TUN DATUK ABANG HAJI OPENG BIN ABANG SAPI’EE
- Aug 9, 2015
- 2 min read

TUN DATUK ABANG HAJI OPENG BIN ABANG SAPI’EE
- Tuan Yang Terutama Gabenor Sarawak 1963 hingga 1969
Tun Datuk Abang Haji Openg bin Abang Sapi’ee merupakan anak jati Sarawak yang pertama yang dilantik menjadi TYT Gabenor Sarawak setelah Sarawak merdeka daripada Koloni British suatu waktu dahulu. Beliaulah bersama-sama dengan Ketua Menteri Sarawak yang pertama iaitu Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkang telah bersama-sama membuat permasyhuran Sarawak sebagai antara yang membentuk Gagasan Malaysia pada tanggal 16hb September 1963 di Padang Central, Kuching, Sarawak.
Tun Abang Haji Openg bin Abang Sapi’ee dilahirkan pada 7hb Oktober 1905. Mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kerajaan Kuching dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Saint Anthony, Sarikei. Kerana kecenderungannya untuk menimba ilmu maka pada usia remajanya juga beliau telah sekali lagi melanjutkan pelajarannya di Sekolah Malam Saint Thomas, Kuching.
Memulakan kariernya sebagai penjawat awam di sebuah Jabatan Kerajaan pada November 1942. Atas usaha beliau yang sentiasa dedikasi di dalam pekerjaannya maka beliau pernah menjawat beberapa jawatan penting seperti Ahli Supreme Council, Ahli Badan Peperiksaan Pegawai-Pegawai Kerajaan, Superintenden Penjara dan Presiden Majlis Ugama Islam Sarawak. Setelah bersara daripada menjadi penjawat awam pada tahun 1951, beliau terus diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Ugama Islam Sarawak sehinggalah beliau dilantik sebagai Gabenor Sarawak Yang Pertama pada 13hb September 1963.
Tun Abang Haji Openg bin Abang Sapi’ee mendirikan rumahtangganya dengan Dayang Masniah binti Abang Haji Abdul Rahman dan hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan dengan 10 orang anak. Antara legasi beliau yang mewarisi kepimpinannya adalah anak beliau yang masih lagi mengungguli dunia politik Sarawak iaitu Datuk Seri Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg yang juga merupakan Menteri Perumahan di dalam Kabinet Negeri Sarawak sekarang.
Jika disoroti sumbangan beliau di dalam memperjuangkan kemerdekaan Sarawak sebagai sebuah negara merdeka pada suatu waktu dahulu, Tun Abang Haji Openg merupakan antara delegasi yang mewakili Sarawak British Borneo sewaktu di ambang kemerdekaan. Setelah kata sepakat dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London yang berlangsung selama 2 minggu.
Maka pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Gagasan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Kerajaan Sabah pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari Kerajaan Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Tun Datuk Abang Haji Openg sendiri. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee.
Tun Datuk Abang Haji Openg menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 28hb Mac 1969. Semoga roh beliau sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.


Comments