top of page

KERAJAAN ISMAHAYANA LANDAK, KALIMANTAN BARAT, BORNEO


KERAJAAN ISMAHAYANA LANDAK, KALIMANTAN BARAT, BORNEO


Kerajaan Ismahayana Landak, Kalimantan itulah nama satu kerajaan yang pernah wujud di bumi Kalimantan, Indonesia suatu waktu dahulu. Kerajaan-kerajaan yang disebutkan di dalam sebuah buku yang bernama Negara Kertagama yang ditulis pada tahun 1365 oleh Empu Prapanca iaitu seorang penyair dan penulis sewaktu wujudnya Kerajaan Majapahit dibawah pemerintahan Raja Hayam Wuruk Rajasenegara ada menceritakan 21 Kerajaan yang menjadi tanah jajahan Kerajaan Majapahit waktu itu dan salah satu daripadanya adalah Kerajaan Landak atau pada waktu itu dikenali sebagai Nigrat Batur atau Angrat Batur.


Inilah permulaannya sejarah berdirinya Kerajaan Ismahayana Landak yang mempunyai era-eranya tersendiri iaitu sewaktu Hindu menjadi agama rasminya dan seterusnya Islam. Nigrat Batur pada asalnya diperintah secara turun temurun oleh bangsawan dari Singhasari dengan raja pertamanya adalah Ratu Sang Nata Pali 1 yang memerintah Nigrat Batur sehingga Ratu Sang Nata Pulang Pali VII. Perkahwinan antara Ratu Sang Nata Pulang Pali VII yang berketurunan Orang Laut (Melayu Asal Pribumi Borneo) dengan Ratu Permaisuri Dara Hitam, iaitu seorang puteri dari kalangan orang Kedayan Kalimantan telah mengurniakan seorang putera yang bernama Raden Ismahayana.


Pada ketika ini Kerajaan Landak masih lagi dibawah pengaruh Hindu. Setelah kemangkatan ayahandanya iaitu Ratu Sang Nata Pulang Pali VII maka naik takhtalah Raden Ismahayana menjadi raja pemerintah Kerajaan Landak. Bermula disini, Raden Ismahayana telah memindahkan lokasi Kerajaan Landak ke lokasi yang baru iaitu di kaki bukit berhadapan dengan Sungai Menyuke, cabang Sungai Landak dan mengembangkan kuasa Kerajaan Landak ketika itu dengan ibukotanya yang dikenali sebagai Kota Ayu atau Munggu.


Pada ketika itu perpindahan lokasi Kerajaan Landak banyak didorong oleh hasil buminya iaitu intan yang banyak terdapat di Sungai Landak ketika itu. Raden Ismahayana naik takhta dengan menggelar dirinya sebagai Raja Adipati Karang Tanjung Tua Raden Iswaramahayana yang memerintah Kerajaan Landak dari 1472 hingga 1542.


Kerana minatnya yang mendalam atas sahsiah rakyatnya yang telah memeluk Islam, akhirnya Raden Ismahayana telah memeluk agama Islam berserta seluruh keluarganya dan ini diikuti oleh keseluruhan pembesar negeri serta rakyat jelatanya sekali. Dikala ini dia telah menggelar dirinya dengan nama Islam iaitu Raden Abdul Kahar.


Kerajaan Landak mencapai zaman kegemilangannya pada abad 1600M dibawah pemerintahan Anam Jaya Kesuma. Di kala itu Kerajaan Landak mendapat tempias kegemilangan daripada satu lagi kerajaan iaitu Kerajaan Tanjungpura yang juga gah pada masa itu. Kerajaan Tanjungpura pula mempunyai hubungan keluarga dengan Kerajaan Landak melalui perkahwinan adinda Anam Jaya Kesuma iaitu Ratu Mas Djaintan diperisterikan oleh Sultan Muhammad, raja Kerajaan Sukadana yang sememangnya antara pelopor kerajaan Islam di Kalimantan pada masa itu.


Namun begitu terdapat perselisihan berlaku ketika Ratu Mas Djaintan tidak lagi menjadi isteri kepada Sultan Muhammad sehingga Kerajaan Landak telah meminta dipulangkan kembali Intan Kobi yang merupakan Intan leluhur Kerajaan Landak. Atas perkara ini telah berlaku peperangan antara 2 kerajaan ini dan pada perang pertama Kerajaan Sukadana yang mendapat bantuan Inggeris telah berjaya mengalahkan Kerajaan Landak.


Namun begitu pada peperangan kedua, Kerajaan Landak yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Banten yang disokong penuh oleh Belanda telah dapat mengalahkan Kerajaan Sukadana. Diceritakan bahawa Kerajaan Banten melalui sokongan Belanda telah dapat membunuh beratus-ratus tentera Inggeris sehingga ke Sukadana yang membenarkan Kerajaan Landak memenangi perang ke-2 tersebut. Saat inilah kerana terhutang budi, Kerajaan Landak telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada negeri naungan kepada Kerajaan Banten.


Sekitar tahun 1779M, seorang residen Belanda telah ditempatkan di Kerajaan Landak iaitu Residen Willem Andrian Palm. Hal ini tidak disenangi oleh raja dan rakyat Kerajaan Landak pada ketika itu sehinggalah berlakunya pemberontakan tempatan menentang penjajahan oleh Belanda.


Menurut Belanda, Kerajaan Landak adalah dibawah campurtangan mereka memandangkan terhadapat satu perjanjian bertulis antara Kerajaan Banten dengan Belanda yang menyatakan bahawa Kerajaan Banten telah memberikan haknya kepada Belanda atas keseluruhan jajahannya. Pada ketika ini raja dan seluruh rakyat jelata Kerajaan Landak tidak menyenangi atas apa yang berlaku ke atas Kerajaan Landak kerana dikatakan ianya diluar persetujuan Kerajaan Landak itu sendiri.


Atas rasa tidak puas hati yang membuak-buak itu akhirnya pada tahun 1831, pemberontakan terhadap pemerintahan Belanda di dalam Kerajaan Landak telah berlaku dengan dipimpin oleh Ratu Adi. Ketika meleraikan pemberontakan ini, Ratu Adi turut terkorban di tanggan koloni Belanda. Selepas terkorbannya Ratu Adi di tangan Belanda, rakyat dan golongan pembesar serta kerabat diraja Kerajaan Ismahayana Landak senyap seketika sehinggalah satu lagi pemberontakan dipimipin oleh Gusti Kandut.


Pada tahun 1899, pula muncul pemberontakan yang diketuai oleh Gusti Abdurrani dengan dibantu oleh panglima perangnya yang kuat dan bengis yang bernama Panglima Daud, Panglima Anggu 1 dan Ya’ Bujang. Walaupun bertali arus pemberontakan yang dipimpin oleh rakyat dari Kerajaan Landak namun ianya tetap tidak dapat mengusir Belanda keluar daripada bumi Landak.


Akhirnya apabila sebuah republik ditubuhkan yang dinamakan Republik Indonesia, Kerajaan Ismahayana Landak juga turut sama secara automatik dibubarkan dan rakyatnya kekal sebagai antara pemangkin ekonomi bagi Republik Indonesia sehingga sekarang.


bottom of page