top of page

PERAYAAN GAWAI DAYAK

  • Aug 8, 2015
  • 5 min read

PERAYAAN GAWAI DAYAK


Pada setiap 1 Jun saban tahun, rakyat di Sarawak Bumi Kenyalang akan merayakan satu sambutan perayaan yang gilang-gemilang penuh dengan adat tradisi dan budaya yang diwarisi sejak dari zaman nenek moyang masyarakat Dayak dan perayaan ini digelar Perayaan Gawai Dayak. Perayaan Gawai Dayak ini disambut dengan meriahnya di kota mahupun desa oleh bangsa Sarawak dari seluruh lapisan masyarakat Dayak Sarawak.


Perayaan Gawai Dayak di Sarawak sebenarnya telah pun diadakan berabad lamanya dan ianya hanya digazetkan sebagai cuti umum setelah Sarawak merdeka daripada jajahan Koloni British Borneo. Dan ianya suma adalah atas inisiatif NGO-NGO dan barisan kabinet pertama Negara Sarawak yang sama-sama membentuk Gagasan Malaysia di bawah Ketua Menteri Sarawak yang pertama iaitu Mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan. Hanya sekitar tahun 1965 barulah Perayaan Gawai Dayak diadakan secara besar-besaran memandangkan ianya sudah menjadi cuti umum bagi Sarawak Bumi Kenyalang sehinggalah sekarang.


Jadi kerana itulah perayaan Gawai Dayak merupakan salah satu perayaan utama di bumi Sarawak lebih-lebih lagi di bumi Sarawak perkahwinan campur banyak diamalkan sehingga membenarkan hampir setiap keluarga Bangsa Sarawak mempunyai keluarga yang merayakan Gawai Dayak dan sambutannya sudah tentu disambut oleh keseluruhan sahabat handai dan kaum keluarga daripada pelbagai kaum dan agama. Inilah antara keunikan sebagai Bangsa Sarawak yang tiada pada negeri-negeri di dalam Gagasan Malaysia.


Perayaan Gawai Dayak seperti juga perayaan Hari Kaamatan bagi Sabah juga sebenarnya merupakan acara keagamaan simbolik tentang semangat padi. Menurut legenda perayaan Gawai Dayak ini adalah bertitik tolak kepada satu cerita legenda suatu waktu dahulu apabila masyarakat Dayak sedang dilanda musibah kebuluran. Pada ketika itu dikatakan hampir setiap tuaian padi tidak menjadi seperti yang diharapkan. Di ketika itulah masyarakat Dayak telah memohon bantuan daripada petara mereka bagi mengungkai segala permasalahan ini.


Dan akhirnya permintaan mereka dimakbulkan dengan petara lalu memperturunkan satu mimpi kepada satu pasangan suami isteri bagi menyelesaikan permasalahan itu. Menurut mimpi tersebut, pasangan suami isteri harus membuat korban keatas anak mereka yang satu-satunya. Walaupun berat hati untuk melakukannya tetapi akibat daripada terus kebuluran akhirnya pasangan suami isteri mahu tidak mahu membuat korban keatas anak mereka sebagai satu galang ganti.


Setelah melakukan pengorbanan tersebut dengan penuh adat dan tradisi akhirnya apabila musim menuai padi ternyata hasil tuaian mereka telah berlipat kali ganda. Bertitik tolak daripada itu, masyarakat Dayak merayakan Perayaan Gawai Dayak dengan penuh adat istiadat tradisi dan budaya bagi mengingati semangat padi yang telah memberikan rezeki yang melimpah ruah keatas mereka.


Perayaan Gawai Dayak sebenarnya mempunyai banyak tujuan dan tidak semestinya dirayakan pada 1 Jun sahaja kerana yang diadakan pada tarikh tersebut adalah satu perayaan Gawai Dayak yang umum. Gawai Dayak juga mempunyai beberapa jenis gawai yang diadakan bersesuaian dengan waktu dan masa mengikut kehendak masyarakat dayak di dalam satu komuniti.


Antara gawai-gawai tersebut adalah:


• Gawai Batu - Diadakan untuk mengasah peralatan besi seperti parang dan kapak supaya tajam sebelum musim menebas dan menebang; • Gawai Benih - Diadakan untuk mendoakan benih padi membesar dengan baik dan bebuah bagus sebelum menanam padi; • Gawai Ngalih ka Tanah - Diadakan untuk tujuan memajakkan semula tanah yang tidak subur lagi • Gawai Ngemali Umai - Diadakan untuk tujuan mengembalikan huma/sawah yang tanahnya tidak subur serta menyebabkan hasil tuaian padi tidak produktif; • Gawai Bersimpan - Diadakan untuk menyimpan padi setelah selesai menuai; • Gawai Burung – Diadakan untuk menyembah dan memuja Sengalang Burong sebagai dewa peperangan dan pertahanan;

• Gawai Mimpi - Diadakan untuk meraikan atau menawar petanda mimpi yang baik atau buruk; • Gawai Kenyalang - Juga dikenali dengan nama Gawai Diri atau Gawai Tras. Ianya diadakan untuk menunjukkan kejayaan seseorang setelah pulang berjalai (mengembara ke negeri orang) ataupun diadakan sebelum memulakan perjalanan yang jauh. • Gawai Pangkung Tiang - Diadakan untuk memukul tiang utama rumah sesudah pindah ke rumah baru sebelum ada kematian bagi memohon "gayu guru, gerai nyamai senang lantang nguan menoa" (panjang umur, sihat walafiat serta senang lenang mendiami dunia; • Gawai Tuah- Diadakan untuk memcari atau memasukkan tuah ke dalam bilik seseorang; • Gawai Tajau – Diadakan untuk meraikan perolehan tempayan oleh seseorang; • Gawai Sakit – Diadakan untuk memohan orang yang sakit supaya cepat sembuh. • Gawai Antu - Ini merupakan merupakan perayaan yang terakhir untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia); • Gawai Lelabi – Diadakan untuk mengumumkan bahawa seseorang anak dara itu sudah bersedia untuk kahwin atau sudah dipinang orang dan tidak lama lagi akan berkahwin.


Ada dua lagi jenis gawai yang boleh diraikan sekitar Hari Gawai atau jika ada diberitahu dalam mimpi iaitu:


• Gawai Nimang Bulu - Ini adalah gawai yang dikhaskan untuk memanjangkan umur sesorang yang mendirikan gawai ini di mana sehelai baju bulu akan dijahit dan dibuat oleh sekumpulan wanita selepas habis timang dinyanyikan oleh sekumpulan lemambang and Antu Gayu (Hantu Panjang Umur) akan dijemput datang untuk menjamu piring dan mengurniakan panjang umur. Mengikut cerita tradisi orang Iban, Antu Gayu telah memberi ubat batu gayu kepada seorang leluhur yang bernama Menggin yang panjang usianya sehingga 7 generasi sebelum dia memberitahu rahsia panjang umur dia kepada orang lain lalu meninggal dunia.


• Gawai Nangga Langit – Ini adalah satu gawai yang dikhaskan untuk meminta pengampunan jika ada hantu yang menyuruh manusia melakukan sesuatu yang tidak baik seperti membunuh 7 orang. 7 ekor babi akan digunakan untuk gawai ini yang diadakan selama 7 hari 7 malam. 7 biji kelapa digunakan untuk mengantikan 7 biji kepala manusia. Sebuah tangga dibina daripada tanju ke atas bumbung rumah panjang di mana sebuah mahligai dibina untuk sesorang yang mohon pengampunan itu boleh nampok (bertapa) di atas sana. Mengikut cerita Iban, leluhur yang bernama Bejie yang hidup di suatu tempat yang dipanggil Katapang telah membina tangga yang tinggi sehingga mencecak awan untuk berjumpa petara atau Tuhan sewaktu ketika dahulu tetapi akhirnya roboh.


Perayaan Gawai Dayak yang umum mempunyai beberapa rutin yang harus dilengkapi dengan secukupnya kerana ini merupakan adat tradisi dan budaya yang telah dipraktikkan berkurun lamanya. Rutin dan sambutannya akan diraikan 2 hari sebelum 1 Jun iaitu dengan aktiviti gotong-royong membuat pembersihan halaman rumah panjang serta kubur nenek moyang mereka.


Pada siang 31 Mei pula, lazimnya penghuni rumah panjang akan mengadakan pelbagai kegiatan termasuk pertandingan menyumpit, lumba lari, sukaneka dan sepak takraw. Pada sebelah malam menjelang Gawai, penduduk akan berkumpul di ruai (serambi) ketua rumah panjang dan membawa juadah masing-masing menunggu detik 12 malam.


Tepat jam 12 malam, mereka akan melaungkan jeritan `wooo haaa' tiga kali dan disusuli upacara meminum air tuak yang menandakan perasmian Gawai pada tahun itu. Bermula dari saat itu pelbagai acara diadakan termasuk ngajat (tarian tradisional), gendang tandak (joget) dan pukulan gendang berterusan sehingga awal pagi,


Pada 1 Jun seawal jam 9 pagi , upacara berdoa beramai-ramai diadakan di tiang khas berdekatan rumah dikenali tiang pengingat. Ini sebagai tanda kesyukuran dan meminta kepada tuhan supaya hasil usaha mereka berjaya. Pagi itu juga, mereka yang mempunyai anak kecil akan dimandikan beramai-ramai dalam upacara ‘meri anak mandi' (memandikan anak). Ia bertujuan meminta restu dari dewa sungai supaya anak mereka mempunyai kehidupan yang sejahtera pada masa depan.


Bagi mereka yang tidak pernah berkunjung ke rumah panjang, pagi 1 Jun adalah masa terbaik untuk melawat kerana ketika sesi ’ngalu ka temuai' (sesi menyambut tetamu), semua orang boleh ‘ngabang' (melawat) walaupun tidak mengenali penghuni rumah berkenaan. Ketika upacara `ngalu ka temuai', semua ‘pengabang' (pelawat) akan diminta turun ke tanah semula dan berbaris untuk mengelilingi seluruh serambi rumah sambil disambut dengan tuak oleh wakil setiap keluarga.


Pada sebelah malam, lazimnya ramai pasangan mengambil peluang melangsungkan upacara ‘melah pinang ‘(persandingan atas gong) yang merupakan salah satu adat perkahwinan masyarakat Dayak yang diamalkan sehingga sekarang. Banyak lagi upacara diadakan sempena Gawai dan kemeriahannya berlangsung sebulan.


Upacara penutup Gawai dikenali sebagai ngiling tikai (menggiling tikar).iaitu satu upacara simbolik yang akan diadakan di rumah-rumah panjang sebagai menandakan bahawa Perayaan Gawai sudahpun tamat.


Inilah sedikit sebanyak tentang perayaan Gawai Dayak yang dirayakan oleh masyarakat Dayak di seluruh Sarawak saban tahun. Satu perayaan yang sebenarnya merupakan perayaan terbesar untuk masyarakat di Sarawak kerana ianya juga turut dirayakan oleh segenap lapisan masyarakat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama. Lan Berambeh Ke Sarawak!


 
 
 

Comments


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page