FORT EMMA, KANOWIT, SARAWAK
FORT EMMA, KANOWIT, SARAWAK
Fort Emma atau Kubu Emma merupakan salah satu kubu yang dibina oleh Rajah Brooke sewaktu beliau memerintah selama lebih 100 tahun di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Seperti kubu-kubu lain, Fort Emma juga didirikan di Kanowit menghadap Sungai Rejang sebagai salah satu pusat pertahanan dan juga pusat pentadbiran Kerajaan Sarawak Kingdom bagi wilayah Kanowit suatu waktu.
Pada asasnya Fort Emma sebenarnya dibina di satu kawasan yang berdekatan dengan Bandar Kanowit sekarang iaitu ianya siap pada tahun 1851. Pembinaannya yang pertama menggunakan bahan binaan seperti buluh dan nipah namun beberapa tahun selepas itu iaitu sekitar tahun 1859, lokasinya telah dipindahkan menghadap Sungai Rejang sekarang. Dengan senibina yang sama namun bahan binaan untuk Fort Emma yang baru telah dinaikkan taraf kepada penggunaan kayu belian bagi memantapkan kekuatannya.
Sejajar dengan pembinaan Fort Emma ini jugalah pejabat pentadbiran Kanowit diwujudkan agar ianya memudahkan Kerajaan Sarawak Kingdom memantau pergerakan etnik pribumi seperti Iban Rejang, Kanowit dan ramai lagi etnik pribumi di Kanowit daripada bertelingkah atas perebutan wilayah suatu waktu dahulu. Sejarah juga membuktikan bahawa Fort Emma ini juga didirikan dengan menggunakan jerit perih masyarakat tempatan Kanowit. Dan dikatakan sebagai upah daripada mereka membina Fort Emma kepada Kerajaan Sarawak Kingdom semasa itu maka akan memberikan upah berbentuk gula, garam, tembakau dan banyak lagi.
Kubu yang terletak di Kanowit ini diberikan nama Fort Emma mengambil bersempena nama adik kepada Rajah James Brooke iaitu Emma Brooke. Suatu waktu dahulu dikatakan bahagian tingkat bawah Fort Emma dikatakan memang disengajakan tidak bersimen kerana disitulah dikatakan ditempatkan pesalah-pesalah yang ditangkap di sekitar Kanowit sebelum dihadapkan ke mahkamah. Pada ketika itu, pihak tentera Sarawak Kingdom berketurunan Sik dan Polis Sarawak Kingdom akan berjaga di Fort Emma.
Di ketika pemerintahan Rajah ke-3 Sarawak Kingdom iaitu Rajah Charles Vyner Brooke, Fort Emma (di tingkat atasnya) dijadikan sebagai antara rumah persinggahan bagi orang-orang besar Sarawak Kingdom yang membuat lawatan ke Kanowit. Disamping itu, Fort Emma juga merupakan pejabat dan penginapan untuk penjawat awam Kerajaan Sarawak Kingdom.
Fort Emma sehingga ke hari ini masih utuh di bumi Kanowit, Sarawak. Sebagai satu tinggalan sejarah Sarawak Kingdom dan juga saksi bisu pembangunan Kanowit sebagai sebuah daerah terpencil nun jauh di pedalaman dan sekarang sedang mengorak langkah menuju pembangunan seperti Bandar-bandar lain di Sarawak Bumi Kenyalang.