MAJLIS "BERLANGGAR MEJA"
MAJLIS “BERLANGGAR MEJA”, IGAN, SARAWAK
Nun di satu kawasan bernama Igan yang kaya dengan sejarahnya juga terkenal dengan satu sumber warisan yang telah dipraktikkan lebih daripada 100 tahun dan ianya hanya ada di bumi Igan, satu-satunya. Sumber warisan budaya ini dinamakan “Berlanggar Meja”.
Jika di tempat lain ianya dikenali sebagai rumah terbuka iaitu satu majlis individu yang diadakan di rumah persendirian semasa perayaan Hari Raya Aidil Fitri diadakan, tetapi di Igan ianya dikenali sebagai “Berlanggar Meja” dan diadakan di tempat yang lebih luas serta yang menjadi hos adalah seluruh kampung di Igan dengan jemputannya adalah kampung-kampung yang berdekatan.
“Berlanggar Meja” ini sebenarnya bermaksud meja-meja yang disambung secara memanjang di satu kawasan tanah lapang atau lebih sesuai di letakkan di atas jalanraya. Setiap meja-meja ini akan dihidangkan makanan seperti kuih-muih atau lauk pauk hariraya dan setiap keluarga Igan hendaklah menyediakan jamuan untuk 4 orang atau lebih dan hidangan itu dibuat dari rumah penduduk Igan sendiri. Jika di dalam bahasa moden sekarang dipanggil “potluck”. Jadi janganlah hairan sekiranya hidangan meja-meja ini mempunyai jenis yang berlainan.
Sebenarnya majlis “Berlanggar Meja” ini telahpun dipraktikkan ketika Igan menjadi antara empayar Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Suatu ketika selepas menyambut Hariraya Aidilfitri dikatakan keluarga Rajah Brooke dan pegawai kerajaan Sarawak Kingdom telah turut sama menghadiri majlis “Berlanggar Meja” di Igan. Semenjak daripada itu, majlis ini sentiasa dinanti-nantikan oleh pegawai bangsa Eropah yang lain di Sarawak Kingdom. Dan kerana itu, tradisi ini sehingga sekarang kekal ada.
Sebenarnya “Berlanggar Meja” merupakan satu tradisi yang terbaik di dalam merapatkan hubungan sesame masyarakat Igan kerana ukhuwah dapat disambung di dalam satu majlis dan yang pasti tradisi “Berlanggar Meja” ini telah menyebabkan ramai bangsa Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama datang ke Igan untuk merasai sendiri tradisi ini diadakan dengan penuh kemeriahan dan dalam suasana aman damai sejak ratusan tahun dahulu.
Lan Berambeh Ke Sarawak!