top of page

ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN ETNIK KENYAH


ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN ETNIK KENYAH


Masyarakat Kenyah merupakan salah satu daripada etnik pribumi di Sarawak Bumi Kenyalang. Dikatakan asal usul masyarakat Kenyah adalah dari Dataran Tinggi Usun Apau sejak 1400-1700 masihi lagi. Menurut sumber dikatakan bahawa masyarakat Kenyah telah mula berpecah kepada beberapa sub-etnik kenyah sekitar tahun 1400-1600 masihi.


Sub-etnik Kenyah ini terbahagi kepada kaum Kenyah Jamoh, Kenyah Badeng, Kayan, Lepo’Tau, Lepo’ Maut, Uma Bahah, Lepo’ Kulit, Kenyah Sambob, Penan dan banyak lagi. Majoriti masyarakat Kenyah di Sarawak banyak mendiami kawasan di lembah sungai seperti di hulu Batang Baram, Usun Apau, Balui, Tinjar dan hulu Batang Rajang. Seperti masyarakat etnik Sarawak yang lain, masyarakat Kenyah juga mempunyai adat resam budaya yang unik termasuk adat resam perkahwinan mereka yang diperturunkan serta masih diamalkan sehingga sekarang.


Di dalam memperkatakan adat resam perkahwinan masyarakat Kenyah sudah tentu ianya harus dimulai dengan adat meminang atau Pergi “Peteng”. Setiap teruna yang berkenan dengan si dara hendaklah bertandang ke rumah keluarga si dara bersama-sama dengan kedua ibubapanya bagi mendapat persetujuan daripada ibubapa si dara tersebut.


Kebiasaannya pada zaman dahulu, dasar perkahwinan adalah lebih mementingkan pangkat dan kemampuan antara kedua-dua belah pihak. ‘Paren’ atau kedudukan yang tinggi di dalam rumah panjang dan atau tidak memperoleh sekurang-kurangnya satu kepala musuh maka pinangan selalunya akan ditolak. Sekiranya lelaki tersebut memperoleh satu kepala musuh, ini menunjukkan dia adalah seorang yang berani dan dapat melindungi bakal keluarga daripada apa-apa cabaran.


Sekiranya perkara tersebut tidak dimiliki oleh pihak lelaki, lamaran atau pinangan akan ditolak kerana pihak ibubapa si dara akan merasa malu bermenantukan si teruna tersebut dan boleh berlaku penceraian setelah berkahwin. Walau bagaimanapun bersesuaian dengan zaman moden sekarang adat resam adalah tidak berdasarkan kepada harta atau kedudukan tetapi berdasarkan kepada pekerjaan yang boleh menyara kehidupan kedua-dua pengantin. Andaikata semua syarat adat telah dilengkapi maka kedua-dua keluarga akan terus berbincang untuk mengadakan majlis perkahwinan nanti.


Dari segi hantaran perkahwinan pula, beberapa barangan harus disediakan seperti “keluma” iaitu kain sarung untuk perempuan dari wakil pengantin perempuan, “baing puk” iaitu sebilah parang yang hulunya berhiaskan bulu, “tawek” iaitu gong di mana kedua-dua pengantin akan duduk diatasnya sewaktu persanding dan juga beberapa barangan lain yang ditetapkan oleh wakil pihak perempuan.


Bagi persediaan perkahwinan, kebiasaannya majlis perkahwinan akan mendirikan sebuah pondok kecil yang dihiasi indah yang menjadi pelamin untuk kedua-dua pengantin disandingkan. Pelamin ini dinamakan “uma’ jakok” atau rumah rokok tradisional orang Kenyah. Pakaian pengantin pula ialah pakaian tradisional iaitu “ta’a” dan “avet”.


Segala upacara perkahwinan pula berlangsung di rumah pengantin perempuan. Menurut adat resam dahulu, wakil pengantin perempuan akan menjaga pintu utama semasa pengantin lelaki serta wakilnya sampai dan akan membenarkan mereka masuk sekiranya semua permintaan hantaran adalah mencukupi untuk “penjaga pintu utama” itu.


Ini adalah untuk menguji sama ada pengantin lelaki benar-benar mahu mengahwini pengantin perempuan. Upacara ini disambut dengan meriah dan seluruh kampung akan dijemput untuk bermain alat musik serta “ne’nak’ (seperti syair atau pantun) oleh kedua-dua pihak yang menunjukkan mereka kegembiraan atas perkahwinan tersebut.


Salah satu adat yang paling menarik di dalam perkahwinan masyarakat Kenyah adalah setelah berkahwin adalah wajib untuk pengantin lelaki tinggal bersama-sama dengan keluarga si isteri sekurang-kurangnya selama 1 atau 2 tahun. Semua ini dilakukan bagi membalas jasa serta budi ibubapa pengantin perempuan yang telah menjaga pengantin perempuan itu dari kecil sehinggalah dia dewasa.


Bagi sesetengah pihak mungkin ini satu proses yang memerlukan kesabaran yang tinggi namun inilah masyarakat Kenyah yang kaya serta amat menghormati jasa-jasa orang tua dan hidup di dalam kesatuan keluarga yang besar. Setelah lulus proses ini barulah kedua-dua suami isteri dibenarkan untuk membina penghidupan sendiri dan berdikari di tempat lain.


Masyarakat Kenyah adalah satu masyarakat yang mementingkan maruah dan kehormatan di dalam keluarga dan mereka adalah masyarakat yang tidak membenarkan HAMIL SEBELUM PERKAHWINAN. Sewaktu dahulu sebelum terdapat satu hukuman untuk PENZINA yang dikenali sebagai PELABAI. Pelabai adalah hukuman berat yang menunjukkan kebencian masyarakat terhadap perlakuan seks sebelum kahwin.


Di dalam rumah panjang ada ruang berjalan kaki. Di sebelahnya ada pentas kecil yang membolehkan mereka menjalankan kegiatan seperti menyulam dan sebagainya. Kemudian, ada amin (bilik-bilik kecil). Ada tiang yang banyak di situ. Pada Hari pertama, wanita yang dihukum Pelabai akan diikat di salah satu tiang dengan bertelanjang bulat. Tangannya akan diikat ke atas. Penduduk rumah panjang yang lalu lalang akan menghina, meludah, menyumpah dan mencerca wanita itu.


Sekiranya wanita itu mengandung, dia akan dihantar ke kawasan perkuburan. Kubur terletak di bahagian hilir seberang sungai. Keluarganya hanya boleh menghantar makanan tanpa berkata apa-apa sehinggalah wanita itu cukup bulan. Wanita itu harus menggali lubang sendiri dan beranak di situ. Bayi yang dilahirkannya mesti dikuburkan hidup-hidup. Biasanya, si ibu turut mati kerana beranak seorang diri, tanpa bantuan.


Hukuman Pelabai ke atas lelaki Kenyah pula adalah, ditelanjang bulat dan dihantar ke sungai. Lelaki itu harus berdiri di sungai hingga air sungai ke paras pusat. Lelaki ini akan berdiri dari matahari terbit hinggalah matahari terbenam. Orang-orang di rumah panjang akan menggunakan batang tepus untuk merejam ke arah kemaluan lelaki itu. Batang tepus memang kuat dan boleh mencederakan malah, membunuh. Biasanya, lelaki yang menjalani Pelebai akan mati. Sekiranya hidup, dia akan lumpuh dan tidak dapat berfungsi sebagai lelaki sejati lagi.


Kini, hukuman Pelabai ke atas masyarakat Kenyah yang berzina tidak diamalkan lagi. Kebanyakan masyarakat Kenyah telah menganuti agama Kristian.




bottom of page