top of page

ETNIK LUGAT, SARAWAK, BORNEO


ETNIK LUGAT, SARAWAK, BORNEO


Etnik Lugat merupakan salah satu daripada etnik minoriti di Sarawak Bumi Kenyalang dan mereka merupakan antara sub-etnik yang membentuk apa yang digelar Kaum Orang Ulu Sarawak sekarang. Kerana kurangnya informasi mengenai mereka ini jadi sudah mungkin ramai rakyat Malaysia amnya dan rakyat Sarawak khususnya mungkin tidak mengetahui kewujudan etnik ini di bumi Sarawak.


Jika dilihat kepada taburan penduduk etnik Lugat di bumi Sarawak, populasi etnik ini ramai tertumpu di daerah Sungai Kemena, Tatau di bahagian Bintulu Sarawak. Yang menjadikan mereka ini unik kerana dikatakan etnik Lugat sebenarnya tidak memiliki rumah panjang mereka sendiri seperti etnik-etnik dayak di Sarawak sebaliknya mereka lebih gemar untuk mendiami bersama-sama rumah panjang milik kepada etnik Tatau, Baketan, Punan serta rumpun dayak orang ulu di kawasan tersebut.


Menurut sumber-sumber sejarah seperti laporan yang dibuat oleh Low (1882), Brooke (1907) dan Freeman (1970) menyatakan bahawa etnik Lugat merupakan sekumpulan pemburu atau pengumpul yang berpindah dari Sungai Gaat iaitu salah satu cabang Sungai Balleh. Pada awal abad ke-19 mereka telah berpindah ke bahagian tengah Rajang bersama-sama dengan etnik Sihan, Baketan dan beberapa etnik-etnik kecil yang lain. Dari situ mereka telah berhijrah ke Tatau sekitar awal abad 20an sehingga ke Sungai Rajang (Laporan Owen; 1905). Dan kerana itulah ramai etnik Lugat boleh didapati di kawasan ini sehingga sekarang.


Seperti etnik-etnik lain di Sarawak, etnik Lugat juga mempunyai cerita legenda mereka sendiri di dalam memperkatakan asal keturunan mereka di Sarawak Bumi Kenyalang. Dikatakan bahawa etnik Lugat beribu tahun dahulu sebenarnya adalah kumpulan etnik kecil yang mendiami sebuah gua yang dikenali sebagai Bukit Lumut. Di kala mereka tinggal di gua tersebut, etnik Lugat dikatakan tidak mempunyai apa-apa peralatan untuk memasak seperti periuk dan sebagai.


Untuk survival penghidupan mereka di dalam gua, mereka telah banyak menggunakan proses memanggang makanan di dalam penghidupan iaitu dengan mengorek tanah dan kemudian meletakkan makanan yang dialas di dalam daun-daun hutan dan seterusnya meletakkan pembakaran dari atas. Dan dikatakan sehingga ke hari ini etnik Lugat adalah etnik yang pakar di dalam membuat penghasilan makanan yang begitu enak dari kaedah ini.


Selain daripada antara cerita legenda oral yang disampaikan oleh generasi Lugat adalah mengenai dahulunya mereka pernah mendiami satu tempat yang dinamakan Keragan Kawit iaitu satu kawasan di hulu Sungai Anap. Ketika itu mereka dipimpin oleh seorang pemimpin etnik Lugat yang tersohor iaitu Lugat Kawit. Bagi memupuk persefahaman antara jiran-jiran etnik mereka di sekitar Sungai Anap, maka anak-anak Lugat Kawit telah dikahwinkan dengan anak ketua daripada Baketan dan juga Tatau. Berdasarkan kepada amalan perkahwinan campur inilah yang menjadikan etnik Lugat sebenarnya boleh didapati di dalam mana-mana rumah panjang milik etnik Tatau mahupun Baketan sehingga sekarang.


Dari segi bahasa pula, etnik Lugat mempunyai bahasa yang tersendiri iaitu ianya lebih menyamai bahasa etnik Sihan dan seperti juga etnik Sihan, dikatakan bahasa etnik Lugat juga sedang diancam kepupusan kerana menurut laporan hanya tinggal beberapa orang sahaja yang mampu menguasai bahasa lugat dengan betul. Ini terjadi kerana seperti apa yang terjadi kepada kebanyakan etnik-etnik minoriti di Sarawak yang mengamalkan perkahwinan campur maka ramai daripada generasi muda lebih menggemari untuk berbahasa di dalam bahasa yang lebih am seperti bahasa Inggeris, bahasa melayu dan bahasa Mandarin.


Etnik Lugat terkenal dengan kepakaran mereka sejak dari dahulukala lagi iaitu di dalam penternakan sarang burung. Sejak dari zaman lampau lagi etnik Lugat amat pakar di dalam segala prosedur pemprosesan sarang burung yang menjadi antara sumber eksport berharga bagi Sarawak serta harganya yang mampu mencecah ribuan ringgit mengikut kelas-kelasnya.


Oleh kerana kebanyakan industri sarang burung dikuasai oleh masyarakat Cina Sarawak jadi tidak menghairankan sekiranya ramai generasi etnik Lugat yang sejak dahulu lagi sudahpun mengamalkan perkahwinan campur dengan masyarakat Cina Sarawak sehingga membenarkan anak-anak mereka juga mahir di dalam bahasa Mandarin.


Jika dahulunya ramai etnik Lugat masih lagi mengamalkan agama pagan atau animisme namun setelah kedatangan agama di bumi Sarawak pada tahun 1940an, ramai antara mereka telahpun memeluk agama Kristian sebagai pedoman hidup mereka. Namun begitu mereka masih juga mengekalkan beberapa adat warisan nenek moyang mereka yang tidak bercanggah dengan ajaran agama kristianiti sehingga sekarang.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page