BUBUR PEDAS
BUBUR PEDAS
- Menu “Wajib Ada” Apabila Bersungkei Di Sarawak
Ramadhan..satu-satunya bulan yang penuh keistimewaan dengan kita merehatkan perut kita untuk seketika di sebelah siangnya menahan lapar dan dahaga sebelum kita mula berbuka puasa selepas matahari terbenam, Jika di Sarawak, berbuka puasa dipanggil “Sungkei” di dalam dialek Melayu Sarawak.
Dan bagi setiap masyarakat Melayu Sarawak sudah tentu mempunyai menu-menu tersendiri yang ingin dirasa apabila tiba masa bersungkei. Jika di Semenanjung Malaysia gah dengan bubur lambuk namun begitu bagi masyarakat Melayu Sarawak, apalah maksud Ramadhan jika tidak merasa walaupun hanya untuk sekali satu menu istimewa iaitu menu tradisi Bubur Pedas.
Mengikut sejarahnya menu Bubur Pedas berasal daripada Kabupaten Sambas, Kalimantan Barat Indonesia. Menu Bubur Pedas ini adalah menu tradisi yang dibawa oleh masyarakat Melayu Sambas yang berhijrah ke Sarawak sewaktu dahulu dan akhirnya menyerapi di dalam menu masakan masyarakat Melayu Sarawak itu sendiri.
Ianya tidak menghairankan kerana ramai Melayu Sarawak mengikut susur-galor keturunannya adalah berasal daripada kabupaten-kabupaten di Kalimantan Barat, Indonesia. Satu tanah satu pulau maka sejarah ini tidak boleh dinafikan kewujudannya. Jadi apabila rakyat sepulau mempunyai satu menu yang sama cuma mungkin pembuatan dan isi kandungannya berbeza-beza.
Menu tradisional masyarakat Melayu Sarawak iaitu bubur pedas memang sukar untuk didapati di mana-mana negeri di Malaysia selain daripada Sarawak. Hanya namanya sahaja bubur pedas tetapi jika merasainya ianya langsung tidak pedas. Bubur pedas ini agak unik sekali kerana ianya diperbuat daripada rempah khas bubur pedas yang dipanggil “Bumbu Bubur Pedas”.
Jika di zaman dahulu, kaum wanita Sarawak akan sama-sama bergotong royong menyediakan bumbu dengan mengadunkannya serta menghancurkannya menjadi serbuk menggunakan kaedah tradisional seperti penggunaan penumbuk dan alu namun begitu buat masa sekarang industri pembuatan Bumbu Bubur Pedas telah menemui era yang lebih moden dengan mesin-mesin moden yang boleh mengeluarkan produk Bumbu Bubur Pedas lebih kepada bentuk komersial.
Penyediaan Bubur Pedas tidaklah begitu merumitkan kerana dengan adanya Bumbu segalanya telah dipermudahkan. Kelazatan bubur pedas akan lebih terserlah jika disediakan bersama-sama dengan kulit lembu yang sudah dikeringkan kemudian dipotong halus-halus ataupun dipanggil “Kerapen” di dalam bahasa Melayu Sarawak.
Tidak lupa juga apalah makna Bubur Pedas jika tidak dicampur dengan sayur-sayuran ulam-ulaman seperti pucuk singkel, daun kunyit, pucuk ubi bagi menambahkan keasliannya. Apa yang pasti segala isi kandungan bagi pembuatan Bubur Pedas ini telah dibuktikan mempunyai pelbagai khasiat dan vitamin bagi mengembalikan stamina setelah seharian menahan lapar dan dahaga. Berdasarkan kepada itu maka tidak menghairankan mengapa bubur pedas ini menjadi menu tradisi di setiap bulan Ramadhan bagi masyarakat Melayu Sarawak.
Walau bagaimanapun sejajar dengan waktu, menu tradisi Masyarakat Melayu Sarawak ini tidak hanya dihidangkan untuk juadah berbuka puasa bagi keluarga-keluarga di Sarawak namun ianya juga telah mengembangkan sayapnya dengan turut sama dihidangkan di restoran mewah dan juga hotel-hotel bertaraf 5 bintang.