PANGLIMA BURUNG
- Aug 9, 2015
- 2 min read

PANGLIMA BURUNG
- Srikandi Perang Dayak Borneo
Di dalam rentetan sejarah bangsa Dayak di Borneo sudah tentu banyak figura-figura kepahlawanan yang ditonjolkan lebih-lebih lagi dari bangsa Dayak Borneo dahulunya begitu gah dengan kepahlawanan mereka sewaktu perang perluasan wilayah di bumi Borneo suatu waktu dahulu. Panglima atau Pangkalima adalah nama-nama gelaran yang sering diberikan kepada tokoh-tokoh pahlawan perang masyarakat Dayak Borneo.
Panglima Burung merupakan seorang panglima yang terlalu gah namanya sehingga ianya menjadi legenda menurut kepercayaan Dayak Borneo. Pangkalima Burung atau Panglima Burung adalah panglima perang Dayak Borneo yang penuh dengan legendanya tersendiri dan siapakah gerangan figura legenda ini seharusnya setiap masyarakat Borneo harus mengetahuinya.
Apabila berbicara mengenai Panglima Burung ini sememangnya ia mempunyai versi-versi yang banyak lebih-lebih lagi ianya mewakili etnik Dayak yang mempunyai pelbagai sukuan di dalam masyarakat mereka. Dan apa yang pasti Panglima Burung ini digambarkan sebagai seorang wanita Dayak yang mempunyai paras yang amat cantik serta mempunyai ilmu kesaktian perang yang tinggi. Dikatakan sebelum beliau diangkat menjadi srikandi perang Dayak, beliau suatu waktu dahulu bernama Burung Mansau.
Selain daripada itu, Panglima Burung juga menurut kepercayaan masyarakat Dayak Borneo adalah sebenarnya jelmaan seekor burung enggang iaitu burung suci masyarakat Dayak Borneo. Ketika hari biasanya dikatakan Panglima Burung ini lebih gemar untuk menampilkan dirinya sebagai seekor burung enggang tetapi apabila ada masyarakat Dayak Borneo yang ditimpa musibah lebih-lebih lagi di dalam kekalutan perang maka Panglima Burung ini akan menampilkan dirinya sebagai seorang wanita Dayak yang gagah dan serba serbi arif di dalam ilmu peperangan.
Lihat sahaja sewaktu berlakunya Perang Sampit yang berlaku di Kalimantan sekitar tahun 2000 dinyatakan bahawa Panglima Burung berserta dengan beberapa figura pahlawan Dayak yang magis dan supernatural seperti Panglima Kumbang, Panglima Api juga dikatakan turut turun berperang membantu masyarakat Dayak Borneo yang berperang habis-habisan dengan masyarakat Madura di Kalimantan yang telah mengorbankan banyak nyawa.
Bukan itu sahaja, sebenarnya nama Panglima Burung ini seringkali disebut-sebut di dalam pelbagai teks sejarah tamadun Dayak Borneo sejak dahulu lagi dan kerana itulah srikandi perang Dayak Borneo ini amat dihormati sehingga membolehkan hanya dengan ritual-ritual tertentu sahaja barulah beliau akan menjelma. Antara teks sejarah kuno yang menceritakan susok-susok Panglima Burung ini adalah daripada satu teks sejarah yang menceritakan bagaimana perihnya penghidupan masyarakat Dayak sewaktu penaklukan Jepun di bumi Borneo karangan Syafaruddin Usman bertajuk “Tanah Mandor Bersimbah Darah”.
“Dalam pergaduhan demikian, beberapa orang panglima seperti Pangdiyo, Panggalinan, Panglima Burung, Jampi muncul disebalik semak sambil menjinjing kepala pimpinan heiho bernama Yamamani. Perwira tinggi kaigun Yamamoto yang melarikan dirinya berusaha mencari perlindungan dan menerobos rumah seorang Cina bernama Djap Kio.” – Syafaruddin “Tanah Mandor Bersimbah Darah”.
Petikan di dalam buku Tanah Mandor Bersimbah Darah ini hanya salah satu daripada bukti-bukti kewujudan Panglima Burung di dalam penghidupan masyarakat Dayak Borneo dan sudah tentu apabila munculnya Panglima Burung, srikandi perang ini sudah tentu ada sahaja kepala musuh yang bercerai dari badan dek penangan seorang wanita Dayak yang begitu magis dan legendary.
#KamekSayangSarawakBah!


Comments