top of page

FROM BARIO WITH LOVE


FROM BARIO WITH LOVE


Jika di bumi Malaya terkenal dengan Tanah Tinggi Cameron yang mana ianya juga mempunyai iklim sejuk sederhana sehingga menjadi pemangkin kepada kedatangan pelancong ke kawasan tanah tinggi tersebut namun di Sarawak Bumi Kenyalang juga gah dengan satu lagi daerah yang begitu unik baik dari segi kaum etniknya serta budaya mahupun iklimnya yang seperti sejuk dan berangin kerana lokasinya yang terletak di Tanah Tinggi Kelabit.


Daerah Bario adalah satu-satunya daerah yang terletak di tanah tinggi Sarawak yang dikenali sebagai Tanah Tinggi Kelabit, Miri, Sarawak. Lokasinya nun jauh ke utara Sarawak dan merupakan antara daerah yang bersempadan dengan Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.


Bario sebenarnya terletak di dataran tinggi iaitu kira-kira 1,150 meter dari aras laut di kawasan timur laut Sarawak. Dengan dikelilingi oleh hutan tebal serta faktor muka bumi yang bergunung-ganang seperti Gunung Murud yang merupakan puncak tertinggi di Sarawak menyebabkan Bario beriklim sejuk sederhana dengan suhunya sekitar 16 hingga 25 darjah Celcius.


Dan kerana itulah pemakaian baju tebal adalah sinonim di daerah ini. Kerana lokasinya yang terletak di tanah tinggi maka satu-satunya penghubung ke daerah Bario yang paling cepat adalah dengan menggunakan khidmat pesawat Twin Otter yang boleh diambil dari Miri atau Marudi. Tempoh penerbangan adalah kira-kira 50 minit dari Miri atau 40 minit dari Marudi.


Walau bagaimanapun Bario juga boleh dihubungi dengan jalan darat namun begitu jarak perjalanan darat ini adalah jauh dan mengambil masa yang agak lama. Bangsa Sarawak dari etnik Kelabit merupakan etnik dominan yang mendiami Bario dan mengikut laporan populasi 2010 sekitar 2000 orang etnik Kelabit yang masih mendiami bumi Bario sekarang.


Menurut cerita oral di dalam masyarakat Kelabit di Bario, daerah Bario mendapat nama daripada bahasa Kelabit iaitu Bario yang bermaksud angin. Ini kerana kawasan Bario yang mempunyai iklim yang sejuk serta berangin telah memungkin mereka mengenal diri mereka Kelabit Bario yang bermaksud Kelabit dari tempat yang berangin. Dan sejak itulah digelar kawasan tersebut sebagai Bario sehingga sekarang.


Seperti masyarakat di daerah lain di bumi Sarawak, masyarakat Kelabit Bario juga mempunyai cerita legenda mereka yang unik mengenai keberadaan mereka di bumi Bario sekarang. Di hikayat suatu waktu dahulu seluruh manusia di dunia ini sebenarnya tinggal di kawasan tanah tinggi sehinggalah suatu ketika malapetaka telah menimpa bumi yang mana satu banjir besar telah menenggelamkan bumi ini. Di ketika itu dikatakan ramai manusia telah membina pelbagai bentuk bahtera demi mengharungi banjir itu dan satu masyarakat iaitu masyarakat Kelabit dikatakan telah membina bahtera yang terlalu besar serta berat.


Akibat daripada saiz bahtera yang besar dan berat, bahtera itu tidak dapat dibawa arus banjir itu sebaliknya mereka tersekat di atas tanah tinggi dan tidak ke mana-mana. Apabila banjir sudah reda, hanya masyarakat Kelabit yang menghuni kawasan tanah tinggi dan akhirnya menjadi masyarakat Kelabit yang satu-satunya menghuni Dataran Tinggi Bario.


Bario sebenarnya mempunyai sejarah yang unik kerana di bumi Bario inilah tempat bermulanya Operasi Komando Semut yang dilancarkan oleh Askar Australia sewaktu penaklukan Jepun di bumi Sarawak iaitu ketika Perang Dunia Ke-2 berlaku. Ketika itu Sarawak Kingdom di bawah Rajah ketiga Charles Vyner Brooke tidak mampu mengekang bala tentera “Nippon Go” daripada menduduki bumi Sarawak.


Semasa pendudukan Jepun iaitu pada tahun 1946 inilah Komander Tom Harrison dan beberapa rakan dari Komander Z Batalion Australia telah menggunakan payung terjun untuk berpijak di bumi Bario. Dikatakan kerana faktor geografi Bario yang jauh ke pedalaman dan berada di tanah tinggi menyebabkan operasi ini amat sukar untuk dihidu oleh pasukan perisikan Jepun.


Selesai sahaja bertapak di Bario, Tom Harrison dan rakan-rakannya telah mengaktifkan Operasi Semut iaitu satu perang gerila yang dilancarkan bagi menentang pendudukan Jepun di Sarawak. Di ketika inilah pahlawan-pahlawan dari etnik Kelabit telah bergabung tenaga dengan Komander Z dan oleh kerana mereka masyarakat tempatan jadi selok belok hutan di kawasan sekitar adalah makanan bagi mereka. Pahlawan-pahlawan Kelabit Bario bukanlah sembarangan pahlawan kerana masyarakat Kelabit juga amat terkenal dengan keperwiraan mereka di dalam adat Ngayau iaitu pemburu kepala jadi apabila berperang segalanya tidak menjadi masalah bagi pahlawan Kelabit.


Bumi Bario merupakan pusat untuk perang gerila ini dan dari dataran tanah tinggi mereka telah turun ke lembah yang lebih rendah dan dari sini kekuatan Operasi Semut terus disokong oleh etnik-etnik lain di bumi Sarawak seperti dari etnik Iban, Penan dan banyak lagi. Dan Operasi Komando Semut ini dikatakan telah berjaya memenggal kepala hampir 1,000 orang askar Jepun dan mereka amat digeruni oleh tentera Jepun ketika itu.


Suatu waktu dahulu, masyarakat Kelabit di bumi Bario adalah penganut pagan atau animisme yang mempercayai bahawa burung serta mimpi seseorang akan menjadi petunjuk kepada sesuatu pekerjaan yang hendak dibuat contohnya di dalam pembukaan ladang pertanian namun setelah kedatangan agama sekitar tahun 1940an, rata-rata masyarakat Kelabit di Bario telah memeluk agama Kristian. Setelah kedatangan agama inilah barulah masyarakat Kelabit Bario meninggalkan norma-norma kepercayaan pada semangat ini yang bertentangan dengan ajaran agama Kristian dan mengekalkan budaya dan warisan Kelabit yang unik serta masih terjaga sehingga sekarang.


Penghidupan di tanah tinggi yang jauh dari arus kemodenan menyebabkan masyarakat di Bario terutamanya masyarakat Kelabit menjadi lebih kreatif di dalam pemakanan mereka. Menu tradisional mereka sememangnya dekat dengan alam semulajadi serta kreatif. Mereka menjadikan hutan belantara untuk mendapat bekalan daging segar seperti rusa dan paku pakis tumbuhan hutan sebagai diets mereka. Sungai-sungai yang ada di tanah tinggi merupakan sumber protein segar untuk mereka Di Bario inilah terkenal dengan menu traditional yang dikenali dengan “Smoke Meat” atau Labo Belatoh yang kelazatannya tiada taranya. Ditambah lagi mereka juga menggunakan kaedah konvensional iaitu dapur kayu untuk memasak.


Selain daripada terkenal dengan beras bario yang merupakan satu-satunya penanaman padi yang diusahakan di tanah tinggi Bario yang sememangnya harganya agak mahal di pasaran Malaysia sekarang. Mereka juga mempunyai penyediaan garam yang tersendiri. Garam ini boleh di dapati di tasik garam semulajadi yang ada di tanah tinggi Bario sendiri.


Garam Bario inilah yang menjadikan setiap menu yang disajikan oleh masyarakat Kelabit di Bario agak istimewa berbanding dengan masakan dari etnik yang lain di bumi Sarawak. Walaupun jauh di tanah tinggi di Sarawak dengan serba serbi kekurangan namun anak-anak Bario juga antara mereka yang gah namanya di dalam arena persada kerja-kerja professional baik di Malaysia mahupun di luar negara dan antaranya adalah Datuk Seri Idris Jala.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah


bottom of page