top of page

PERKEMBANGAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI SARAWAK KINGDOM (1841 – 1946)


PERKEMBANGAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI SARAWAK KINGDOM (1841 – 1946)


Sesuatu yang agak janggal bagi masyarakat di luar Sarawak adalah bagaimana perkembangan undang-undang Islam di bumi Sarawak semasa zaman pemerintahan Brooke. Ini kerana Sarawak yang pada mulanya adalah sebuah tanah kuripan bagi Kesultanan Brunei yang rata-rata masyarakat Melayunya adalah beragama Islam. Sesungguhnya walaupun mempunyai seorang rajah yang berketurunan Eropah pada masa itu, masyarakat Islam di Sarawak Kingdom sebenarnya sudah pun mempunyai satu sistem undang-undang yang lebih teratur dan bertamadun.


Pada peringkat awal Sarawak di bawah pemerintahan Brooke, Rajah Brooke telah melantik beberapa orang pembesar Melayu untuk diserapkan di dalam pentadbiran negeri. Pembesar Melayu tersebut antaranya ialah Datu Patinggi Ali dan Temenggung Mersal. Jawatan Datu Imam juga dikekalkan seperti mengikut acuan pemerintahan pembesar Brunei. Dengan perlantikan pembesar-pembesar Melayu yang berpengaruh ini sudah tentu ianya akan melicinkan lagi pengembangan Islam di Sarawak.


Pada tahun 1870, Rajah James Brooke telah menubuhkan Native Mohammed and Probate and Divorce Court yang ditubuhkan bagi menguruskan hal-hal perkahwinan, perceraian dan kematian di kalangan masyarakat Islam Sarawak. Jawatan Datu Hakim juga diwujudkan bagi mengendalikan undang-undang yang berkaitan dengan kes-kes kekeluargaan Islam seperti perkahwinan, penceraian, pembahagian atau perwarisan harta dan sebagainya.


Sekitar tahun 1860 apabila keadaan Sarawak Kingdomtelah stabil dan aman daripada penentangan tempatan, Rajah Brooke telah menggubal undang-undang bertulis yang dinamakan “Perintah”. Undang-undang bertulis “Perintah” telah mengambilkira perbezaan kaum dan agama di Sarawak. Undang-undang ini amat perlu bagi mengawal integrasi kaum di antara pelbagai kaum dan agama di Sarawak Kingdom.


“Perintah” yang dikhususkan bagi masyarakat Islam menunjukkan pertimbangan akan diberikan kepada adat dan keadaan tempatan. Sebanyak 5 kali undang-undang “Perintah” yang berkaitan secara langsung dengan masyarakat Islam Sarawak telah dikeluarkan.


1. Tahun 1878 berkaitan dengan pengambilan anak angkat;

2. Tahun 1890 berkaitan dengan senarai hukuman dan denda yang dikenakan bagi mereka yang melanggar “Perintah”;

3. Tahun 1893 berkaitan dengan perkahwinan orang luar dengan wanita tempatan dan poligami;

4. Tahun 1896 berkaitan dengan undang-undang wasiat masyarakat Islam;

5. Tahun 1898 berkaitan dengan pendaftaran perkahwinan dan penceraian.


Polisi Rajah James Brooke yang menjadikan Kuching sebagai pusat pentadbiran kerajaan Sarawak Kingdom telah mendorong ramai masyarakat Melayu Islam berpindah ke Kuching. Sejajar dengan pengembangan masyarakat Melayu di Kuching pada masa itu maka keperluan untuk membina sebuah masjid telah mendorong keluarga Datu Patinggi Ali untuk membina sebuah masjid di Kuching dan tersergam indah sebuah masjid negeri pada tahun 1847.


Kemudian satu usaha lagi digerakkan oleh Datu Bandar Haji Muhammad Lana untuk mengumpul dana serta pembiayaan bagi menampung kos pembinaan dan penambaikkan masjid tersebut dan pada tahun 1852, tersergam indah sebuah masjid negeri Sarawak yang lebih besar dan kukuh dengan pembiayaannya daripada derma ikhlas masyarakat Islam Sarawak dan juga Kerajaan Sarawak Kingdom.


Setelah kematian Rajah James Brooke, pemerintahan Sarawak Kingdom telah diambil alih oleh Rajah Charles Brooke. Dasar keterbukaan juga diteruskan oleh Rajah Charles Brooke. Rajah Charles Brooke amat memahami dengan rukun Islam iaitu mengerjakan ibadah haji ke Mekah dan kerana itulah pada zaman beliau memerintah dilaporkan apabila musim haji, sebilangan masyarakat Islam Sarawak berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima tersebut. Pada tahun 1911 direkodkan seramai 235 masyarakat Islam Sarawak telah menunaikan fardhu haji ke Mekah dengan menaiki kapal laut.


Atas inisiatif Rajah Charles Brooke juga telah ditubuhkan Balai Datu pada tahun 1915 yang bertindak sebagai pusat pertemuan Datu-datu Melayu dan markas bagi membincangkan hal-ehwal masyarakat Islam di Sarawak Kingdom. Ianya juga berfungsi sebagai mahkamah bagi mengendalikan hal-ehwal yang berkaitan dengan kekeluargaan Islam di Sarawak.


Satu undang-undang bertulis juga telah diadakan bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan perwarisan harta, penceraian, perkahwinan dan pertelingkahan kecil di dalam masyarakat Islam Sarawak. Undang-undang ini telah menguatkan lagi undang-undang “Perintah” yang diadakan semasa pemerintahan Rajah James Brooke. Kesemua undang-undang di dalam Perintah mengandungi 67 Seksyen yang dikemaskini dan dinamakan dengan Undang-undang Mahkamah Melayu Sarawak.


Undang-undang ini memberi peruntukan tentang pertunangan, perkahwinan, perceraian, perselisihan faham suami isteri, nafkah anak, hak jagaan anak dan salahlaku seksual. Dari segi bentuk undang-undang ini merupakan senarai denda atau penalti yang dikenakan di dalam bentuk matawang bagi setiap kesalahan yang dilakukan.


Kemudian selepas Rajah Charles Brooke, pemerintahan Sarawak diganti oleh Rajah Charles Vyner Brooke. Semasa pemerintahan beliau, jawatan mufti telah diwujudkan di Sarawak Kingdom. Mufti Sarawak yang pertama adalah Tuan Haji Nawawi bin Haji Merais. Jawatan mufti ini mempunyai sebuah ahli jawatankuasa yang akan membantu beliau di dalam hal yang berkaitan dengan syiar Islam di Sarawak Kingdom.




Rujukan:


1. Book Title: Islamic Family Law in A Changing World: A Global Resource Book by Abdullahi A An Na’im

2. Book Title: Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia: Sebelum dan Menjelang Merdeka by Zaini Nasohah

3. Book Title: Islam Dan Cabarannya Di Era Globalisasi by Ahmad Akil bin Muda

4. Tesis: Tokoh Ulama di Sarawak dan Peranannya terhadap Kelangsungan Islam Di Zaman Brooke oleh Noranizah Yusuf, Wan Kamal Mujani & Ezad Azraai Jamsari (Universiti Kebangsaan Malaysia).

bottom of page