DATO’ PENGHULU TAWI SLI
DATO’ PENGHULU TAWI SLI
- Ketua Menteri Sarawak Yang Ke-2 (1966 – 1970)
Dato’ Penghulu Tawi Sli dilahirkan pada 12hb Jun 1912 di Banting, Sarawak. Mula-mula mendapat pendidikan secara formal beliau di Sekolah St. Thomas Kuching sehinggalah ke Tingkatan 3. Setelah menamatkan persekolahan, Dato’ Penghulu Tawi Sli terus menceburkan diri di dalam karier pendidikan iaitu apabila memilih untuk menjadi seorang guru di sekolah mubaligh Kristian sewaktu menjalani latihan sebagai seorang pastor.
Dato’ Penghulu Tawi Sli sememangnya berasal daripada keluarga yang mementingkan nilai-nilai keagamaan yang tinggi iaitu kedua ibubapanya dikatakan adalah pengikut agama Kristian Anglican yang setia jadi ianya tidak menghairankan jika Dato’ Penghulu Tawi Sli sewaktu zaman remaja lebih memilih untuk menjadi seorang Pastor daripada pekerjaan yang lain. Setelah menamatkan pengajiannya dan akhirnya diiktiraf sebagai seorang Pastor, Dato’ Penghulu Tawi Sli telah ditawarkan untuk menjawat jawatan sebagai Kerani di sebuah organisasi Kerajaan di Sarawak. Beliau akhirnya melepaskan jawatannya pada tahun 1961 bagi memberi ruang kepadanya untuk bergiat di dalam arena politik.
Sekitar tahun 1963, Dato’ Penghulu Tawi Sli telah dilantik sebagai Penghulu di kawasannya iaitu di Banting dan perlantikan ini menjadi pendorong kuat untuk beliau bergiat aktif di dalam dunia politik Sarawak. Pada ketika itu, beliau sudahpun dilantik sebagai Setiausaha kepada Sarawak National Party (SNAP) Cawangan Simanggang. Pada tahun 1966, Dato’ Penghulu Tawi Sli telah meletakkan kesemua jawatannya di dalam SNAP dan akhirnya menyertai Parti Pesaka Sarawak.
Pada tahun 1966, telah berlaku satu peristiwa besar di dalam kancah politik Sarawak yang dikenali sebagai Krisis Perlembagaan Sarawak 1966. Di dalam krisis perlembagaan ini Ketua Menteri yang pertama iaitu Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan telah menerima undi tidak percaya daripada DUN Sarawak. Sebanyak 21 undi tidak percaya telah diterima daripada 42 ahli Dewan Undangan Sarawak pada waktu itu. Bertitik tolak daripada undi tidak percaya ini, Gabenor Sarawak pada waktu itu iaitu Tun Abang Haji Openg telah memilih Dato’ Penghulu Tawi Sli sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan walaupun hakikatnya Ketua Menteri Pertama Sarawak ini tidak pernah meletak jawatan beliau.
Pada 16 Jun 1966, Dato’ Penghulu Tawi Sli telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke-2. Bertindak daripada perlantikan itu, Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan telah mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Sarawak dan ternyata keputusan mahkamah berpihak kepada beliau yang mana mahkamah mendapati bahawa Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan harus mendapat balik jawatannya semula. Dan kerana itulah jawatan Ketua Menteri Ke-2 Dato’ Penghulu Tawi Sli hanya bertahan selama 3 bulan iaitu berakhir pada 7hb September 1966. Tidak lama selepas itu, pihak Kerajaan Persekutuan Gagasan Malaysia dibawah Perdana Menteri Pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengistiharkan darurat di Sarawak dan kejadiannya ini telah menyebabkan sekali lagi Dato’ Penghulu Tawi Sli telah diangkat menjadi Ketua Menteri Sarawak buat kali ke-2 dan beliau mengangkat sumpah semula pada 23hb September 1966. Dato’ Penghulu Tawi Sli kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke-2 sehingga tahun 1970 dan digantikan oleh Ketua Menteri Sarawak yang ke-3 iaitu Tun Haji Abdul Rahman bin Yaakub. Dato’
Penghulu Tawi Sli bersara daripada dunia politik pada tahun 1974 dan selepas itu beliau banyak menumpukan perhatiannya di dalam urusan perniagaan keluarga sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1987.
Inilah sekelumit kisah perjalanan kerjaya politik dan juga kehidupan Ketua Menteri Sarawak yang ke-2 iaitu Dato’ Penghulu Tawi Sli. Beliau juga merupakan Ketua Menteri Sarawak yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak 2 kali di dalam tahun yang sama. Semoga roh Mendiang Dato’ Penghulu Tawi Sli sentiasa dicucuri rahmat Tuhan. RIP.