top of page

PERANG LIMBANG KE ATAS BRUNEI 1884


PERANG LIMBANG KE ATAS BRUNEI 1884


Limbang pada asalnya adalah tanah kuripan dibawah bidang kuasa Pengiran Temenggung Pengiran Anak Hashim yang menaiki takhta pada 1885. Dalam pada itu setahun sebelum baginda menaiki takhta, penduduk Limbang telah bangun memberontak pemerintahan Brunei di Limbang yang dikenali sebagai Perang Limbang 1884. Sebenarnya tanpa kita ketahui, mengikut sejarahnya sebelum terjadinya Perang Limbang 1884, Limbang sudahpun bangun menentang pemerintahan Brunei di Brunei. Dan alasannya tetap sama iaitu penduduk Limbang membantah keras cukai yang dikenakan oleh pembesar Brunei ke atas mereka.


Sekitar tahun 1850an, iaitu ketika pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin II lagi sudah ada yang bangun memberontak. Pada masa itu kaum Bisaya dan kaum Murut yang mendiami Limbang sudah mula menunjukkan ketidakpuasan hati mereka ke atas pentadbiran Brunei di Limbang. Dan Sultan Omar Ali Saifuddin II dikatakan telah menghantar wakilnya bagi menjernihkan suasana dan akhirnya ketidakpuasan terhadap cukai tinggi yang dikenakan itu berakhir dengan baik tanpa ada pertumpahan darah di kedua-dua pihak.


Sekali lagi sekitar tahun 1860an, penduduk Limbang sekali lagi bangun memberontak malah kali ini dengan segala senjata dan sebagainya atas cukai tinggi yang dikenakan oleh pembesar Brunei ke atas mereka. Sultan Abdul Mumin yang berang pada masa itu telah menghantar tenteranya ke Limbang untuk menghadapi rakyat Limbang pada masa itu. Oleh kerana pada ketika itu angkatan tentera Brunei terlalu kuat maka ianya dapat diredakan.


Sekitar bulan Ogos 1884, Pengiran Temenggung Hashim telah menghantar agennya untuk mengutip cukai di Limbang. Kedatangan agen Pengiran Temenggung Hashim ini tidak disukai oleh penduduk Limbang dan pada mulanya mereka menolak untuk membayar cukai dengan cara yang beradat namun kedua-dua agen pengutip cukai Pengiran Temenggung Hashim dikatakan telah memaksa penduduk Limbang untuk wajib membayar cukai tersebut. Akibat berang dengan tindakan agen pengutip cukai itu akhirnya kedua-duanya dibunuh oleh penduduk Limbang.


Berang dengan tindakan penduduk Limbang yang membunuh agennya, Pengiran Temenggung Hashim pada 3hb September 1884 bersama-sama dengan angkatan tentera Brunei yang diketuai oleh Laksamana Tarip telah melancarkan perang ke atas penentang mereka di Limbang. Sangkaan mereka bahawa penduduk Limbang akan takut dengan angkatan tentera Brunei meleset sama sekali apabila penduduk Limbang bersatu dengan orang Murut dan Bisaya Limbang memerangi angkatan tentera Brunei tanpa ada rasa takut.


Akibat tidak tertahan dengan asakan demi asakan daripada penduduk Limbang dengan kesatuan mereka dengan orang Bisaya dan Murut pada waktu itu telah memaksa Pengiran Temenggung Hashim mengundurkan diri dan kesemua bala tentera Brunei kembali ke Brunei manakala Laksamana Tarip pula terkorban akibat terkena tikaman tombak dari Orang Murut di dalam perang tersebut.


Pengunduran Pengiran Temenggung Hashim bersama-sama dengan bala tentera Brunei pada masa itu tidak dibiarkan sahaja sebaliknya penduduk Limbang bersama orang Bisaya dan Murut telah mengejar mereka sehingga ke jajahan Brunei Darussalam sendiri. Di ketika itulah dikatakan banyak penempatan orang Brunei yang tinggal di sempadan Brunei/Limbang diserang dan dibakar sehingga membuatkan penduduk Brunei merasa takut dan berada di dalam suasana darurat.


Sekitar bulan Oktober 1884, Sultan Abdul Momin yang menjadi pemerintah Brunei pada masa itu telah mengistiharkan Bandar Brunei diletakkan di dalam keadaan berjaga-jaga. Dikatakan juga Sultan Abdul Momin sebagai persediaan menghadapi penduduk Limbang yang mengamuk telah cuba meminjam senjata api dari Labuan bagi kegunaan tentera Brunei yang menjaga istana kediaman baginda.


Bagi pihak penduduk di Limbang pula, mereka tidak mahu berterus-terusan untuk berada di dalam kancah peperangan. Maka mereka dengan sebulat suara telah menghantar Datuk Klassie iaitu pemimpin yang amat dihormati bagi penduduk Limbang yang juga dari kaum Bisaya dan Murut Limbang untuk membuat rundingan damai dengan Sultan Abdul Momin. Rombongan Datuk Klassie yang baru tiba di Brunei pada masa itu pula ditangkap oleh Pengiran Temenggung Hashim malah beliau juga turut memenjarakan Datuk Klassie tanpa perbicaraan.


Apabila hal ini diketahui oleh penduduk Limbang samada dari masyarakat Bisaya dan Murut pada masa itu cukup marah dan kali ini mereka angkatan Limbang adalah lebih besar kerana masyarakat Kayan di Baram juga turut serta di dalam perang mereka ke atas Brunei ini. Pada masa ini dikatakan perang Limbang ini juga mendapat bantuan senjata api dan sebagainya dari Sarawak Kingdom melalui Rajah Charles Brooke secara tidak langsung.


Apabila sekali lagi Brunei dan Limbang di dalam kancah peperangan telah menyebabkan Treacher iaitu antara orang yang berkepentingan di dalam Syarikat British Borneo Utara telah menemui Sultan Abdul Momin. Ini kerana Treacher berpendapat sebarang kancah peperangan di Limbang dan Brunei sudah tentu akan menyebabkan banyak wilayah Borneo Utara yang mereka pajak daripada Sultan Abdul Momin akan bergolak sama. Dan setelah melalui perundingan dengan Sultan Abdul Momin akhirnya Datuk Klassie dan juga rombongannya dibebaskan. Dengan bantuan Treacher juga pada ketika itu, maka satu perjanjian perdamaian telah berjaya dimeterai antara Limbang dan Brunei.


Antara terma dan syarat perjanjian perdamaian Limbang dan Brunei adalah:

  • Datuk Klassie dan rombongan Limbang hendaklah dibebaskan serta merta.

  • Penghapusan cukai-cukai yang tinggi dan membebankan rakyat Limbang.

  • Kadar-kadar cukai yang ada pada masa itu hendaklah dikurangkan. Contohnya cukai eksport getah jelutong hanya dikenakan sebanyak 5% sahaja.

  • Pengutip cukai bukanlah daripada wakil Sultan sebaliknya merupakan ketua masyarakat Limbang sendiri yang kemudiannya menyerahkan kutipan cukai itu kepada Sultan Brunei.

Setelah ianya dipersetujui dan dimeterai oleh kedua-dua pihak dengan bersaksikan Treacher pada masa itu akhirnya penduduk Limbang bersama sekutunya orang Bisaya, Murut dan Kayan Baram telah meletak senjata dan kedamaian serta hubungan baik antara penduduk Limbang dan Brunei diteruskan seperti biasa.


Inilah sejarah yang tidak didendangkan buat pengetahuan kita sebagai Bangsa Sarawak sekalian. Sejarah ini wajar untuk kita ketahui secara terperinci kerana apa yang berlaku selepas perang Limbang ke atas Brunei 1884 ini menyebabkan satu lagi peristiwa sejarah yang penting di dalam kronologi sejarah Sarawak iaitu Limbang sebagai salah satu empayar Sarawak Kingdom pada tahun 1885.



Rujukan:

1. Book Title: Pensejarahan Brunei – Unsur & Faktor Pensejarahan Brunei by Awang Asbol

2. Book Title: The White Rajah: A History of Sarawak from 1841 to 1946 by Steven Ruciman

3. Kertas Kerja: Perjanjian 1888: Suatu Harapan dan Kekecewaan. Oleh Ismail Bin Haji Awang Nordin (Universiti Brunei Darussalam)

4. A History Of Sarawak Under Its 2 White Rajah (1839-1908)

https://archive.org/details/historyofsarawak

bottom of page