TERABAI
- Aug 9, 2015
- 1 min read

TERABAI
- Barangan Warisan Komuniti Dayak
Terabai atau Perisai merupakan satu hasil kerjatangan daripada etnik peribumi Dayak Sarawak yang diwarisi zaman berzaman. Pembuatannya dikatakan bukanlah semudah seperti yang disangka kerana dikatakan hanya mereka yang terpilih sahaja yang mampu menghasilkan kerja tangan yang halus kepada terabai tersebut. Kekuatan terabai juga dikatakan terletak kepada ukiran yang ada pada terabai tersebut.
Ukiran bagi terabai boleh diukir di dalam pelbagai bentuk dan setiap bentuk yang dihasilkan mempunyai maksud-maksud yang tertentu yang mana dipercayai ukiran tersebut akan memberikan kekuatan kepada si pemakainya. Bagi etnik Iban, ukiran “Antu Engkeramba” adalah yang paling banyak digunakan. Ukiran “Antu Engkeramba” dikatakan boleh memberikan perlindungan kepada tuannya sehingga memungkinkan tuannya akan gagah dan berani sewaktu di dalam peperangan.
Terabai sebenarnya boleh diperbuat dengan pelbagai saiz mengikut kesesuaian mereka yang menempah. Ianya boleh diperbuat dengan bentuk yang besar, sederhana besar sehinggalah kepada saiz yang kecil sekali. Jenis-jenis kayu juga menentukan kelasakan terabai tersebut kerana terabai pada zaman dahulu digunakan untuk pahlawan-pahlawan pergi berperang terutama sekali ketika Perang Kayau diadakan.
Sesuai dengan peredaran waktu sekarang, Terabai tidak lagi menjadi salah satu alat untuk pergi berperang tetapi sebaliknya ianya lebih kepada satu warisan di dalam keluarga yang mana hampir kesemua keluarga etnik Dayak Sarawak sudah tentu mempunyai warisan seperti ini yang akan diperturunkan kepada generasi mereka daripada nenek moyang mereka.
Walau bagaimanapun sesuai dengan kecantikan dan keunikan terabai itu sendiri, terabai juga banyak dijadikan perhiasan di rumah-rumah rakyat Sarawak yang bukan berbangsa Dayak juga bagi menunjukkan kemegahan kepada lambang warisan kraftangan Sarawak kepada dunia.


Comments