang di Sarawak kerana suatu waktu dahulu SK Maludam hanya terus menambah bilik kelasnya memanjang malah bilik gurunya juga selari dengan bilik kelasnya dan dari sehari ke sehari ianya bertambah panjang sehingga sempadan tanahnya menjadi sempit. Setelah berpindah ke Kampung Hulu Maludam barulah sekolah ini mendapat ruang yang mencukupi untuk membina beberapa struktur bangunan yang lain sehinggalah seperti kewujudannya sekarang.


Jika Kinabatangan, Sabah terkenal dengan satu-satunya santuari hidupan Monyet Belanda ataupun di dalam Bahasa Inggerisnya The Red Banded Langur (Presbytis Chrusomelas Cruciger), di Taman Negara Maludam juga terkenal dengan hidupan yang sama. Malah ianya adalah satu-satunya Taman negara di Sarawak yang mempunyai habitat penghidupan mamalia ini. Keluasan Taman Negara Maludam adalah 432 kilometer persegi dan dijadikan sebagai Taman Negara Maludam pada tahun 2000.


Mungkin ramai bangsa Sarawak sendiri yang tidak mengetahui kewujudan Taman Negara Maludam ini kerana untuk kesekian kalinya taman negara ini masih lagi belum dibuka untuk lawatan umum dan segala-galanya dilakukan bagi menjaga penghidupan mamalia Monyet Belanda serta beberapa spesis hidupan mamalia lain seperti lutung dan juga burung-burung yang habitat mereka semakin berkurangan di bumi Sarawak.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih-Sayangnya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


 
 
 

Comments


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page